Trivia Archives - WISER.MY https://wiser.my/trivia Laporan Teknologi & Gajet Tue, 15 Sep 2026 01:33:26 +0000 ms-MY hourly 1 https://wordpress.org/?v=7.0.6 https://wiserspace.sgp1.digitaloceanspaces.com/wp-content/uploads/2024/07/19091031/cropped-logo-3-1-32x32.png Trivia Archives - WISER.MY https://wiser.my/trivia 32 32 118486170 iOS 27 Kini Tersedia – Siri AI, Peningkatan Sistem, Ciri Baharu Untuk Keselamatan Kanak-Kanak https://wiser.my/ios-27-kini-tersedia-siri-ai-prestasi-lebih-pantas-ciri-baharu-untuk-keselamatan-kanak-kanak Tue, 15 Sep 2026 01:17:46 +0000 https://wiser.my/?p=387011 Apple hari ini mula mengedarkan kemas kini utama untuk platform perisiannya, termasuk iOS 27, iPadOS 27, macOS 27, watchOS 27 dan tvOS 27. Kemas kini ini membawa pelbagai penambahbaikan pada prestasi, sambungan, carian dan antara muka (UI). Apple turut memperkenalkan ciri keselamatan baharu untuk kanak-kanak serta Siri AI yang dikuasakan Apple Intelligence. Pada iPhone dan...

The post iOS 27 Kini Tersedia – Siri AI, Peningkatan Sistem, Ciri Baharu Untuk Keselamatan Kanak-Kanak appeared first on WISER.MY.

]]>
Apple hari ini mula mengedarkan kemas kini utama untuk platform perisiannya, termasuk iOS 27, iPadOS 27, macOS 27, watchOS 27 dan tvOS 27.

Kemas kini ini membawa pelbagai penambahbaikan pada prestasi, sambungan, carian dan antara muka (UI). Apple turut memperkenalkan ciri keselamatan baharu untuk kanak-kanak serta Siri AI yang dikuasakan Apple Intelligence.

Pada iPhone dan iPad, Apple menyatakan aplikasi kini boleh dibuka sehingga 30% lebih pantas, foto dimuatkan sehingga 70% lebih pantas selepas diambil dan pemindahan AirDrop sehingga 80% lebih pantas.

Pada iPad, proses melayari fail dan memindahkannya ke pemacu USB luaran pula dikatakan sehingga 5 kali lebih pantas. Apple turut menambah baik pengurusan tetingkap ketika melakukan pelbagai tugasan, termasuk proses menutup, menukar dan menyeret tetingkap.

Untuk Mac, Apple turut menjanjikan pemindahan AirDrop yang lebih pantas, permulaan muat naik iCloud Photos yang lebih cepat serta peralihan antara Spaces dan Mission Control yang lebih lancar. Main balik muzik pada Apple Watch juga dipertingkatkan.

Siri AI versi beta

Salah satu kemas kini utama kali ini ialah Siri AI, versi baharu Siri yang dikuasakan oleh Apple Intelligence dan mula diedarkan sebagai versi beta dalam bahasa Inggeris. Sokongan untuk bahasa Perancis, Jepun, Korea, Portugis dan Sepanyol pula akan menyusul pada Oktober.

Siri kini turut tersedia sebagai aplikasi kendiri, selain boleh digunakan melalui sistem peranti Apple.

Dalam kemas kini yang sama, Apple menyediakan keupayaan Apple Intelligence baharu merentas aplikasi untuk produk yang disokong dan ditetapkan kepada bahasa yang disokong. Pengguna yang mengaktifkan Apple Intelligence boleh mengakses ciri tersebut melalui iOS 27, iPadOS 27, macOS 27 dan watchOS 27.

Apple Intelligence kini menyokong bahasa seperti Inggeris, Perancis, Jerman, Jepun, Korea, Portugis, Sepanyol, Cina dan Vietnam, namun Apple menyatakan sesetengah ciri mungkin tidak tersedia dalam semua bahasa atau wilayah.

Dari segi peranti, Apple Intelligence dan Siri AI tersedia pada iPhone 15 Pro dan iPhone 15 Pro Max, siri iPhone 16 dan lebih baharu, iPad mini dengan A17 Pro, iPad dengan cip M1 atau lebih baharu serta Mac dengan cip M1 atau lebih baharu, selain beberapa peranti Apple lain yang disokong.

Lebih banyak penambahbaikan merentas platform

Selain peningkatan prestasi, Apple turut memperkemas beberapa aspek pengalaman penggunaan pada pelbagai perantinya.

Carian melalui Spotlight, Photos dan Mail kini lebih stabil, cekap dan menyeluruh. Dalam Mail, sistem pemeringkatan baharu turut digunakan untuk memaparkan hasil yang lebih relevan dalam bahagian Top Hits.

Apple juga menambah pilihan baharu untuk Liquid Glass. Melalui “Settings”, pengguna boleh melaraskan penampilannya daripada ultraclear hingga fully tinted, manakala ikon aplikasi turut dikemas kini supaya kelihatan lebih tajam dan jelas.

Dalam Health, ciri Cycle Tracking kini menyokong perimenopaus dan menopaus, termasuk notifikasi mengenai perubahan kitaran yang berkaitan dengan perimenopaus.

iCloud Shared Albums kini menyokong perkongsian foto dan video pada resolusi penuh, serta memudahkan pengguna Android dan Windows menyertai dan menyumbang kepada album.

Pengguna AirPods pula boleh menggunakan custom EQ untuk melaraskan bunyi mengikut pilihan masing-masing. Dengan fungsi Apple GymKit yang diperluaskan, pengguna AirPods Pro 3 juga boleh sync data kadar denyutan jantung melalui iPhone.

Apple Maps turut menerima ciri Flyover yang dipertingkatkan dengan gabungan pengimejan udara dan AI.

Sementara itu, Apple TV kini menyokong lossless audio resolusi tinggi untuk Apple Music, selain menerima aplikasi Apple Podcasts yang direka semula dan lebih banyak pilihan saiz teks untuk aksesibiliti.

Keselamatan kanak-kanak

Apple turut memperkenalkan ciri baharu untuk membantu ibu bapa mengurus pengalaman digital anak-anak.

Persediaan akaun kanak-kanak yang baharu membolehkan ibu bapa menetapkan perlindungan berdasarkan umur serta memilih aplikasi yang boleh diakses sejak awal. Fungsi “Ask to Browse” pula membolehkan ibu bapa menetapkan keperluan kebenaran sebelum anak mengakses laman web baharu dalam Safari.

Communication Safety kini turut mengesan kandungan berkait keganasan dalam imej dan video yang dikongsi serta mengambil tindakan untuk menyekatnya apabila dikesan. Ibu bapa juga boleh meluluskan kenalan baharu yang ingin dihubungi oleh anak.

Sementara itu, Screen Time direka semula dengan paparan purata penggunaan peranti dan aplikasi yang paling banyak digunakan. Ibu bapa boleh menetapkan had masa harian untuk kategori seperti Hiburan, Permainan dan Media Sosial, selain mengurus akses aplikasi mengikut waktu melalui fungsi Schedules.

Kesemua kemas kini versi stabil ini mula diedarkan untuk iOS 27, iPadOS 27, macOS 27, watchOS 27 dan tvOS 27.

Untuk iOS 27, kemas kini ini tersedia pada siri iPhone 11 dan model lebih baharu. Pengguna boleh memasangnya melalui Settings > General > Software Update, kemudian tatal ke bahagian “Also Available” dan pilih “Upgrade to iOS 27″ sebelum menekan Update Now.

Bagaimanapun, Apple menyatakan sesetengah ciri mungkin berbeza dari segi ketersediaan bergantung pada peranti, bahasa, wilayah serta undang-undang dan peraturan tempatan.

{suggest}

The post iOS 27 Kini Tersedia – Siri AI, Peningkatan Sistem, Ciri Baharu Untuk Keselamatan Kanak-Kanak appeared first on WISER.MY.

