Menu
WISER.MY
  • Pergi ke Wiser.my
  • Berita
  • Ulasan
  • Trivia
  • Tips Gajet
  • Promosi
  • Youtube
  • Hubungi Kami
WISER.MY

15 Satelit Yang Telah Dilancarkan Malaysia Ke Orbit Bumi Sejak 1996 – Bah. 2

Posted on Oktober 29, 2025Oktober 29, 2025

Dalam artikel sebelum ini, telah dikongsikan sebanyak 7 satelit yang telah dilancarkan Malaysia ke orbit Bumi.

Satelit-satelit ini terdiri daripada satelit komunikasi, penderiaan jauh (remote sensing) dan penyelidikan ke orbit bumi.

Berikut adalah 8 lagi satelit yang telah dilancarkan Malaysia setakat ini.

8. UiTMSAT-1 (2018) – Nanosatelit pertama universiti di Malaysia

Dilancarkan pada 29 Jun 2018, UiTMSAT-1, adalah nanosatelit yang pertama bagi universiti di Malaysia .

dalah hasil produk daripada projek Kerjasama BIRDS-2 (Joint Global Multi-Nation) dengan Bhutan dan Filipina yang diterajui oleh Kyushu Institute of Technology (KyuTech), Jepun.

Prototaip dengan saiz sebenar satelit nano UiTMSAT-1 kini dipamerkan di Galeri Tun Abdul Razak, UiTM Shah Alam.

Dua orang pelajar pascasiswazah Malaysia (daripada UiTM iaitu Syazana Basyirah binti Mohammad Zaki dan Muhammad Hasif bin Azami) merupakan antara 11 orang pelajar yang menjadi ahli kerjasama BIRDS-2 ini.

Mereka adalah pelajar yang bertanggungjawab dalam merealisasikan pembinaan dan pelancaran tiga buah nano-satelit BIRDS-2 iaitu UiTMSAT-1, BHUTAN-1, (bagi negara Bhutan) dan MAYA-1 (bagi negara Filipina).

UiTMSAT-1 dilancarkan dari Stesen Tentera Udara Cape Canaveral, Florida, Amerika Syarikat menerusi roket SpaceX Falcon 9, pada jam 5.46 petang (5.46 pagi waktu Amerika Syarikat) ke Stesen Angkasa Antarabangsa (ISS). Gambar dirakam oleh angkasawan Amerika Syarikat dari dalam ISS.

Satelit ini digunakan untuk pemerhatian bumi berskala kecil, pengesanan isyarat radio, dan latihan kendalian satelit bagi pelajar universiti tempatan.

9. InnoSAT-2 (2017) – Eksperimen teknologi mini

InnoSAT-2 (Innovative Satellite 2) ialah satelit kecil yang dilancarkan pada 29 November 2017 hasil kerjasama antara ATSB dan Agensi Angkasa Malaysia (MYSA).

Misi nanosatelit ini direka untuk memperkenalkan modul bus satelit yang dibina secara tempatan.

Ia membawa muatan ujian sensor dan kamera mini, yang memberi peluang bagi para penyelidik untuk mempamerkan eksperimen mereka di orbit.

10. MEASAT-3d (2022) – Satelit Malaysia paling canggih

Dilancarkan pada 23 Jun 2022 oleh roket Ariane 5 dari Kourou, MEASAT-3d merupakan satelit komunikasi Malaysia yang paling canggih.

MEASAT-3d menyertai satelit MEASAT-3a dan MEASAT-3b di hotslot 91.5°E yang menyediakan peningkatan dan lebihan kapasiti untuk perkhidmatan DTH Astro, serta perkhidmatan penyiaran, telekomunikasi dan akan meningkatkan kelajuan jalur lebar internet pelanggan daripada 30 Mbps sehingga 100 Mbps.

Perkhidmatan MEASAT-3d meliputi Asia dan Australia.

MEASAT-3d dianggarkan berharga RM1.2 bilion dengan jangka hayat operasi sehingga 18 tahun.

Ia akan menyokong Pelan Jalinan Digital Negara (JENDELA) dalam konteks penawaran liputan meluas dan pengalaman jalur lebar lebih baik kepada seluruh Keluarga Malaysia.

11. A-SEANSAT-PG1 (2023) – Hasil usahasama USM dan Angkasa-X

A-SEANSAT-PG1 atau jugaadalah satelit pertama yang dibangunkan hasil usahasama Universiti Sains Malaysia (USM) dengan Angkasa-X yang direka di Malaysia oleh jurutera tempatan.

