Setiap telefon pintar moden dilengkapi dengan pelbagai komponen canggih, dari kamera beresolusi tinggi hinggalah cip pemprosesan berkuasa.
Namun, pernahkah anda perasan lubang-lubang kecil yang terdapat di beberapa bahagian telefon pintar anda?
Ramai pengguna tidak perasan kewujudannya dan jika sedar pun ia dianggap sekadar elemen reka bentuk peranti sahaja yang tidak penting.
Walhal, lubang-lubang halus ini memainkan peranan yang sangat penting pada sesebuah telefon pintar.

Lubang Mikrofon
Kebanyakan lubang halus yang biasa anda lihat selain daripada lubang pembesar suara sebenarnya ialah mikrofon.
Telefon pintar moden pula kebanyakkannya tidak hanya mempunyai satu, tetapi ada yang dilengkapi antara dua hingga empat mikrofon.
Tujuannya bukan sekadar untuk merakam suara, tetapi juga memastikan kualiti audio dan panggilan lebih jelas.
Mikrofon utama biasanya terletak di bahagian bawah telefon iaitu berhampiran port pengecas.
Ia bertanggungjawab menangkap suara pengguna semasa panggilan.

Manakala lubang bagi mikrofon tambahan di bahagian atas atau belakang peranti pula bertindak menyaring bunyi latar (noise cancellation) semasa rakaman video, panggilan video, atau penggunaan pembantu suara seperti Siri, Google Assistant, dan Bixby.
Lubang Tekanan (Air Pressure Equalizing Hole)
Satu lagi lubang halus yang sangat penting pada telefon pintar yang mungkin anda tak sangka adalah lubang tekanan angin (Air Pressure Equalizing Hole).
Sesetengah telefon pintar moden mempunyai lubang kecil ini untuk mengimbangi tekanan udara di dalam peranti.

Lubang ini juga biasanya ditempatkan berhampiran kamera atau penutup belakang.
Ia membolehkan udara keluar masuk dengan perlahan agar tekanan dalaman tidak merosakkan komponen sensitif seperti sensor kamera atau ciri kalis air.
Apabila anda terbang ke tempat tinggi atau membawa telefon ke kawasan dengan perbezaan tekanan udara ketara pula, lubang ini memastikan sistem kalis air dan struktur dalam peranti tidak tertekan.
Tanpanya, kanta kamera boleh berembun atau menghasilkan imej kabur kerana tekanan yang tidak seimbang.

Selain itu, ia juga memastikan kualiti bunyi adalah baik pada telefon pintar.
Sebagai contoh,mungkin ada keadaan di mana anda tertekan telefon dengan kuat, yang menyebabkan ketidakseimbangan tekanan sementara sehingga menyebabkan gangguan bunyi pada pembesar suara.
Jadi, lubang tekanan angin ini menstabilkan tekanan udara dalam telefon pintar agar bunyi yang dihasilkan kembali seperti sedia kala.
Kecil Tapi Berperanan Besar
Lubang-lubang kecil ini mungkin kelihatan tidak penting, tetapi ia menyumbang secara langsung kepada kualiti audio, prestasi panggilan dan komponen lain yang ada pada sesebuah telefon pintar untuk berfungsi dengan baik.
Jadi, lain kali bila anda lihat lubang kecil itu, ingatlah bahawa ia memainkan peranan besar pada sesebuah telefon pintar.
Ia bukti bagaimana inovasi teknologi bukan hanya terletak pada skrin besar dan kamera hebat, tetapi juga pada perincian mikro yang memastikan supaya segalanya berjalan dengan lancar.
{suggest}