]]>
387011
Disney+ Akan Beralih Ke Aplikasi Baharu Mulai 7 Oktober – Ini Perubahan Untuk Pengguna Di Malaysia https://wiser.my/disney-akan-beralih-ke-aplikasi-baharu-mulai-7-oktober-ini-perubahan-untuk-pengguna-di-malaysia Sat, 12 Sep 2026 05:21:18 +0000 https://wiser.my/?p=386885 Disney+ kini mengumumkan peralihan kepada aplikasi baharu di Malaysia mulai 7 Oktober 2026. Bagi pelanggan sedia ada, peralihan ini tidak memerlukan bayaran tambahan. Sebaliknya, pengguna hanya perlu log masuk ke aplikasi baharu menggunakan alamat e-mel atau nombor telefon yang sama seperti akaun Disney+ semasa. Hulu Gantikan Star Sebagai Jenama Hiburan Umum Peralihan kepada aplikasi baharu ini...

The post Disney+ Akan Beralih Ke Aplikasi Baharu Mulai 7 Oktober – Ini Perubahan Untuk Pengguna Di Malaysia appeared first on WISER.MY.

]]>
Disney+ kini mengumumkan peralihan kepada aplikasi baharu di Malaysia mulai 7 Oktober 2026.

Bagi pelanggan sedia ada, peralihan ini tidak memerlukan bayaran tambahan. Sebaliknya, pengguna hanya perlu log masuk ke aplikasi baharu menggunakan alamat e-mel atau nombor telefon yang sama seperti akaun Disney+ semasa.

Hulu Gantikan Star Sebagai Jenama Hiburan Umum

Peralihan kepada aplikasi baharu ini turut membawa kemas kini pada penjenamaan kandungan Hiburan Umum di Disney+. Mulai 9 Oktober, Hulu akan diperkenalkan sebagai jenama Hiburan Umum global di Disney+, menggantikan Star.

Paparan aplikasi akan kekal hampir sama, dengan kemas kini utama termasuk logo Disney+ yang diperbaharui serta kandungan Hiburan Umum yang akan ditempatkan di bawah jenama Hulu. Hulu pula dikenali menerusi barisan Originals yang memenangi pelbagai anugerah dan identiti warna hijaunya.

Pelanggan masih boleh mengakses kandungan yang tersedia di Disney+, termasuk program keluarga dan koleksi APAC Originals. Pada bahagian Hulu, Disney+ juga akan menyediakan kandungan dari Amerika Syarikat, Korea Selatan dan Jepun.

Profil, Watchlist Dan Sejarah Tontonan Tidak Dipindahkan

Walaupun kandungan semasa akan terus tersedia, tidak semua maklumat daripada aplikasi lama akan dibawa ke aplikasi baharu. Profil, Senarai Tontonan (Watchlist) dan sejarah tontonan sedia ada tidak akan tersedia dalam aplikasi Disney+ baharu.

Pengguna perlu menyediakan profil utama ketika log masuk buat kali pertama untuk mula menstrim. Jika pengguna belum pernah memberikan alamat e-mel dalam aplikasi semasa, Disney+ turut menyatakan mereka akan diminta berbuat demikian ketika log masuk kali pertama.

Perubahan pelan langganan

Dari segi langganan, pelanggan Disney+ Premium akan terus menikmati ciri-ciri pelan Premium dalam aplikasi baharu.

Sementara itu, pelanggan Disney+ Basic akan mendapat akses kepada Disney+ Standard tanpa sebarang kos tambahan. Pelan Standard menawarkan muat turun kandungan, kualiti video sehingga 1080p dan sehingga dua penstriman serentak.

Tempoh pengebilan pelanggan akan kekal sama dalam aplikasi Disney+ baharu, tanpa mengira pelan yang digunakan. Pengguna juga masih boleh menukar pelan pada bila-bila masa.

Terma penggunaan turut dikemas kini

Selain perubahan aplikasi dan pelan, Disney+ turut mengemas kini terma perkhidmatannya kepada Perjanjian Pelanggan. Pelanggan yang melanggan sebelum 3 September 2026 masih tertakluk kepada terma sedia ada sehingga 6 Oktober 2026, sebelum perjanjian baharu digunakan pada aplikasi Disney+ baharu.

Bagi pelanggan yang mendapatkan langganan Disney+ melalui pihak ketiga, tarikh pelaksanaan atau perubahan berkaitan pelan pula mungkin berbeza.

{suggest}

The post Disney+ Akan Beralih Ke Aplikasi Baharu Mulai 7 Oktober – Ini Perubahan Untuk Pengguna Di Malaysia appeared first on WISER.MY.

]]>
386885
Jutaan Buku Di Internet Archive Masih Didigitalkan Halaman Demi Halaman https://wiser.my/jutaan-buku-di-internet-archive-masih-didigitalkan-halaman-demi-halaman Fri, 28 Aug 2026 08:31:38 +0000 https://wiser.my/?p=385659 Dalam perlumbaan membangunkan kecerdasan buatan (AI), buku fizikal turut menjadi antara sumber data yang bernilai. Malah, dokumen mahkamah pada 2025 mendedahkan Anthropic membeli jutaan buku bercetak sebelum jilidnya ditanggalkan, halaman dipotong mengikut saiz yang sesuai untuk pengimbasan dan kemudian salinan fizikal tersebut dibuang selepas ditukar kepada format digital. Kaedah yang dikenali sebagai destructive scanning itu...

The post Jutaan Buku Di Internet Archive Masih Didigitalkan Halaman Demi Halaman appeared first on WISER.MY.

]]>
Dalam perlumbaan membangunkan kecerdasan buatan (AI), buku fizikal turut menjadi antara sumber data yang bernilai. Malah, dokumen mahkamah pada 2025 mendedahkan Anthropic membeli jutaan buku bercetak sebelum jilidnya ditanggalkan, halaman dipotong mengikut saiz yang sesuai untuk pengimbasan dan kemudian salinan fizikal tersebut dibuang selepas ditukar kepada format digital.

Kaedah yang dikenali sebagai destructive scanning itu membolehkan sejumlah besar buku didigitalkan dengan lebih mudah. Namun, pendekatan Internet Archive jauh berbeza.

Di sebalik jutaan buku yang boleh dibaca melalui Internet Archive, sebahagian proses pendigitalannya masih dilakukan dengan cara yang kelihatan sangat tradisional: halaman demi halaman, menggunakan tangan manusia.

Proses tersebut pernah menjadi perhatian ramai pada 2021 selepas video seorang pengendali mesin pengimbas buku, Eliza Zhang, tular. Dalam tempoh 48 jam, video berkenaan dilihat lebih 1.5 juta kali, sementara hantaran mengenainya mencapai sekitar 7.7 juta pengguna.

Zhang ketika itu telah bekerja di ibu pejabat Internet Archive di San Francisco sejak 2010.

Bukan Sekadar Tekan Butang

Untuk mendigitalkan sebuah buku, Zhang menggunakan mesin khas dikenali sebagai Scribe, yang dibangunkan khusus untuk kerja pendigitalan Internet Archive.

Operator menggunakan pedal kaki untuk menaikkan bahagian kaca yang memegang buku, sebelum menyelak halaman secara manual. Dua kamera kemudian digunakan untuk mengambil imej halaman tersebut sebelum proses sama diulang lagi dan lagi.

Kerja itu juga memerlukan perhatian yang tinggi.

Ada buku yang mempunyai halaman lipat, ilustrasi besar atau struktur tidak biasa. Operator perlu menandakan halaman tersebut supaya ia boleh diimbas secara berasingan. Jika terdapat halaman tertinggal atau gambar yang kabur, perisian Internet Archive akan mengesan masalah berkenaan dan meminta operator mengimbasnya semula.

Sepanjang sedekad bekerja di sana sehingga 2021, Zhang sahaja telah mengimbas lebih 3 juta halaman, 14,000 halaman lipat dan 18,000 bahan, dengan kebanyakannya terdiri daripada buku.

Kenapa Tidak Gunakan Robot?

Dengan jumlah koleksi sebesar Internet Archive, mungkin timbul persoalan mengapa proses menyelak halaman ini tidak diautomatikkan sepenuhnya.

Sebenarnya, Internet Archive pernah mencubanya.

Sekitar dua dekad sebelum video Zhang tular, organisasi itu menguji pengimbas buku komersial dengan lengan berkuasa vakum yang boleh menyelak halaman secara automatik. Namun, sistem tersebut didapati kurang sesuai apabila berdepan buku rapuh, naskhah jarang ditemui dan koleksi khas.