Satelit A-SEANSAT-PG1 ini telah  dilancarkan pada 27 Jun 2023 pada pukul 1930 Hrs (MYT) dari Vostochny Cosmodrome di Rusia menggunakan Pelancar Soyuz-2.1b.

Pelancarannya telah disiarkan secara langsung di tiga lokasi di Malaysia, termasuk Pejabat Agensi Angkasa Malaysia (MYSA) di KL, Universiti Sains Malaysia (USM) di Pulau Pinang, dan Perbadanan Ekonomi Digital Sarawak Berhad (SDEC).

Misi utama satelit ini adalah untuk memantau dan mengesan kapal-kapal yang berlayar di luar kawasan pantai di rantau Asia Tenggara menggunakan penerima Sistem Pengenalan Automatik (AIS).

Misi keduanya pula adalah penderiaan jauh (remote sensing) menggunakan sensor imej optik beresolusi tinggi (sehingga jarak pensampelan tanah 5 meter di Orbit Bumi Rendah aka LEO), termasuk pemantauan aktiviti, pemantauan bencana, operasi mencari dan menyelamat, serta untuk aplikasi strategik lain.

Projek ini menandakan satu tonggak penting dalam usaha ANGKASA-X untuk melancarkan konstelasi satelit Orbit Bumi Rendah (LEO) dalam masa terdekat, yang akan dibangunkan dan dipasang di Malaysia, mengukuhkan peranan negara sebagai pemain utama dalam industri angkasa lepas global dan ekosistem teknologi angkasa.

12. SpaceANT-D (2023) – Satelit kecil 250g

Universiti Sains Malaysia (USM) bersama SpaceIn Sdn. Bhd. (syarikat spin-off USM yang terlibat dalam satelit kecil dan perkhidmatan Internet Perkara (IoT),) berjaya melancarkan SpaceANT-D, satelit piko pertama negara, pada 12 November 2023 melalui roket SpaceX Falcon 9 dari California.

Satelit seberat kurang 250g ini dibangunkan sepenuhnya oleh jurutera dan pensyarah tempatan, dengan kolaborasi Persatuan Pemancar Radio Amatur Malaysia (MARTS).

Misi utama SpaceANT-D ialah untuk menguji penghantaran dan penyimpanan data bagi aplikasi Internet of Things (IoT), khususnya dalam sektor pertanian, perhutanan dan minyak & gas. Projek ini dibiayai oleh Teraju dan Cradlefund, menandakan sokongan terhadap inovasi tempatan.

Pelancaran ini selari dengan aspirasi Malaysia melalui inisiatif Space Exploration 2030, serta menunjukkan kekuatan kolaborasi antara akademia, industri dan komuniti radio amatur.

Satelit SpaceANT-D ini hanya bersaiz tidak lebih daripada 5 sentimeter padu dan seberat kurang daripada 250 gram.

13. UZMASat-1 (2025) – Satelit pemerhatian bumi (EO) pertama milik Uzma Berhad.

Satelit penderiaan jauh UZMASAT-1 telah dilancarkan pada 15 Januari 2025 menggunakan Falcon 9 Transporter 12 milik SpaceX .

UZMASAT-1 adalah satelit pemerhatian bumi (EO) pertama milik Uzma Berhad.

Ia dibangunkan dengan kerjasama antara Uzma dan syarikat pengumpulan data Pemerhatian Bumi terkemuka, Satellogic, bertujuan untuk mengembangkan keupayaan geospatial di Asia Tenggara.

UZMASAT-1 direka dengan keupayaan untuk menyokong pelbagai sektor di Malaysia termasuk pertanian, perladangan, pengurusan bencana, dan pemantauan alam sekitar.

Satelit ini dilengkapi kamera berteknologi tinggi dengan sensor multi-spectral band, termasuk sensor RGB (merah, hijau, biru) dan inframerah dekat yang mampu memberikan data terperinci untuk pelbagai kegunaan.

UZMASAT-1 kini berada di orbit rendah bumi pada ketinggian sekitar 500 kilometer yang berupaya menghasilkan imej beresolusi tinggi dengan kemampuan resolusi ruang 50 hingga 70 sentimeter yang mampu mengesan objek kecil seperti kenderaan dengan jelas.

14. UiTMSAT-2 (2025) – Satelit kedua UiTM

Pada 25 Oktober 2025, UiTM mencipta sejarah dengan pelancaran satelit keduanya, UiTMSAT-2, ke Stesen Angkasa Antarabangsa (ISS) melalui roket H3 F7 dari Pusat Angkasa Tanegashima, Jepun.

Ia hanya akan dilepaskan ke orbit bumi rendah (LEO) dari Japanese Experiment Module (JEM) Small Satellite Orbital Deployer (J-SSOD) pada suku pertama tahun 2026 (Q1 2026).

