Menu
WISER.MY
  • Pergi ke Wiser.my
  • Berita
  • Ulasan
  • Trivia
  • Tips Gajet
  • Promosi
  • Youtube
  • Hubungi Kami
WISER.MY

Ketahui Had SAR Telefon Anda Dan Cara Kurangkan Pendedahan Gelombang RF

Posted on Oktober 31, 2025

Frekuensi radio digunakan untuk menghantar data, suara, dan maklumat secara tanpa wayar — asas utama kepada kehidupan digital moden.

Walau bagaimanapun, jika frekuensi ini terlalu tinggi, ia boleh membahayakan kesihatan. Sebab itulah ada badan-badan dan agensi yang bertanggungjawab mengawal selia tahap pendedahan yang dibenarkan.

Namun, kepekaan pengguna terhadap kesan gelombang radio dari telefon pintar masih rendah dan tidak diambil peduli.

Jika anda masih ingat, model iPhone 12 yang dijual di Perancis pernah berdapan penarikan balik dari pasaran kerana isu penyerapan tenaga elektromagnet oleh badan pada kadar 5.74 watt sekilogram semasa ujian simulasi apabila telefon itu dipegang di tangan atau disimpan di dalam poket di mana piawaian Eropah menetapkan kadar penyerapan khusus 4.0 watt sekilogram sahaja dalam ujian mereka.

RF Exposure atau pendedahan kepada gelombang radio (Radio Frequency Exposure) merujuk kepada jumlah tenaga elektromagnet yang diserap oleh badan manusia daripada peranti yang memancarkan isyarat radio seperti telefon bimbit, pemancar Wi-Fi, menara telekomunikasi, dan peralatan komunikasi lain.

“SAR” pula bermaksud “Specific Absorption Rate“, iaitu ukuran kadar kuasa RF yang diserap oleh badan manusia setiap kali peranti radio wayarles menghantar isyarat.

Ramai pengguna bimbang bahawa pendedahan kepada gelombang RF boleh memberi kesan negatif kepada kesihatan, terutamanya apabila peranti berada dekat dengan badan.

Namun, kajian daripada Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) dan Suruhanjaya Antarabangsa bagi Perlindungan Sinaran Tidak Mengion (ICNIRP) mendapati bahawa tahap RF yang dihasilkan oleh peranti komunikasi berada jauh di bawah paras bahaya jika digunakan mengikut piawaian yang ditetapkan.

RF tidak sama seperti sinaran mengion (contohnya sinaran X-ray) yang boleh merosakkan DNA atau tisu badan.

Sebaliknya, tenaga RF hanya boleh menyebabkan pemanasan ringan pada kulit atau tisu, dan kesannya dianggap minimum dalam penggunaan harian.

Namun, bagi memastikan keselamatan pengguna, semua peranti komunikasi mesti mematuhi had penyerapan khusus (SAR – Specific Absorption Rate) yang ditetapkan oleh pihak berkuasa antarabangsa seperti FCC dan MCMC di Malaysia.

Untuk telefon pintar, had SAR yang ditetapkan adalah sehingga 2 W/kg. Ia berdasarkan pada operasi standard peranti menghantar kuasa pada tahap tertinggi dalam semua jalur frekuensi yang diuji.

Had SAR 1.6 watt setiap kilogram adalah bagi negara yang menetapkan had berdasarkan purata 1 gram tisu, dan 2.0 watt setiap kilogram pula di negara yang menetapkan had berdasarkan purata 10 gram tisu.

Di bahagian Safety Information di dalam Settings telefon pintar, memang ada dinyatakan tentang tahap RF yang dihasilkan sesebuah unit telefon pintar.

Sebagai contoh, untuk model iPhone 17 dan Nothong Phone (3), had SAR yang ditetapkan adalah seperti berikut:

Maklumat tahap pendedahan RF iPhone 17.

Mungkin ramai yang tidak sedar, pengeluar ada mencadangkan cara untuk mengurangkan pendedahan RF ini.

Sebagai contoh, untuk mengurangkan pendedahan kepada tenaga RF, Apple mengesyorkan pengguna iPhone untuk menggunakan ciri bebas tangan, seperti pembesar suara terbina dalam iPhone, fon kepala atau aksesori serupa lain ketika membuat atau menjawab panggilan telefon.

Malah jenama telefon pintar lain juga seperti Nothing pada model Phone 3 turut mengesyorkan perkara yang sama.

Sehubungan itu, pengguna disaran untuk melakukan mengikuti beberapa langkah berikut:

  • Gunakan fon telinga atau pembesar suara semasa membuat panggilan panjang.
  • Elakkan meletakkan telefon bimbit terlalu dekat dengan badan semasa tidur.
  • Gunakan peranti yang disahkan mematuhi piawaian keselamatan RF.

Kesimpulan

Nilai SAR bagi setiap model telefon pintar biasanya dilebihkan tahap pendedahan sebenar, kerana ia diukur dalam keadaan makmal pada kuasa maksimum.

Dalam penggunaan harian, telefon jarang beroperasi pada tahap itu kerana ia disesuaikan kepada tahap minimum bagi tujuan mengekalkan kualiti panggilan, menjimatkan bateri dan mengurangkan gangguan rangkaian.

Walaupun kajian menunjukkan telefon yang mematuhi piawaian SAR adalah selamat digunakan.

Namun pengguna yang masih ingin mengurangkan pendedahan boleh melakukannya dengan cara mudah dan berkesan iaitu dengan hadkan masa panggilan atau gunakan peranti bebas tangan  untuk menjauhkan telefon daripada kepala dan badan sepertimana yang disarankan oleh Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) dan Pentadbiran Makanan dan Ubat-Ubatan AS (FDA).

Kesimpulannya, pendedahan kepada gelombang RF dalam kehidupan harian berada pada tahap selamat, selagi peranti digunakan secara bertanggungjawab dan mematuhi garis panduan antarabangsa.

{suggest}

Cari Artikel

Buka artikel ini di Wiser.my
BUKA
©2025 WISER.MY | Powered by SuperbThemes & WordPress