Setiap buku mempunyai keadaan yang berbeza. Ada kertas terlalu nipis, halaman rapuh, jilidan ketat atau bahagian yang perlu dikendalikan dengan lebih berhati-hati.

Internet Archive juga mengambil pendekatan untuk tidak membuka atau memisahkan jilidan buku semata-mata bagi memudahkan proses pengimbasan. Menurut organisasi itu, variasi antara buku menjadikan automasi sukar dilakukan dengan pantas tanpa meningkatkan risiko kerosakan.

Pendekatan ini jelas berbeza dengan kaedah yang digunakan Anthropic untuk membina perpustakaan penyelidikan digitalnya. Dalam kes tersebut, dokumen mahkamah menyatakan buku bercetak yang dibeli dipisahkan daripada jilidan, dipotong dan diimbas sebelum salinan kertas dibuang.

https://x.com/glennbeck/status/2083289458984833333?s=20

Bagi Internet Archive pula, matlamatnya bukan sekadar menghasilkan fail digital, tetapi pada masa sama memelihara naskhah fizikal asal dengan kesan minimum sepanjang proses pengimbasan.

Pada 2021, Internet Archive mempunyai kira-kira 70 operator Scribe yang bekerja di pusat pendigitalan di Amerika Syarikat, United Kingdom dan Kanada.

https://x.com/internetarchive/status/2092294612568138217?s=20

Di sebalik sebuah perpustakaan digital yang boleh diakses dalam beberapa saat, sebenarnya masih ada manusia yang menghabiskan masa menyelak, memeriksa dan mengimbas setiap halaman satu demi satu.

Dalam era AI yang mampu memproses berjuta-juta perkataan dalam masa singkat, proses Internet Archive ini menjadi peringatan bahawa untuk membawa sesetengah ilmu lama ke dunia digital, tangan manusia masih sukar digantikan.

{suggest}

The post Jutaan Buku Di Internet Archive Masih Didigitalkan Halaman Demi Halaman appeared first on WISER.MY.

]]>
385659
Ng Weng Hong, Jurufoto Di Sebalik Gambar Ikonik Laungan Merdeka 1957 https://wiser.my/ng-weng-hong-jurufoto-di-sebalik-gambar-ikonik-laungan-merdeka-1957 Thu, 27 Aug 2026 10:05:34 +0000 https://wiser.my/?p=385510 Setiap kali tiba sambutan Hari Kebangsaan, antara gambar yang pasti kembali menghiasi akhbar, televisyen dan media sosial ialah foto Tunku Abdul Rahman Putra Al-Haj mengangkat tangan ketika melaungkan “Merdeka” di Stadium Merdeka pada 31 Ogos 1957. Ia menjadi antara foto paling ikonik dalam sejarah negara. Namun, di sebalik detik yang dirakam dan terus dikenang hampir...

The post Ng Weng Hong, Jurufoto Di Sebalik Gambar Ikonik Laungan Merdeka 1957 appeared first on WISER.MY.

]]>
Setiap kali tiba sambutan Hari Kebangsaan, antara gambar yang pasti kembali menghiasi akhbar, televisyen dan media sosial ialah foto Tunku Abdul Rahman Putra Al-Haj mengangkat tangan ketika melaungkan “Merdeka” di Stadium Merdeka pada 31 Ogos 1957.

Ia menjadi antara foto paling ikonik dalam sejarah negara. Namun, di sebalik detik yang dirakam dan terus dikenang hampir tujuh dekad kemudian, mungkin tidak ramai yang mengetahui siapakah individu yang berada di belakang kamera ketika itu.

Kredit: Happy Ng via Wazari Wazir

Jurufoto tersebut ialah Ng Weng Hong, jurufoto Jabatan Penerangan yang bukan sahaja merakam detik kemerdekaan negara, malah banyak peristiwa penting dalam sejarah Tanah Melayu dan Malaysia sepanjang kerjayanya.

Dari Pulau Pinang Ke Jabatan Penerangan

Menurut perkongsian jurufoto Wazari Wazir, Ng Weng Hong dilahirkan di Pulau Pinang pada 1923. Sebelum memulakan kerjayanya sebagai jurufoto kerajaan, kehidupannya turut melalui zaman pendudukan Jepun.

Anaknya, Happy Ng, menerusi penulisan bertajuk A Photographic Journey through History dalam buku ulang tahun ke-30 Photographic Society of Petaling Jaya (PSPJ), menceritakan bahawa bapanya dihantar ke landasan kereta api yang dikenali sebagai “Death Railway” di Myanmar, ketika itu Burma, semasa pendudukan Jepun.

Ng terselamat daripada pengalaman tersebut dan kembali selepas perang. Beliau kemudiannya menyertai Information Department pada 1946, sebelum Tanah Melayu mencapai kemerdekaan.

Kredit: Happy Ng via Wazari Wazir

Kerjaya itu akhirnya meletakkan Ng di tengah-tengah pelbagai peristiwa yang hari ini menjadi sebahagian daripada sejarah negara.

Antaranya, beliau mendokumentasikan kehidupan ketika Darurat termasuk pemindahan penduduk ke kawasan “New Villages” di bawah Rancangan Briggs.

Pada 28 Disember 1955, Ng turut berada di Baling, Kedah untuk merakam pertemuan antara Tunku Abdul Rahman, Ketua Menteri Singapura David Marshall dan Setiausaha Agung Parti Komunis Malaya Chin Peng dalam Rundingan Baling.

Jurufoto Di Sebalik Foto Merdeka

Kredit: Happy Ng via Wazari Wazir

Kemuncak kepada perjalanan tersebut hadir pada pagi 31 Ogos 1957.

Menurut Happy Ng, bapanya merupakan salah seorang daripada empat jurufoto rasmi yang ditugaskan membuat liputan upacara Pengisytiharan Kemerdekaan Persekutuan Tanah Melayu di Stadium Merdeka.

Kredit: Happy Ng via Wazari Wazir

Daripada tugasan itulah terhasil foto yang kini cukup sinonim dengan kemerdekaan negara, memperlihatkan Tunku Abdul Rahman mengangkat tangan ketika melaungkan “Merdeka”.

Foto berkenaan merupakan hasil rakaman Ng Weng Hong.

Hari ini, gambar tersebut telah menjadi lebih daripada sekadar dokumentasi sesuatu acara. Ia merupakan antara visual utama yang digunakan untuk menggambarkan detik kelahiran sebuah negara merdeka dan kembali dipaparkan hampir setiap kali menjelang 31 Ogos.

Namun, kerjaya Ng tidak berakhir dengan peristiwa 1957.

Terus Merakam Sejarah Negara

Ng turut bertanggungjawab merakam potret rasmi Yang di-Pertuan Agong pertama, Tuanku Abdul Rahman ibni Almarhum Tuanku Muhammad.

Kredit: Happy Ng via Wazari Wazir

Dalam perkongsiannya, Wazari turut menyatakan Ng menjadi jurufoto rasmi ketika lawatan bersejarah Perdana Menteri kedua, Tun Abdul Razak Hussein ke China pada 1974.

Kisah itu turut diperincikan oleh Happy Ng. Disebabkan kawalan keselamatan yang ketat, bapanya merupakan satu-satunya jurufoto Malaysia yang dibenarkan merakam pertemuan Tun Abdul Razak dengan Perdana Menteri China ketika itu, Zhou Enlai. Lawatan tersebut membawa kepada pembentukan hubungan diplomatik antara Malaysia dan China.

Sepanjang perkhidmatannya, Ng turut dianugerahkan Johan Setia Diraja (J.S.D.), sementara jawatan terakhirnya di Jabatan Penerangan adalah sebagai Ketua Unit Foto sebelum bersara.

Kerjayanya di jabatan berkenaan berlangsung dari 1946 hingga 1978, merentasi zaman sebelum merdeka, pembentukan Malaysia dan pembangunan negara selepas kemerdekaan. Rekod mengenai perjalanan kerjayanya turut pernah diketengahkan dalam penerbitan Persatuan Warisan Perak yang menyenaraikan beberapa peristiwa penting yang dirakamnya sepanjang tempoh tersebut.

Ng Weng Hong meninggal dunia pada 1988 ketika berusia 65 tahun.

