Menu
WISER.MY
  • Pergi ke Wiser.my
  • Berita
  • Ulasan
  • Trivia
  • Tips Gajet
  • Promosi
  • Youtube
  • Hubungi Kami
WISER.MY

Undang-Undang Boleh Digubal, Tapi Ibu Bapa Masih Baris Pertahanan Pertama

Posted on Oktober 27, 2025Oktober 27, 2025

Isu penggunaan media sosial dalam kalangan remaja bawah umur semakin menjadi perhatian di Malaysia.

Walaupun pelbagai pihak menyokong cadangan untuk menggubal undang-undang khas media sosial bagi pengguna bawah 16 tahun, persoalan utama tetap sama — sejauh mana undang-undang mampu menggantikan tanggungjawab ibu bapa dalam membentuk disiplin digital anak-anak.

Keperluan Undang-Undang Baharu

Desakan penggubalan undang-undang ini datang susulan kebimbangan yang semakin meningkat terhadap kesan negatif media sosial seperti ketagihan skrin, buli siber, pendedahan kepada kandungan tidak sesuai, dan penyebaran maklumat palsu.

Statistik pada tahun 2024 lalu menunjukkan,  di kalangan pengguna internet di Malaysia yang berusia antara 16 hingga 64 tahun, 98.5% daripadanya memiliki peranti mudah alih sendiri dengan hampir 3 jam setiap hari dihabiskan masa mereka untuk platform media sosial.

Setakat Januari 2025, Malaysia mempunyai 25.1 jutapengguna media sosial, bersamaan dengan 70.2 peratus daripada jumlah keseluruhan penduduk.

Bagi kerajaan, keperluan kawalan ini bukan bertujuan menyekat kebebasan, tetapi memastikan keselamatan psikologi dan sosial kanak-kanak.

Antara pendekatan yang sedang diperhalusi termasuk penguatkuasaan had umur minimum, pengesahan identiti pengguna baharu, dan tanggungjawab platform untuk menapis kandungan sensitif.

Namun begitu, walau sehebat mana sekalipun undang-undang digubal, keberkesanannya tetap bergantung pada pemantauan yang bermula dari rumah.

Ibu Bapa – Garis Pertahanan Pertama

Realitinya, ibu bapa masih menjadi faktor paling penting dalam memastikan anak-anak menggunakan media sosial secara sihat.

Kawalan ibu bapa bukan hanya bermaksud menghalang akses, tetapi melibatkan pendidikan digital sejak kecil —mendidik anak-anak ini untuk memahami apa itu privasi, empati dalam komunikasi dalam talian, dan kesedaran tentang bahaya perkongsian maklumat peribadi.

Ini perlu supaya mereka menyedari batas dan kesan terhadap apa yang boleh berlaku di dalam media sosial.

Tetapi malangnya, masih ramai ibu bapa di Malaysia memandang remeh tentang perkara ini sekali gus mengabaikan aktiviti dalam talian anak-anak mereka tanpa pemantauan sepatutnya.

Malah menjadikan isu ini lebih teruk lagi apabila ada ibu bapa yang menganggap gadget ini sebagai babysitter anak-anak mereka, hanya semata-mata untuk mereka habiskan masa dengan aktiviti sendiri di telefon pintar.

Cabaran Dalam Pelaksanaan

Undang-undang semata-mata tidak mampu menghalang anak-anak bawah umur daripada mengakses media sosial, terutamanya apabila ramai menggunakan akaun palsu.

Tambahan pula, platform global seperti TikTok dan Instagram beroperasi merentasi sempadan undang-undang tempatan, menjadikan penguatkuasaan lebih kompleks.

Negara-negara seperti Jepun, Australia dan EU walaupun sudah mula mengetatkan undang-undang media sosial terhadap kanak-kanak, tetapi undang-undang tetap perlu disertai dengan kempen kesedaran yang bukan hanya melibatkan sekolah semata-mata, tetapi juga ibu bapa, dan komuniti setempat dan nasional.

Pihak Kerajaan dan pihak berkuasa perlu terus mengulangi pendirian tegas kerajaan bahawa keselamatan rakyat Malaysia, khususnya golongan kanak-kanak, adalah keutamaan yang tidak boleh dikompromi.

Kesimpulan

Menetapkan undang-undang media sosial untuk pengguna bawah umur adalah langkah ke hadapan, tetapi ia bukan penyelesaian mutlak.

Tanggungjawab sebenar tetap terletak pada bahu ibu bapa — sebagai pendidik, pengawas, dan contoh utama kepada anak-anak dalam dunia digital tanpa sepadan ini.

Pendekatan seperti termasuk tetapan ciri kawalan ibu bapa (parental control) dalam telefon pintar, menyemak masa skrin mingguan hanyalah sampingan daripada tanggungjawab penuh yang ibu bapa mesti mainkan dalam kawalan penuh terhadap pembabitan anak-anak dalam media sosial.

Kerajaan boleh menetapkan pelbagai bentuk garis panduan dan pelaksaan undang-undang, namun ibu bapalah yang menentukan sama ada teknologi menjadi alat pembelajaran atau punca kerosakan moral dan mental.

Dalam era digital yang serba pantas ini, kawalan terbaik bukan terletak pada sekatan semata-mata, tetapi pada kesedaran dan bimbingan berterusan di rumah.

Kesimpulannya, semua pihak dari Kerajaan, ibu bapa dan komuniti di Malaysia perlu bersama dalam membentuk generasi bermoral dan bersahsiah dalam usaha mewujudkan sebuah negara di mana rakyatnya hidup dengan mental yang sihat pada masa hadapan.

{suggest}

Cari Artikel

Buka artikel ini di Wiser.my
BUKA
©2025 WISER.MY | Powered by SuperbThemes & WordPress