Menu
WISER.MY
  • Pergi ke Wiser.my
  • Berita
  • Ulasan
  • Trivia
  • Tips Gajet
  • Promosi
  • Youtube
  • Hubungi Kami
WISER.MY

EV Mampu Milik Ubah Landskap Automotif Malaysia, Tapi Isu Pengecasan Di Kondominium Kekal Cabaran

Posted on Oktober 6, 2025

Pengumuman Proton e.Mas 5 baru-baru ini benar-benar menarik perhatian rakyat Malaysia. Ramai yang teruja kerana akhirnya ada kenderaan elektrik dengan harga sekitar RM60,000 hingga RM80,000 yang boleh dianggap mampu milik.

Tidak lama lagi, Perodua pula dijangka melancarkan model EV pertamanya. Perkembangan ini menunjukkan era kenderaan elektrik untuk rakyat semakin hampir.

Tetapi dalam kegembiraan ini, muncul satu persoalan besar yang masih belum dijawab sepenuhnya, iaitu di mana pemilik EV yang tinggal di kondominium atau high-rise boleh mengecas kereta mereka setiap hari?

Dalam artikel saya sebelum ini, saya sudah mengupas bahawa stesen atau hab pengecasan awam sudah semakin banyak terutama di bandar-bandar besar dan lebuh raya Malaysia. Ia sedikit sebanyak menyelesaikan isu bagi perjalanan jarak jauh.

EV di Malaysia pun lebih seronok digunakan bagi yang tinggal rumah teres atau kita panggil landed.

Bagaimanapun, saya mempunyai persoalan yang sama bagi kebanyakan pemilik EV di negara ini — pengecasan di rumah, khususnya golongan yang tinggal di rumah bangunan bertingkat.

Di kumpulan Facebook komuniti ‘Malaysian Electric Vehicle Owners Club’, Datuk Shahrol Azral Ibrahim Halmi turut membincangkan isu tersebut baru-baru ini.

Bagi yang tidak mengenalinya, beliau merupakan antara pemilik EV terawal di Malaysia yang mana telah memandu EV hampir 10 tahun.

Cabaran di Bangunan Bertingkat

Majoriti penduduk bandar di Malaysia tinggal di bangunan bertingkat, bukan di rumah teres. Walaupun ada kondominium baharu yang menyediakan petak khas dengan kemudahan pengecasan EV, kebanyakan bangunan lama tidak direka untuk menampung keperluan tenaga tambahan.

Antara cabaran utama termasuk beban sistem elektrik, isu keselamatan, dan status hak milik petak parkir. Ramai pengurusan bersama atau JMB masih berhati-hati untuk meluluskan pemasangan pengecas peribadi kerana bimbang risiko kebakaran dan peningkatan kos penyelenggaraan.

Ya, ada beberapa kondominium menyediakan ‘charging bay’ tetapi bila lambakan EV di bangunan tersebut, ia akan sesak dan perlu menunggu pula.

Namun, sudah ada contoh kejayaan di Malaysia. Berdasarkan perkongsian, ada kondominium di Kuala Lumpur yang dilaporkan mempunyai lebih 100 pengecas individu di tempat letak kereta penduduk dan telah beroperasi lebih lima tahun tanpa sebarang isu besar.

Model ini boleh dijadikan rujukan untuk bangunan lain yang ingin melaksanakan kemudahan serupa.

Bagaimana Dengan Kondominium Yang Sudah Ada Parkir Hak Milik?

Bagi kondominium yang setiap unit sudah mempunyai dua petak parkir hak milik dan semuanya bertutup, sebenarnya situasi ini lebih mudah diurus.

Dalam kes seperti ini, pemilik boleh mempertimbangkan pemasangan pengecas peribadi di ruang parkir sendiri, asalkan kerja pemasangan dilakukan secara sah dan selamat.

Secara umum, pemilik perlu mendapatkan kelulusan bertulis daripada badan pengurusan (JMB atau MC) kerana pemasangan pengecas biasanya melibatkan kerja pendawaian yang melalui kawasan bersama.

Selain itu, pemasangan mestilah dilakukan oleh juruelektrik bertauliah serta mematuhi piawaian keselamatan Suruhanjaya Tenaga dan TNB.

Jika pemilik mahu menyambung terus ke meter elektrik rumah masing-masing, ini boleh dilakukan dengan penambahan sub-meter atau saluran khas.

Kaedah ini memastikan penggunaan elektrik dicaj terus kepada pemilik tanpa melibatkan bil bersama bangunan. Beberapa kondominium di Lembah Klang sudah mula melaksanakan pendekatan ini.

Langkah terbaik untuk pengurusan kondominium ialah menyediakan garis panduan jelas untuk pemasangan pengecas EV.

Antaranya menetapkan jenis kabel yang dibenarkan, keupayaan elektrik maksimum, keperluan perlindungan litar, serta syarat pemeriksaan berkala oleh juruteknik bertauliah.

Dengan pendekatan sebegini, kondominium sedia ada boleh membenarkan pemasangan pengecas peribadi secara selamat tanpa perlu menunggu dasar kerajaan baharu.

Pengecasan di Tempat Kerja dan Pusat Beli-Belah Semakin Penting

Foto: PlugShare

Selain cas di rumah, satu lagi penyelesaian praktikal untuk pemilik EV yang tinggal di bangunan bertingkat ialah mengecas di tempat kerja. Jika syarikat menyediakan parkir dengan pengecas AC, pekerja boleh meninggalkan kereta selama lapan jam dan mendapat pengecasan penuh tanpa gangguan.