Hari ini, jutaan rakyat Malaysia mungkin mengenali foto yang dihasilkannya tanpa mengetahui nama individu yang menekan butang pengatup kamera pada saat bersejarah itu.

Jika Tunku Abdul Rahman berada di hadapan kamera ketika detik kemerdekaan diabadikan, Ng Weng Hong adalah antara insan di belakang kamera yang memastikan detik tersebut dapat terus disaksikan oleh generasi selepasnya.

Gambar utama: Jabatan Penerangan via Wazari Wazir Photography

Rujukan: Perkongsian Wazari Wazir Photography dengan gambar peribadi Ng Weng Hong atas ihsan anak mendiang En. Happy Ng, serta “A Photographic Journey through History” oleh Happy Ng dalam 30th Anniversary Commemorative Book, Photographic Society of Petaling Jaya (PSPJ).

{suggest}

The post Ng Weng Hong, Jurufoto Di Sebalik Gambar Ikonik Laungan Merdeka 1957 appeared first on WISER.MY.

]]>
385510
Nothing OS 5.0 Diumumkan Dengan Android 17 – Ini Sejumlah Ciri Baharu Yang Ditawarkan https://wiser.my/nothing-os-5-0-diumumkan-dengan-android-17-ini-sejumlah-ciri-baharu-yang-ditawarkan Wed, 26 Aug 2026 06:16:55 +0000 https://wiser.my/?p=385250 Nothing kini memperkenalkan Nothing OS 5.0 sebagai kemas kini perisian utama yang membawa perubahan pada antara muka, penyesuaian, prestasi, ciri AI dan ciri berasaskan Android 17. Antara muka diperbaharui Nothing OS 5.0 membawa perubahan visual merentasi keseluruhan sistem, termasuk tipografi, ikon, jarak, elemen visual dan animasi. Nothing turut menggunakan Geist sebagai fon sistem baharu, selain...

The post Nothing OS 5.0 Diumumkan Dengan Android 17 – Ini Sejumlah Ciri Baharu Yang Ditawarkan appeared first on WISER.MY.

]]>
Nothing kini memperkenalkan Nothing OS 5.0 sebagai kemas kini perisian utama yang membawa perubahan pada antara muka, penyesuaian, prestasi, ciri AI dan ciri berasaskan Android 17.

Antara muka diperbaharui

Nothing OS 5.0 membawa perubahan visual merentasi keseluruhan sistem, termasuk tipografi, ikon, jarak, elemen visual dan animasi. Nothing turut menggunakan Geist sebagai fon sistem baharu, selain mereka semula halaman Settings dengan ikon dan susun atur yang lebih konsisten.

Bar status juga menerima ikon sistem baharu serta animasi yang lebih ekspresif. Penunjuk seperti isyarat, Wi-Fi dan bateri direka supaya kelihatan lebih jelas dan konsisten.

Pada aplikasi Camera, kawalan turut dikemas kini bersama fungsi imbasan kod QR yang lebih mudah. Selepas kod QR dikenal pasti, hasil imbasan akan kekal pada kedudukan tetap supaya lebih mudah ditekan tanpa perlu melaraskan semula kamera.

Gallery pula kini membolehkan paparan Photos disusun mengikut “Recently Added” atau “Captured Date” serta ditapis mengikut kategori seperti Favourites, Edited, Photos, Videos dan Screenshots.

Penyesuaian lebih mendalam

Nothing OS 5.0 menawarkan lebih banyak pilihan untuk menyesuaikan telefon, termasuk warna yang mengikuti wallpaper, gaya skrin kunci dan widget.

Skrin utama menerima tema baharu dengan elemen lutsinar pada widget dan Search. Ikon aplikasi serta widget tertentu juga boleh menggunakan warna yang disesuaikan dengan wallpaper.

Skrin kunci pula mendapat dua muka jam baharu, Gooey dan Micrographics, bersama pilihan warna tambahan. Fungsi Depth Effect juga memberikan lebih banyak kawalan untuk mengubah kedudukan dan saiz imej wallpaper.

Nothing turut memudahkan penyuntingan skrin utama dengan membolehkan beberapa ikon dan widget dipilih serta dialihkan secara serentak.

Antara tambahan lain termasuk widget Away Time untuk melihat tempoh pengguna berjauhan daripada telefon dan Collector untuk menyimpan serta memaparkan koleksi objek atau perkara yang diminati.

Glyph Interface juga kini mempunyai aplikasi khusus, manakala Glyph Timer boleh dimulakan terus melalui widget pada skrin utama.

Lebih pantas dan lancar

Nothing OS 5.0 turut membawa beberapa penambahbaikan untuk menjadikan penggunaan harian lebih lancar, termasuk ketika membuka aplikasi, menatal, menggunakan skrin sentuh dan bertukar antara aplikasi.

Pergerakan pada antara muka juga kini lebih responsif terhadap tindakan pengguna. Contohnya, apabila pengguna mula membuka sesuatu paparan tetapi kemudian kembali semula, pergerakan pada skrin akan mengikut tindakan tersebut berbanding meneruskan pergerakan asal.

Kawalan Bluetooth dalam Quick Settings juga kini lebih mudah digunakan. Peranti yang disokong boleh disambung atau diputuskan dengan satu ketikan tanpa perlu membuka tetapan Bluetooth sepenuhnya.

Alatan AI Essential

Nothing OS 5.0 membawa beberapa kemas kini kepada Essential Voice, Essential Space dan Essential Apps.

Essential Voice kini menawarkan transkripsi yang lebih pantas dan tersusun, termasuk transkripsi masa nyata yang memaparkan perkataan ketika pengguna bercakap. Nothing turut menyatakan fungsi terjemahan masa nyata akan hadir kemudian tahun ini.

Essential Space pula hadir dengan Smart Collections yang boleh mencadangkan kandungan berkaitan untuk dimasukkan ke dalam koleksi, termasuk mencadangkan koleksi baharu berdasarkan topik yang sama dalam beberapa tangkapan.

Sokongan Model Context Protocol atau MCP turut diperkenalkan pada Essential Space. Dengan ciri ini, platform AI yang serasi boleh mencari dan membaca maklumat terpilih daripada Essential Space tanpa pengguna perlu menyalin kandungan secara manual. Sokongan awal ini hanya membenarkan bacaan dan tidak boleh mengubah data dalam Essential Space. Nothing menyatakan MCP akan tersedia melalui Google Play pada Oktober.

Essential Apps Builder pula kini hadir terus sebagai aplikasi pada telefon. Pengguna hanya perlu menerangkan alat yang ingin dibuat menggunakan bahasa biasa, kemudian melihat, mengubah suai dan meletakkannya pada skrin utama tanpa perlu menulis kod. Ciri ini masih dalam versi beta dan akses akan diperluaskan secara berperingkat.

Lebih banyak kawalan pada sistem

Nothing OS 5.0 dibina berasaskan Android 17 dan membawa beberapa perubahan pada kawalan sistem.

Pengguna kini boleh mengasingkan Notifications dan Quick Settings kepada dua panel berbeza. Dalam mod ini, leret dari kiri untuk membuka Notifications dan dari kanan untuk membuka Quick Settings.

Quick Share juga dipertingkatkan dengan pilihan berkongsi fail melalui kod QR. Penerima boleh mengimbas kod tersebut menggunakan iPhone atau telefon Android lain, kemudian memuat turun fail melalui pautan web tanpa memerlukan aplikasi tambahan.

Nothing turut memperkenalkan kawalan rakaman skrin berbentuk kapsul terapung dan Live Updates pada bar status. Bar status juga menggunakan penunjuk tiga warna, dengan hijau menandakan akses sensitif, biru menunjukkan perkongsian lokasi dan kuning menunjukkan pemprosesan data AI.

Android 17 turut membawa Noto 3D Emoji, manakala skrin Recents mendapat susun atur baharu untuk memudahkan akses kepada fungsi seperti Split Screen dan App Info.

Beta Terbuka bermula hari ini

Nothing OS 5.0 Open Beta akan tersedia mulai 26 Ogos 2026, jam 6:00 petang waktu Malaysia, dengan Phone (3) menjadi peranti pertama yang menerima kemas kini tersebut.

