Menu
WISER.MY
  • Pergi ke Wiser.my
  • Berita
  • Ulasan
  • Trivia
  • Tips Gajet
  • Promosi
  • Youtube
  • Hubungi Kami
WISER.MY
EV

Kenapa ‘Range Anxiety’ EV Sebenarnya Tak Seteruk Yang Kita Fikir

Posted on September 9, 2025

Ramai rakyat Malaysia masih bimbang tentang range anxiety bila fikir nak guna kenderaan elektrik (EV). Rasa takut bateri habis di tengah jalan memang selalu disebut, sampai ada yang kata kalau nak beli EV, kena ada sebuah kereta enjin pembakaran dalaman (ICE) sebagai backup. Tapi pada pandangan saya, keadaan sekarang sebenarnya dah banyak berubah.

Kalau tengok di Lembah Klang, pengecas EV memang bersepah. Dekat pusat beli-belah ada, dekat stesen minyak pun ada. Bagi pengguna EV di bandar, isu range anxiety dah semakin hilang sebab akses kepada pengecas makin mudah.

EV

PLUS contohnya sudah menyediakan 112 poin pengecas di sepanjang lebuh raya, termasuk LPT2, dan mensasarkan 1,000 pengecas pantas menjelang 2025. Malaysia pula ada sasaran lebih besar iaitu 10,000 pengecas menjelang tahun sama.

Setakat artikel ini ditulis, Malaysia mempunyai lebih 4,100 poin pengecas EV di seluruh negara.

Kalau angka ini tercapai, infrastruktur EV akan jadi setaraf stesen minyak konvensional, di mana satu kawasan ada banyak pilihan dan setiap lokasi ada puluhan poin pengecas pantas.

Kajian oleh Aviaan pun menunjukkan perkara yang sama. Setakat pertengahan 2025, ada kira-kira 25,000 EV di jalan raya Malaysia dengan pertumbuhan lebih 30 peratus setahun. Kebanyakan pemilik awal EV ialah golongan bandar berpendapatan tinggi yang biasa mengecas di rumah atau pejabat.

Tetapi dengan pertambahan jumlah kenderaan, permintaan terhadap pengecas awam dan pantas akan meningkat. Kajian itu juga mengesahkan bahawa range anxiety dan kekurangan pengecas di lebuh raya serta kawasan pinggir bandar masih jadi cabaran utama.

Sebenarnya, range anxiety ini banyak bergantung kepada lokasi. Di bandar besar macam Lembah Klang, pengecas memang cukup.

Tetapi kalau nak pandu jauh, balik kampung contohnya, cabaran itu masih nyata. Betul, ramai pempengaruh sudah buktikan boleh bawa EV balik kampung masa musim raya tanpa masalah.

Namun, untuk meyakinkan pengguna biasa terutama di pantai timur, infrastruktur yang lebih luas tetap diperlukan.

Bagi saya, kunci utama untuk hapuskan terus range anxiety adalah dengan mewujudkan kepadatan pengecasan yang tinggi. Bayangkan dalam satu jejari kawasan ada beberapa stesen pengecas, dan setiap satu pula ada puluhan poin pantas. Kalau sampai tahap itu, pengguna EV tidak lagi risau tentang perjalanan jauh kerana sentiasa ada pengecas di sepanjang laluan.

EV Perodua

Tambahan pula, Proton eMas 5 dan Perodua EV dengan harga sekitar RM70,000 bakal dilancarkan tidak lama lagi. Apabila model mampu milik ini keluar, permintaan pasti naik mendadak. Jadi kerajaan perlu pastikan infrastruktur berkembang seiring supaya pembeli baharu tidak terjebak dengan masalah sama yang pernah dialami generasi awal pemilik EV.

Range anxiety memang realiti dulu, tetapi pada saya sekarang ia lebih kepada persepsi lama. Apa yang penting, kita pastikan infrastruktur terus berkembang supaya peralihan ke arah mobiliti rendah karbon berjalan lancar.

Walaupun isu pengecas awam ini makin baik, saya nampak ada satu lagi cabaran besar iaitu bab pengecasan di rumah. Ini kerana masih ada isu bualan warga maya “duduk landed, sesuai la pakai EV. High rise ni baik kau pakai ICE je”. Yang itu saya akan ulas dalam artikel lain.

{suggest}

Cari Artikel

Buka artikel ini di Wiser.my
BUKA
©2025 WISER.MY | Powered by SuperbThemes & WordPress