Datang kerja pagi, balik petang, sudah tentu bateri sudah penuh. Kalau bateri masih separuh, masa ‘lunch break’ dah siap cas atau sekurang-kurangya 80%.

Dengan kadar pengecasan sekitar 7kW atau lebih rendah, bateri EV biasa boleh dicas penuh dalam tempoh kerja harian. Model sebegini sudah diamalkan di banyak negara maju kerana ia menjimatkan masa dan tidak menambah beban pada grid elektrik waktu malam.

Kemudahan pengecasan di pusat beli-belah juga memainkan peranan besar. Sambil pemilik membeli barangan harian atau minum kopi, kereta mereka boleh dicas menggunakan pengecas AC.

Pengecas jenis ini lebih sesuai untuk jangka masa pendek kerana kadar casnya perlahan dan tidak membebankan sistem elektrik. Pengecas DC pula terlalu pantas untuk senario ini kerana kereta boleh penuh dalam masa kurang setengah jam, sedangkan ramai pengunjung berada di pusat beli-belah lebih lama.

Jika lebih banyak pusat beli-belah di Malaysia memasang pengecas AC yang stabil dan mudah diakses, ia boleh menjadi penyelesaian jangka sederhana yang sangat berkesan sementara infrastruktur di kondominium terus dibangunkan.

Apa yang saya mahu katakan di sini adalah, pemilik EV akan sentiasa ada bateri setiap hari. Ibarat anda isi minyak kereta setiap hari, sentiasa ‘full tank’.

Jadi, ada masalah kebimbangan jarak lagi? Saya rasa tidak. Melaluinya juga, EV dengan jarak pemanduan sekitar 300km sekalipun seperti e.Mas 5, tidak akan menimbulkan keresahan pengguna.

Apa Yang China dan Eropah Buat

China adalah antara negara yang paling pantas membangunkan infrastruktur EV. Setiap projek perumahan baharu diwajibkan menyediakan laluan kabel dan tempat pemasangan pengecas di setiap ruang parkir.

Bagi bangunan sedia ada, kerajaan memberikan subsidi dan membenarkan pemilik memohon terus kepada syarikat utiliti negeri untuk memasang pengecas peribadi. Di bandar besar seperti Shanghai dan Shenzhen, sistem pengecasan komuniti yang dikongsi melalui aplikasi mudah alih sudah menjadi kebiasaan.

Di Eropah, pengecas EV di tepi jalan adalah normal. Pengecas tidak semestinya di dalam bangunan.

Di Eropah pula, undang-undang Energy Performance of Buildings Directive menetapkan semua bangunan baharu mesti mempunyai kemudahan pra-kabel untuk pengecas EV.

Negara seperti Jerman, Perancis dan United Kingdom memperkenalkan konsep “Right to Plug”, iaitu hak kepada pemilik atau penyewa untuk memasang pengecas di ruang parkir sendiri tanpa perlu persetujuan penuh daripada pengurusan bangunan.

Selain itu, sistem sub-metering digunakan supaya setiap pengguna hanya membayar tenaga yang digunakan.

Masa Depan Pengecasan EV di Malaysia

Apabila semakin banyak EV bawah RM100,000 memasuki pasaran, Malaysia perlu bersedia dari segi infrastruktur.

Antara langkah penting yang boleh diambil ialah mewajibkan semua projek perumahan baharu dilengkapi kemudahan pengecasan, menyediakan insentif untuk pemasangan di bangunan sedia ada, membina pusat pengecas komuniti berhampiran kawasan kediaman, serta menggalakkan penggunaan pengecas pintar yang boleh dipantau secara digital.

Tiada lagi istilah EV untuk orang kaya sedangkan EV sudah ke arah mampu milik. Tiada lagi sikap “pilih kasih” di mana kondominium mewah sahaja menyediakan kemudahan pengecasan EV.

Mungkin kepada bukan pemilik EV akan musykil, kenapa saya berleter panjang tentang pengecasan di rumah. Buat pengetahuan anda, kos mengecas di rumah sangatlah murah atau sangat mampu milik berbanding di tempat pengecasan awam. Malah, lebih jimat daripada mengisi petrol.

Harga sekitar bawah 80 sen per kW bila cas di rumah. Ini kerana, bila cas di luar, harganya berbeza. Ada serendah RM1.2 dan ada yang sama seperti mengisi RON95 tanpa subsidi.

Malah, cara hidup bila menggunakan EV memang berubah. Ia tidak seperti kita memandu kenderaan ICE, bila tinggal 1 bar, barulah isi minyak. EV seperti pakai peranti elektronik, cas bila ada peluang.

Bukan bateri dah sikit baru nak cas dan cara ini memang tidak digalakkan langsung kecuali bila sedang memandu jarak jauh atau masa balik kampung.

Oleh yang demikian, jika langkah-langkah ini dilaksanakan lebih awal, rakyat Malaysia tidak perlu risau di mana hendak mengecas apabila memiliki EV nanti.

Namun, sekiranya masih sukar atau lambat untuk melaksanakan, sekurang-kurangnya boleh berikan pelan langganan pengecasan seperti dibuat Gentari dan Charge+.

China dan Eropah membuktikan bahawa kejayaan peralihan kepada kenderaan elektrik bergantung kepada kemudahan mengecas yang mudah diakses, terutama bagi mereka yang tinggal di bangunan tinggi.

Dengan e.Mas 5 sebagai permulaan dan model EV Perodua yang bakal tiba, inilah masa terbaik untuk Malaysia bergerak ke arah penyelesaian pengecasan komuniti yang mampan dan praktikal.

{suggest}

Cari Artikel

Buka artikel ini di Wiser.my
BUKA
©2025 WISER.MY | Powered by SuperbThemes & WordPress