Berdasarkan jadual yang dikongsikan Nothing, beberapa model lain akan menerima Open Beta secara berperingkat mulai September, manakala keluaran umum dijadualkan bermula Oktober. Jadual ini bagaimanapun masih tertakluk kepada perubahan dan pelancaran akan dibuat secara berperingkat mengikut rantau serta operator.

Untuk Open Beta, Launcher yang direka semula dan muka jam Micrographics masih belum tersedia. Kedua-duanya hanya akan hadir bersama keluaran umum mulai Oktober.

{suggest}

The post Nothing OS 5.0 Diumumkan Dengan Android 17 – Ini Sejumlah Ciri Baharu Yang Ditawarkan appeared first on WISER.MY.

]]>
385250
Trial WinRAR Dah Habis, Tapi Kenapa Masih Boleh Guna? https://wiser.my/trial-winrar-dah-habis-tapi-kenapa-masih-boleh-guna Mon, 24 Aug 2026 09:05:40 +0000 https://wiser.my/?p=385048 Kalau anda pernah menggunakan komputer Windows sejak dulu, besar kemungkinan anda pernah berjumpa dengan satu tetingkap yang sangat dikenali. Tempoh percubaan WinRAR sudah tamat dan pengguna diminta membeli lesen. Menariknya, selepas menutup tetingkap tersebut, WinRAR masih boleh digunakan. Fail RAR masih boleh dibuka, kandungan arkib masih boleh diekstrak dan aplikasi itu tidak terus terkunci seperti...

The post Trial WinRAR Dah Habis, Tapi Kenapa Masih Boleh Guna? appeared first on WISER.MY.

]]>
Kalau anda pernah menggunakan komputer Windows sejak dulu, besar kemungkinan anda pernah berjumpa dengan satu tetingkap yang sangat dikenali. Tempoh percubaan WinRAR sudah tamat dan pengguna diminta membeli lesen.

Menariknya, selepas menutup tetingkap tersebut, WinRAR masih boleh digunakan. Fail RAR masih boleh dibuka, kandungan arkib masih boleh diekstrak dan aplikasi itu tidak terus terkunci seperti kebanyakan perisian berbayar moden.

Situasi inilah yang akhirnya menjadikan “trial 40 hari WinRAR” sebagai antara jenaka paling terkenal dalam dunia perisian komputer. Tetapi, adakah WinRAR sebenarnya percuma selepas 40 hari?

Jawapannya, tidak.

Trial Memang Hanya 40 Hari

WinRAR secara rasmi ialah perisian berkonsepkan “try before you buy”. Berdasarkan Perjanjian Lesen Pengguna Akhir (EULA) RAR dan WinRAR, sesiapa sahaja boleh menggunakan perisian tersebut tanpa bayaran untuk tempoh maksimum 40 hari.

Selepas tempoh berkenaan, pengguna perlu membeli lesen sekiranya mahu terus menggunakannya.

FAQ rasmi WinRAR juga cukup jelas. Penggunaan WinRAR selepas 40 hari tanpa lesen yang sah adalah melanggar EULA. Jadi, walaupun aplikasinya masih boleh dibuka, ia tidak bermaksud lesen percubaan itu secara automatik bertukar menjadi lesen percuma.

Persoalannya, kenapa WinRAR masih boleh digunakan?

Kenapa Ia Tak Terus Dikunci?

Di sinilah WinRAR sedikit berbeza. Berbanding menggunakan sistem yang terus menghalang aplikasi daripada digunakan selepas tempoh percubaan tamat, WinRAR menggunakan pendekatan berbentuk peringatan untuk meminta pengguna membeli lesen.

Dan perkara itu bukannya fenomena baharu.

Dalam kenyataan rasmi ketika pelancaran WinRAR 3.80 pada 2008, syarikat itu menerangkan bahawa versi demonstrasi berjalan selama 40 hari sebelum pengguna akan diminta membeli lesen apabila tempoh tersebut tamat.

WinRAR sehingga kini turut mempunyai halaman pemberitahuan khas yang memberitahu pengguna bahawa percubaan 40 hari mereka sudah berakhir, sebelum mengajak mereka membeli lesen bagi menyokong pembangunan WinRAR.

Pendekatan ini selari dengan status WinRAR sebagai sebuah shareware, istilah yang turut digunakan dalam EULA rasminya. Idea asasnya ialah pengguna boleh mencuba perisian terlebih dahulu sebelum membuat keputusan untuk membeli.

WinRAR pada hari ini turut menggunakan istilah trialware dan “try before you buy” untuk menerangkan model tersebut.

Namun, tiada kenyataan rasmi daripada WinRAR yang mengatakan mereka sengaja memberikan lesen percuma selama-lamanya kepada pengguna yang enggan membayar.

Lebih tepat untuk mengatakan WinRAR tidak menguatkuasakan tamatnya tempoh percubaan dengan mengunci aplikasi sepenuhnya. Dari sudut lesen pula, syarat 40 hari tetap terpakai.

Jadi, Siapa Sebenarnya Beli WinRAR?

Walaupun jenaka internet sering menggambarkan seolah-olah tiada sesiapa pernah membeli WinRAR, perisian itu sememangnya mempunyai pelanggan berbayar.

Bagi organisasi pula, syarat pelesenannya lebih jelas. Menurut FAQ WinRAR, dalam persekitaran pelayan atau rangkaian, lesen berasingan perlu dibeli bagi setiap komputer atau stesen kerja yang memasang, menggunakan atau mengakses WinRAR.

Syarikat win.rar GmbH, yang menguruskan pemasaran, jualan dan sokongan produk RARLAB, ditubuhkan pada 2002. Dalam kenyataan ulang tahun pertamanya pada 2003, syarikat itu mendakwa jualan WinRAR antara April hingga Disember 2002 meningkat sebanyak 160 peratus.

Maksudnya, orang memang membeli WinRAR.

Cuma mungkin tidak seramai yang dibayangkan berdasarkan berapa ramai pernah menggunakannya.

WinRAR Sendiri Dah Ikut Main Meme

Lebih dua dekad kemudian, WinRAR sendiri nampaknya cukup sedar reputasi trial 40 harinya sudah menjadi sebahagian daripada budaya internet.

Pada 30 Jun 2026, akaun rasmi WinRAR di X mengumumkan pelancaran WinRAR 7.23 sambil menulis:

“Terima kasih kepada semua pembayaran anda baru-baru ini, kami akhirnya dapat membangunkan versi baharu!”

Dengan kata lain, mereka berterima kasih kepada semua pembayaran terkini kerana membolehkan versi baharu WinRAR dibangunkan. Ayat tersebut jelas bermain dengan jenaka lama mengenai pengguna yang tidak pernah membeli lesen walaupun telah menggunakan WinRAR bertahun-tahun.

Namun, WinRAR 7.23 bukan sekadar bahan untuk bergurau. Menurut RARLAB dan win.rar GmbH, kemas kini tersebut memberi fokus kepada keselamatan dengan membaiki dua kerentanan serta mengemas kini pustaka pengekstrakan teras.

Jadi, “trial WinRAR yang tidak pernah habis” sebenarnya hanyalah meme.

Secara teknikal, WinRAR memang tidak terus menghalang aplikasi daripada digunakan apabila hari ke-40 berlalu. Tetapi dari sudut lesen, tempoh percubaan tetap sudah tamat dan pengguna yang mahu terus menggunakannya perlu membeli lesen.

Mungkin disebabkan ini yang menjadikan WinRAR begitu unik. Tetingkap peringatan yang asalnya bertujuan menjual lesen akhirnya menjadi salah satu perkara paling dikenali dalam sejarah perisian PC.

{suggest}

The post Trial WinRAR Dah Habis, Tapi Kenapa Masih Boleh Guna? appeared first on WISER.MY.

]]>
385048
Bukan Jurutera Sahaja, Graduan Sains Sukan Juga Boleh Bergelar Ts. https://wiser.my/bukan-jurutera-sahaja-graduan-sains-sukan-juga-boleh-bergelar-ts Fri, 14 Aug 2026 08:07:13 +0000 https://wiser.my/?p=384267 Ramai mungkin biasa melihat gelaran Ts. digunakan oleh individu yang berkecimpung dalam bidang teknologi dan kejuruteraan. Namun, bagaimana pula jika seseorang itu merupakan graduan Sains Sukan dan Sains Kesihatan? Perkara tersebut mungkin kedengaran agak luar biasa, tetapi pengalaman Ts. Dr. Hadafi Fitri Mohd Latip dari Universiti Teknologi Malaysia (UTM) menunjukkan bagaimana bidang Sains Sukan sebenarnya...