Dibangunkan oleh Fakulti Kejuruteraan Elektrik UiTM dengan lebih 60% sumbangan tempatan  oleh pensyarah dan pelajar, nanosatelit bersaiz 1U CubeSat ini merupakan sebahagian daripada Projek ASEANSAT.

Konfigurasi H3 F7 UiTMSAT-2.

Projek ini mendapat sokongan daripada Kementerian Sains, Teknologi dan Inovasi (MOSTI) dan dilaksanakan dengan kerjasama institusi serantau dan antarabangsa seperti University of Perpetual Help System DALTA (UPHSD), Filipina, King Mongkut’s University of Technology North Bangkok (KMUTNB), Thailand dan Kyushu Institute of Technology (Kyutech), Jepun.

UiTMSAT-2 dilengkapi kamera beresolusi tinggi dan peranti komunikasi berasaskan IoT, bertujuan untuk pemantauan alam sekitar, pengurusan bencana dan peningkatan kesalinghubungan luar bandar.

“UiTMSAT-2 adalah bukti kemampuan dan daya saing penyelidik serta pelajar UiTM dalam bidang teknologi canggih. Ia mengangkat nama UiTM, Malaysia, dan ASEAN ke persada global melalui ilmu, inovasi dan kolaborasi.” Naib Canselor UiTM, YBhg. Profesor Datuk Ts. Dr. Shahrin bin Sahib @ Sahibuddin, FASc.

15. TerraX-1 (2025) – Satelit SAR pertama negara

Malaysia mencipta satu lagi pencapaian bersejarah dalam bidang angkasa apabila berjaya melancarkan TerraX-1 (AIRSAT-03), satelit Synthetic Aperture Radar (SAR) pertama negara yang dibangunkan oleh syarikat teknologi angkasa tempatan, TerraXpace Sdn. Bhd.

TerraXpace ialah syarikat swasta pertama di Malaysia yang memiliki satelit SAR.

TerraX-1 telah dilancarkan ke orbit pada 19 Oktober 2025, jam 11.33 pagi waktu Malaysia dari Pusat Pelancaran Satelit Jiuquan, China, menggunakan roket Kinetica-1.

SAR menawarkan penyelesaian pemantauan berasaskan satelit yang canggih untuk pelbagai industri yang menyediakan akses imej resolusi tinggi untuk pelbagai pihak termasuklah kerajaan, penyelidik dan sektor swasta.

Satelit ini merupakan sebahagian daripada konstelasi AIRSAT yang merangkumi 48 satelit SAR dan 200 satelit optik beresolusi tinggi, membolehkan pemantauan sepanjang masa dalam semua keadaan cuaca.

Kesimpulan

Sejak pelancaran MEASAT-1 hampir tiga dekad lalu, Malaysia telah berkembang daripada pengguna teknologi angkasa kepada pembangun dan pengendali satelit sendiri.

Malah Malaysia kini ke arah untuk beralih daripada sekadar pengguna teknologi angkasa kepada penyedia dan pencipta teknologi angkasa.

AFP
Malaysia kini dalam Program Pembangunan Kemudahan Tapak Pelancar di Malaysia merupakan inisiatif jangka masa panjang negara di bawah segmen angkasa untuk memiliki tapak pelancar roket sendiri. Foto: AFP.

Malaysia telah memuktamadkan penyertaan Negara dalam triti angkasa Convention on Registration of Object Launched Into Outer Space (REG 1975) pada 26 September 2025 kepada Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB).

Penyertaan Malaysia ke Konvensyen REG 1975 ini menandakan satu lagi komitmen penting negara dalam memperkukuh tadbir urus angkasa lepas di peringkat antarabangsa, khususnya berkaitan dengan aspek pendaftaran objek angkasa, keselamatan operasi satelit, serta jaminan ketelusan dalam aktiviti penerokaan dan penggunaan angkasa lepas untuk tujuan aman.

Dengan penguatkuasaan Akta Lembaga Angkasa Malaysia 2022 [Akta 834] dan penyertaan Negara dalam Konvensyen REG 1975, ia memperlihatkan komitmen berterusan kerajaan melalui pelbagai pihak seperti Agensi Angkasa Malaysia (MYSA) dengan sokongan sektor swasta untuk memperkukuh kedudukan sebagai pemain penting dalam teknologi satelit Asia Tenggara.

Sekali gus membuka jalan kepada generasi baharu saintis dan jurutera angkasa tempatan.

{suggest}

Cari Artikel

Buka artikel ini di Wiser.my
BUKA
©2025 WISER.MY | Powered by SuperbThemes & WordPress