Apple secara rasmi hari ini mengeluarkan iOS 26.1, kemas kini utama pertama untuk sistem operasi iOS 26 yang diperkenalkan September lalu.
Berikut ialah senarai perubahan dan penambahbaikan yang dibawa dalam kemas kini iOS 26.1.
Kawalan Liquid Glass
Antara perubahan terbesar dalam iOS 26.1 ialah penambahan ‘toggle’ Liquid Glass. Apple kini membolehkan pengguna memilih antara paparan clear atau tinted dengan tahap kelegapan (opacity) yang lebih tinggi.
Di bawah Settings > Display and Brightness, terdapat pilihan baharu untuk menukar antara tetapan Clear atau Tinted.
Mod Clear lebih lutsinar dan merupakan versi asal Liquid Glass yang mendedahkan latar belakang di bawah butang, bar menu serta elemen antara muka (UI) lain. Sementara itu, mod Tinted meningkatkan kelegapan Liquid Glass bagi memberikan kontras yang lebih jelas.
Kamera di Skrin Kunci
Apple akhirnya menambah pilihan untuk mematikan gerakan leret pada Skrin Kunci (Lock Screen) yang membuka aplikasi Camera.
Pada bahagian Camera di aplikasi Settings, terdapat tetapan baharu “Lock Screen Swipe to Open Camera”. Jika pilihan ini dimatikan, gerakan leret ke kiri pada skrin kunci untuk membuka aplikasi Camera akan dinyahaktifkan.

Sebelum ini, pengguna tidak mempunyai pilihan untuk mematikan fungsi kamera di skrin kunci tanpa perlu menyahaktifkan keseluruhan aplikasi Camera. Dengan perubahan ini, pengguna tidak lagi perlu risau kamera diaktifkan secara tidak sengaja ketika iPhone berada di dalam poket.
Alarms & Timer
Apple telah mengemas kini antara muka Alarm dan Timer dalam iOS 26.1. Kini terdapat bar “Slide to Stop” pada Skrin Kunci bagi menggantikan butang “Tap to Stop” yang digunakan sebelum ini.
Pengguna masih boleh menangguhkan (snooze) Alarm dengan menekan butang besar “Snooze”, namun untuk mematikan sepenuhnya, perlu menggunakan gerakan leret yang memerlukan sedikit ketepatan pergerakan.

Ini bermakna terdapat perbezaan yang lebih jelas antara fungsi Snooze dan Stop, sekali gus mengurangkan risiko Alarm dimatikan secara tidak sengaja.
Leret untuk tukar lagu dalam Apple Music
Pengguna kini boleh menukar lagu dengan hanya leret pada pemain muzik dalam aplikasi Apple Music. Cukup dengan meleret pada bahagian tajuk lagu, dan ia akan beralih ke lagu seterusnya atau kembali ke lagu sebelumnya.
Apple Intelligence & AirPods Live Translation
Apple Intelligence kini menyokong lebih banyak bahasa termasuk Danish, Belanda, Norway, Portugis (Portugal), Sweden, Turki, Cina (Tradisional) dan Vietnam.
Sokongan bahasa baharu ini melengkapkan senarai sedia ada seperti Bahasa Inggeris, Perancis, Jerman, Itali, Portugis (Brazil), Sepanyol, Cina (Ringkas), Jepun dan Korea.
AirPods Live Translation turut menyokong lebih banyak bahasa dalam iOS 26.1, termasuk Jepun, Korea, Itali, serta Cina (Mandarin Tradisional dan Simplified).
Aplikasi Apple TV
Aplikasi Apple TV kini menerima ikon baharu yang lebih berwarna-warni dan menampilkan rekaan berasaskan gaya Liquid Glass. Perubahan ini seiring penjenamaan semula perkhidmatan itu daripada Apple TV+ kepada Apple TV.
Background Security Improvements
Dalam bahagian “Privacy and Security” pada aplikasi Settings, terdapat suis baharu untuk memuat turun dan memasang penambahbaikan keselamatan secara automatik.

Ciri ini merupakan versi baharu daripada fungsi “Rapid Security Responses” sebelum ini, yang membolehkan Apple menghantar kemas kini keselamatan tanpa perlu mengeluarkan versi penuh iOS yang baharu.
Lain-lain
Kemas kini iOS 26.1 juga menyertakan penambahbaikan untuk AirPlay, aplikasi Fitness, Phone, Photos, Safari, dan lain-lain.
Selain itu, ia menampal kira-kira 50 kelemahan keselamatan. Antaranya termasuk pembetulan pepijat bagi isu yang membolehkan “Stolen Device Protection” dinyahaktifkan, pepijat WebKit yang membolehkan pemantauan kekunci tanpa kebenaran, dan beberapa isu keselamatan lain.
Ketersediaan
iOS 26.1 tersedia untuk semua peranti yang boleh menjalankan iOS 26, termasuk iPhone 11 dan model lebih baharu, iPhone SE generasi kedua dan terkini, serta iPhone Air.
Kemas kini iOS 26.1 boleh dipasang terus melalui OTA (over-the-air) dengan pergi ke Settings > General > Software Update > Update Now.
{suggest}

		