The post Bukan Jurutera Sahaja, Graduan Sains Sukan Juga Boleh Bergelar Ts. appeared first on WISER.MY.

]]>
Ramai mungkin biasa melihat gelaran Ts. digunakan oleh individu yang berkecimpung dalam bidang teknologi dan kejuruteraan. Namun, bagaimana pula jika seseorang itu merupakan graduan Sains Sukan dan Sains Kesihatan?

Perkara tersebut mungkin kedengaran agak luar biasa, tetapi pengalaman Ts. Dr. Hadafi Fitri Mohd Latip dari Universiti Teknologi Malaysia (UTM) menunjukkan bagaimana bidang Sains Sukan sebenarnya boleh mempunyai hubungan rapat dengan dunia teknologi.

Apa sebenarnya gelaran Ts.?

Ts. merupakan gelaran profesional bagi Professional Technologist yang berdaftar dengan Malaysia Board of Technologists (MBOT).

MBOT Manual 2019

MBOT ialah badan profesional yang ditubuhkan menerusi Akta Teknologis dan Juruteknik 2015 (Akta 768) bagi mendaftar serta mengiktiraf teknologis dan juruteknik profesional di Malaysia.

Bagi seseorang Graduate Technologist yang ingin mendapatkan status Professional Technologist, MBOT ketika ini menetapkan antaranya pengalaman praktikal minimum tiga tahun dalam bidang teknologi atau teknikal berkaitan, selain perlu memenuhi kriteria yang ditentukan oleh lembaga tersebut.

Di bawah Seksyen 19 Akta 768 pula, Professional Technologist mempunyai hak berkaitan kelulusan dan pensijilan terhadap cara atau pelaksanaan perkhidmatan teknologi dalam bidang yang diiktirafnya.

Namun, perkara menarik dalam kisah Dr. Hadafi adalah latar belakang akademiknya bukanlah bermula dalam bidang kejuruteraan.

Daripada Sains Sukan kepada teknologi

Dr. Hadafi merupakan graduan Ijazah Sarjana Muda Sains serta Pendidikan (Sains Sukan) di UTM.

Menurut perkongsian beliau kepada kami, pendedahan terhadap teknologi bermula ketika menjalankan projek tahun akhir di universiti apabila penyelianya menggalakkan pelajar menghasilkan projek berkaitan inovasi dan teknologi sukan.

Ia bukan tugas mudah kerana beliau tidak mempunyai latar belakang kejuruteraan secara khusus.

Bagaimanapun, beberapa subjek yang dipelajarinya termasuk pengaturcaraan C++, telekomunikasi dan rangkaian, teknologi pengajaran serta multimedia berasaskan web sedikit sebanyak memberikan asas untuk meneroka bidang tersebut.

Pertandingan INATEX UTM 2010 & Malaysia Technology Expo (MTE) 2011

Daripada situ, beliau mula terlibat dengan pembangunan dan kajian peralatan berkaitan sukan serta menyertai pertandingan inovasi seperti Industrial Art and Technology Exhibition (INATEX) UTM dan Malaysia Technology Expo (MTE).

Pengalaman tersebut kemudiannya menjadi antara asas kepada penglibatan beliau yang lebih mendalam dalam teknologi sukan.

Teknologi sukan bukan sekadar jam pintar

Istilah teknologi sukan mungkin menyebabkan ramai membayangkan jam pintar, penjejak kecergasan atau sensor yang digunakan oleh atlet.

Hakikatnya skopnya jauh lebih luas.

Ia boleh melibatkan pembangunan perkakasan, perisian, analisis pergerakan, biomekanik, pengumpulan data, keselamatan sehingga kepada teknologi yang digunakan dalam proses rehabilitasi atlet.

Perkara inilah yang diteruskan Dr. Hadafi ketika mengikuti pengajian Doktor Falsafah dalam bidang Sains Kesihatan di UTM.

Integrated Multiple Ankle Technology Device (IMATD)

Dalam kajiannya, beliau membangunkan Integrated Multiple Ankle Technology Device (IMATD), iaitu teknologi rehabilitasi yang memberi tumpuan terhadap proses pemulihan kecederaan buku lali.

Sistem tersebut menggabungkan peralatan rehabilitasi dengan aplikasi, perisian serta pangkalan data bagi merekod dan menguruskan maklumat berkaitan proses pemulihan.

Menurut Dr. Hadafi, pembangunan IMATD turut mengambil kira aspek seperti pergerakan mekanikal, kestabilan, keselamatan pengguna dan analisis struktur.

Ini menunjukkan bagaimana sesuatu kajian yang asalnya berada dalam bidang Sains Sukan dan Sains Kesihatan boleh berkembang sehingga merangkumi pelbagai elemen teknologi serta kejuruteraan.

Keselamatan juga sebahagian daripada teknologi

Satu lagi bidang yang diberi perhatian beliau ialah keselamatan.

Dalam teknologi sukan, sesuatu peralatan bukan sahaja perlu berfungsi tetapi perlu mengambil kira risiko kepada atlet dan pengguna.

Ini termasuk mengenal pasti risiko, keselamatan penggunaan peralatan dan langkah pencegahan kecederaan.

Disebabkan itu, Dr. Hadafi turut mendalami bidang Occupational Safety and Health (OSH) sebagai pengetahuan tambahan kepada penyelidikannya.

Hubungan antara teknologi dan keselamatan ini juga selari dengan fungsi seorang teknologis yang bukan semata-mata membangunkan sesuatu produk, tetapi perlu memahami bagaimana teknologi itu digunakan secara selamat dan bertanggungjawab.

Jadi, graduan Sains Sukan boleh terus mohon Ts.?

Tidak semestinya.

Apa yang ditunjukkan melalui pengalaman Dr. Hadafi bukanlah bahawa setiap pemegang ijazah Sains Sukan secara automatik layak mendapat gelaran Ts.

Sebaliknya, perjalanan profesional, pengalaman dalam bidang teknologi dan kompetensi yang dibangunkan seseorang memainkan peranan penting.

MBOT sendiri meletakkan Graduate Technologist sebagai peringkat pendaftaran sebelum seseorang boleh memohon sebagai Professional Technologist, dengan kelayakan serta bidang teknologi berkaitan tertakluk kepada pengiktirafan lembaga tersebut.

Pengalaman Dr. Hadafi menjadi contoh menarik bagaimana seseorang yang bermula daripada bidang Sains Sukan akhirnya membina kepakaran yang bersilang dengan inovasi, teknologi rehabilitasi, perisian dan keselamatan.

Teknologi sukan semakin multidisiplin

Hari ini, prestasi seorang atlet tidak lagi hanya bergantung kepada latihan secara konvensional.

Data, sensor, analisis pergerakan, perisian, kecerdasan buatan serta pelbagai peralatan khusus semakin digunakan dalam latihan dan pemulihan.

Disebabkan itu, sempadan antara bidang seperti Sains Sukan, Sains Kesihatan, sains komputer dan kejuruteraan juga semakin kabur.

Dr. Hadafi sendiri berharap teknologi sukan pada suatu hari nanti mendapat kedudukan yang lebih khusus dalam ekosistem profesional teknologi negara serta lebih ramai graduan Sains Sukan melibatkan diri dalam pembangunan teknologi tempatan.

Beliau yang kemudiannya berkhidmat sebagai pensyarah kanan di Sekolah Kejuruteraan Bioperubatan dan Sains Kesihatan, UTM turut pernah memegang tanggungjawab sebagai Timbalan Pengarah Sports Innovation Technology Centre (SITC) UTM.

Jika ada satu perkara yang boleh diambil daripada perjalanan ini, nama ijazah yang tertera pada sijil tidak semestinya menentukan satu-satunya bidang yang boleh diterokai seseorang.

Dalam kes Dr. Hadafi, perjalanan daripada Sains Sukan kepada teknologi akhirnya membawanya kepada pengiktirafan sebagai seorang Professional Technologist (Ts.).

(Artikel ini disediakan berdasarkan pengalaman dan perkongsian Ts. Dr. Hadafi Fitri Mohd Latip, Timbalan Pengarah, Sports Innovation Technology Centre, Institute Human Centred Engineering, School of Biomedical Engineering & Health Sciences, Faculty Engineering, Universiti Teknologi Malaysia.)

{suggest}

The post Bukan Jurutera Sahaja, Graduan Sains Sukan Juga Boleh Bergelar Ts. appeared first on WISER.MY.

]]>
384267
Robocop Menjalankan Sistem Windows Dan Terminator Pula macOS https://wiser.my/robocop-menjalankan-sistem-windows-dan-terminator-pula-macos Tue, 11 Aug 2026 03:34:12 +0000 https://wiser.my/?p=383712 Dalam dunia filem sains fiksyen, perincian kecil sering menjadi bahan bualan peminat tegar. Seperti dalam podcast saluran The Movie List baru-baru ini telah membongkarkan salah satu fakta menarik yang mungkin kebanyakkan daripada penonton tidak sedar iaitu berkaitan sistem operasi yang digunakan oleh dua ikon cyborg terkenal era lewat 80an dan awal 90an iaitu RoboCop dan...

The post Robocop Menjalankan Sistem Windows Dan Terminator Pula macOS appeared first on WISER.MY.

]]>
Dalam dunia filem sains fiksyen, perincian kecil sering menjadi bahan bualan peminat tegar.

Seperti dalam podcast saluran The Movie List baru-baru ini telah membongkarkan salah satu fakta menarik yang mungkin kebanyakkan daripada penonton tidak sedar iaitu berkaitan sistem operasi yang digunakan oleh dua ikon cyborg terkenal era lewat 80an dan awal 90an iaitu RoboCop dan Terminator.

Walaupun sekadar paparan ringkas di skrin, ia memberi gambaran jelas tentang falsafah teknologi yang dibawakan di sebalik 2 watak robot ikonik ini.

Menurut salah seorang panel dalam podcast itu, RoboCop, yang terkenal dengan rekaan tubuh besi dan gaya utilitarian seperti ruang simpan senjatanya yang unik, sebenarnya beroperasi menggunakan Windows MS‑DOS.

Buktinya, paparan boot RoboCop ketika pertama kali ia dihidupkan memaparkan arahan klasik seperti .exe dan sys pada antaramuka sistem RoboCop.

 

Ia seakan melambangkan Microsoft pada era awal komputer, fokus kepada fungsi, bukannya gaya.

Tidak hairanlah RoboCop kelihatan agak kaku, berat dan penuh dengan sistem mekanikal yang jelas.

Sebaliknya, Terminator pula didedahkan menjalankan sistem operasi macOS apabila istilah yang muncul dalam antaramuka robot maskulin itu memaparkan QuickTime Player dan Keychain iaitu ciri khas yang terdapat dalam ekosistem Apple.

Ini sekali gus selari dengan imej Terminator yang lebih bergaya dan moden.

Bagi peminat, perincian ini mungkin menambah elemen humor dan kreativiti, tetapi secara tidak sedar ia juga menjadi satu simbolik.

RoboCop mewakili dunia korporat yang keras dan berstruktur, manakala Terminator mencerminkan pendekatan Apple yang lebih “cool” dan berorientasikan pengalaman pengguna.

Kedua‑duanya menunjukkan bagaimana teknologi boleh membentuk identiti watak, walaupun dalam bentuk fiksyen.

Kini, di era fizikal AI, robot humanoid bukan lagi fiksyen semata dan ia menjalankan sistem operasi yang direka khusus untuk robot humanoid untuk kawalan masa nyata dan pergerakan autonomi.

Dengan sistem operasi dengan dikuasakan AI membolehkan robot humanoid berfikir, bergerak dan bertindak secara autonomi  bagi melaksanakan tugas yang kompleks dan berinteraksi dengan persekitaran mereka dengan berkesan.

{suggest}

The post Robocop Menjalankan Sistem Windows Dan Terminator Pula macOS appeared first on WISER.MY.

]]>
383712
Model AI Makin Kerap ‘Hack’ Sistem Ketika Ujian – Antara Realiti, ‘Humble Brag’ Atau Kedua-Duanya https://wiser.my/model-ai-makin-kerap-hack-sistem-ketika-ujian-antara-realiti-humble-brag-atau-kedua-duanya Fri, 07 Aug 2026 05:17:42 +0000 https://wiser.my/?p=383426 Dalam tempoh beberapa minggu kebelakangan ini, tiga syarikat AI utama iaitu OpenAI, Anthropic dan Meta masing-masing mendedahkan insiden berasingan melibatkan model AI mereka ketika menjalani ujian keselamatan siber. Walaupun bentuk penilaian yang dijalankan berbeza mengikut syarikat, ketiga-tiganya berkongsi satu persamaan, iaitu model AI menunjukkan keupayaan yang melebihi jangkaan dalam persekitaran ujian yang dikawal. OpenAI sebelum...

The post Model AI Makin Kerap ‘Hack’ Sistem Ketika Ujian – Antara Realiti, ‘Humble Brag’ Atau Kedua-Duanya appeared first on WISER.MY.

]]>
Dalam tempoh beberapa minggu kebelakangan ini, tiga syarikat AI utama iaitu OpenAI, Anthropic dan Meta masing-masing mendedahkan insiden berasingan melibatkan model AI mereka ketika menjalani ujian keselamatan siber.

Walaupun bentuk penilaian yang dijalankan berbeza mengikut syarikat, ketiga-tiganya berkongsi satu persamaan, iaitu model AI menunjukkan keupayaan yang melebihi jangkaan dalam persekitaran ujian yang dikawal.

OpenAI sebelum ini mendedahkan model AI mereka berjaya mengeksploitasi kelemahan pada platform Hugging Face ketika penilaian keupayaan siber. Anthropic pula melaporkan tiga insiden berasingan melibatkan model Claude yang memperoleh akses kepada sistem sebenar ketika penilaian keselamatan dijalankan.

Terbaharu, Meta mengesahkan model AI miliknya mengeksploitasi kelemahan pada sistem pihak ketiga ketika diuji oleh firma keselamatan bebas, Irregular, susulan konfigurasi ujian yang tidak disengajakan.

Bagi syarikat AI, pendedahan mengenai insiden sedemikian merupakan sebahagian daripada usaha meningkatkan ketelusan mengenai keupayaan dan risiko model masing-masing sebelum digunakan secara lebih meluas.

Keupayaan AI kini diukur dengan cara yang berbeza

Namun di sebalik tujuan tersebut, trend ini turut menimbulkan satu persoalan. Mengapa semakin banyak laporan keselamatan kini mendedahkan model AI melakukan perkara seperti mencari kelemahan, mengeksploitasi sistem dan bertindak secara autonomi?

Salah satu sebabnya ialah skop penilaian terhadap keupayaan AI kini semakin luas. Selain menguji prestasi model dalam tugasan tertentu, penilaian kini turut melihat sejauh mana model mampu melaksanakan tugasan dunia sebenar yang lebih kompleks, termasuk menggunakan alat, merancang tindakan dan melaksanakannya secara autonomi.

Dalam konteks keselamatan siber, penilaian turut merangkumi keupayaan model untuk mengenal pasti dan mengeksploitasi kelemahan dalam kod.

Keupayaan ini turut menjadi sebahagian daripada penilaian model AI frontier, seperti yang dibincangkan dalam Frontier AI Trends Report oleh UK AI Security Institute. Penilaian sebegini bukan sekadar melihat prestasi model dalam memberikan jawapan, tetapi turut menguji bagaimana model bertindak apabila diberikan tugasan dan tahap autonomi yang lebih tinggi.

Ada yang melihat sebagai ‘humble brag’

Pada masa yang sama, trend ini turut membuka ruang kepada satu tafsiran lain.

Di platform seperti X dan forum teknologi, sesetengah pemerhati berpendapat laporan sedemikian bukan sekadar mengenai keselamatan AI, malah secara tidak langsung boleh dilihat sebagai satu bentuk ‘humble brag’.

Dalam konteks ini, ada mentafsirkan ia seolah-olah memberikan mesej, “Model kami kini cukup berkeupayaan sehingga mampu mengeksploitasi sistem ketika ujian”.

Pandangan sedemikian turut dibangkitkan dalam sesi penutup Black Hat USA 2026. Nathan Hamiel, salah seorang ahli panel dalam sesi tersebut, mempersoalkan sama ada syarikat AI kini mula melihat insiden melibatkan ejen mereka yang berkelakuan di luar jangkaan sebagai publisiti, sebelum menyifatkannya sebagai “felony humble-bragging”.

Istilah tersebut bukan bermaksud berlaku sebarang kesalahan jenayah. Sebaliknya, ia boleh dianggap sebagai sindiran terhadap keadaan apabila syarikat AI dilihat terlalu bersungguh-sungguh membina reputasi “bad boy” untuk ejen mereka, sehingga kisah tentang eksploitasi atau tindakan luar jangkaan model turut menjadi satu bentuk “flex” tentang betapa berkeupayaannya AI tersebut.

Sudah tentu, OpenAI, Anthropic atau Meta tidak pernah membuat dakwaan sedemikian secara langsung. Namun, apabila laporan mengenai model AI yang berjaya mencari kelemahan sistem, memintas halangan atau bertindak secara autonomi semakin kerap diterbitkan, persepsi sedemikian boleh timbul dalam kalangan pemerhati.

Mengapa pendedahan seperti ini tetap penting?

Walaupun tafsiran humble brag itu wujud, tidak tepat untuk menganggap semua insiden tersebut sebagai sekadar gimik pemasaran.

Pendedahan seperti ini mempunyai tujuan yang lebih besar, khususnya untuk membantu penyelidik memahami sejauh mana keupayaan model AI dan risiko yang mungkin timbul apabila model diberikan tugasan siber yang kompleks.

Sebagai contoh, OpenAI menjelaskan penemuan awal berkaitan insiden Hugging Face dikongsikan bagi membantu komuniti keselamatan memahami apa yang berlaku serta menilai tahap keupayaan semasa model AI. Anthropic pula menyifatkan penilaian keselamatan siber sebagai langkah penting dalam proses pembangunan model, bagi memahami keupayaan model serta membangunkan perlindungan yang bersesuaian sebelum ia digunakan pada masa hadapan.

Selain itu, kebanyakan insiden yang diumumkan juga berlaku dalam persekitaran ujian yang dikawal seperti red teaming, penilaian keupayaan siber atau keselamatan. Dalam banyak keadaan, model sengaja diberikan autonomi yang lebih tinggi atau beroperasi dengan sebahagian kawalan yang dilonggarkan bagi membolehkan penyelidik menilai had sebenar keupayaannya. Keadaan ini jauh berbeza daripada pengalaman pengguna biasa yang menggunakan chatbot AI untuk tugasan harian.

Secara tidak langsung, pendedahan mengenai hasil penilaian seperti ini membantu komuniti keselamatan memahami keupayaan model AI semasa serta mengenal pasti risiko yang perlu ditangani sebelum teknologi tersebut digunakan dengan lebih meluas.

Jadi, realiti, ‘humble brag’ atau kedua-duanya?

Sukar untuk menyimpulkan bahawa OpenAI, Anthropic, Meta atau mana-mana syarikat AI menerbitkan laporan keselamatan semata-mata sebagai strategi pemasaran. Sebaliknya, kebanyakan laporan seperti ini memang mempunyai tujuan untuk meningkatkan ketelusan mengenai keupayaan dan risiko model AI.

Pada masa yang sama, sukar juga untuk menafikan bahawa setiap pendedahan mengenai keupayaan luar biasa model AI secara tidak langsung turut mengukuhkan imej syarikat sebagai antara peneraju teknologi tersebut.

Mungkin itulah realiti perlumbaan AI hari ini. Ketelusan mengenai risiko model sememangnya penting untuk membantu penyelidik membina sistem AI yang lebih selamat. Namun, setiap laporan keselamatan yang mendedahkan keupayaan model juga berpotensi meningkatkan reputasi syarikat yang membangunkannya.

Akhirnya, laporan yang sama boleh dilihat sebagai usaha meningkatkan keselamatan oleh satu pihak, tetapi turut ditafsirkan sebagai satu bentuk humble brag oleh pihak yang lain. Dalam erti kata lain, kedua-dua perkara ini boleh berlaku serentak, tetapi tafsirannya mungkin bergantung kepada sudut pandang masing-masing.

{suggest}

The post Model AI Makin Kerap ‘Hack’ Sistem Ketika Ujian – Antara Realiti, ‘Humble Brag’ Atau Kedua-Duanya appeared first on WISER.MY.

]]>
383426
Mufti WP Perjelas Hukum Kad Diskaun Berbayar, Harus Jika Penuhi Syarat Ini https://wiser.my/mufti-wp-perjelas-hukum-kad-diskaun-berbayar-harus-jika-penuhi-syarat-ini Fri, 07 Aug 2026 03:36:46 +0000 https://wiser.my/?p=383400 Kad diskaun atau kad keahlian berbayar kini ditawarkan oleh pelbagai premis dan platform sebagai cara untuk menikmati diskaun serta pelbagai kelebihan kepada pelanggan. Namun, adakah penggunaan kad seperti ini dibolehkan menurut hukum syarak? Secara umumnya, kad diskaun boleh dibahagikan kepada tiga jenis, iaitu kad yang diberikan secara percuma atau selepas mencapai jumlah pembelian tertentu, kad...

The post Mufti WP Perjelas Hukum Kad Diskaun Berbayar, Harus Jika Penuhi Syarat Ini appeared first on WISER.MY.

]]>
Kad diskaun atau kad keahlian berbayar kini ditawarkan oleh pelbagai premis dan platform sebagai cara untuk menikmati diskaun serta pelbagai kelebihan kepada pelanggan. Namun, adakah penggunaan kad seperti ini dibolehkan menurut hukum syarak?

Secara umumnya, kad diskaun boleh dibahagikan kepada tiga jenis, iaitu kad yang diberikan secara percuma atau selepas mencapai jumlah pembelian tertentu, kad berbayar yang dikeluarkan oleh peniaga sendiri sama ada melalui bayaran sekali sahaja atau secara berkala, serta kad berbayar yang ditawarkan oleh pihak ketiga untuk digunakan di premis terpilih.

Menerusi Irsyad Hukum Siri Ke-881, Pejabat Mufti Wilayah Persekutuan (Mufti WP) menjelaskan penggunaan kad diskaun yang diberikan secara percuma adalah harus kerana ia dianggap sebagai hibah daripada peniaga kepada pelanggan.

Bagi kad diskaun berbayar pula, isu ini pernah diperselisihkan dalam kalangan ulama dan badan-badan fatwa kontemporari kerana dikaitkan dengan unsur gharar (ketidaktentuan), perjudian serta penipuan.

Antaranya apabila pelanggan membayar yuran tetapi manfaat yang diterima tidak pasti, selain terdapat peniaga yang menaikkan harga terlebih dahulu untuk mewujudkan gambaran seolah-olah pembeli menikmati diskaun, sedangkan mereka sebenarnya hanya membayar harga asal.

Bagaimanapun, Mufti WP menjelaskan penggunaan kad diskaun berbayar adalah harus dengan syarat caj yang dikenakan hanya pada kadar minimum bagi menampung kos pengeluaran dan pentadbiran kad, bukannya bertujuan menjana keuntungan.

Penjelasan ini turut merujuk kepada keputusan Mesyuarat Panel Pakar Muamalat JAKIM pada 4 April 2017 yang mengharuskan penggunaan kad diskaun, kad keahlian dan kad loyalti, tertakluk kepada beberapa syarat berikut:

  • Caj yang dikenakan mestilah pada kadar minimum.
  • Tiada unsur perjudian seperti hadiah cabutan bertuah yang dibiayai daripada yuran pengeluaran kad.
  • Terma, syarat dan tempoh sah laku keahlian dinyatakan dengan jelas.
  • Pengeluar tidak menjana keuntungan daripada pengeluaran kad.
  • Kad tersebut tidak menawarkan manfaat yang tidak patuh syariah.

Sementara itu, kad diskaun, kad keahlian dan kad loyalti yang diberikan secara percuma pula adalah harus berdasarkan konsep tabarru’at.

{suggest}

The post Mufti WP Perjelas Hukum Kad Diskaun Berbayar, Harus Jika Penuhi Syarat Ini appeared first on WISER.MY.

]]>
383400