Menu
WISER.MY
  • Pergi ke Wiser.my
  • Berita
  • Ulasan
  • Trivia
  • Tips Gajet
  • Promosi
  • Youtube
  • Hubungi Kami
WISER.MY

Microsoft Buang 4,800 Pekerja, Xbox Jalani Rombakan Terbesar Dalam Sejarahnya

Posted on Julai 7, 2026Julai 7, 2026

Microsoft mengumumkan pengurangan kira-kira 4,800 pekerja di seluruh dunia, iaitu sekitar 2% daripada tenaga kerja globalnya, sebagai langkah penjimatan kos yang akan membawa kepada penstrukturan semula besar-besaran bahagian permainan Xbox.

Pengurangan itu merangkumi rombakan terbesar dalam sejarah Xbox, dengan kira-kira 3,200 jawatan berkaitan permainan akan dihapuskan sepanjang tahun fiskal akan datang, termasuk jawatan di empat studio yang akan dipisahkan atau dijual.

Pengumuman itu merupakan yang terbaharu dalam siri pemberhentian pekerja secara besar-besaran oleh gergasi teknologi tersebut ketika ia membelanjakan dana yang besar untuk terus bersaing dalam perlumbaan kecerdasan buatan (AI), dengan syarikat-syarikat melaburkan puluhan bilion dolar bagi membangunkan pusat data AI dan kuasa pengkomputeran.

“Perniagaan kami sedang berubah kerana dunia di sekeliling kami juga berubah. Syarikat tidak boleh memilih sama ada industri mereka akan berubah atau tidak; mereka hanya boleh memilih sama ada mahu berubah seiring dengannya.” kata Naib Presiden Eksekutif Microsoft, Amy Coleman, dalam memo kepada semua pekerja.

Coleman berkata pemberhentian pekerja itu kebanyakannya melibatkan bahagian perniagaan komersial Microsoft dan Xbox.

Beliau berkata jawatan yang dihapuskan itu “bukan digantikan oleh AI”, namun mengakui automasi sedang mengubah cara kerja dilakukan di seluruh syarikat.

Bagi bahagian komersial, beliau berkata pengurangan itu akan menyokong usaha Microsoft bernilai AS$2.5 bilion, yang diumumkan minggu lalu, untuk menempatkan 6,000 jurutera bersama pelanggan utama bagi mempercepatkan penggunaan AI.

Di Xbox, CEO Asha Sharma memaklumkan kepada pekerja menerusi memo berasingan bahawa 1,600 jawatan akan dihapuskan serta-merta, manakala baki pengurangan akan dilaksanakan secara berperingkat sehingga tahun fiskal 2027.

Xbox telah melalui beberapa pusingan pemberhentian pekerja sejak Microsoft menyelesaikan pengambilalihan Activision Blizzard bernilai AS$68.7 bilion pada 2024 selepas melalui proses semakan yang panjang oleh pihak pengawal selia berhubung kebimbangan terhadap persaingan.

“Tidak Sihat”

Sharma menyifatkan perniagaan Xbox sebagai “tidak sihat”, dengan margin keuntungan “tiga hingga 10 kali lebih rendah” berbanding pesaing.

Beliau berkata bahagian itu sebelum ini mempertaruhkan Game Pass, perkhidmatan langganan seakan-akan Netflix, untuk memacu pertumbuhan. Namun, perkhidmatan itu kehilangan berjuta-juta pelanggan selepas kenaikan harga langganan pada Oktober lalu, sekali gus memaksa syarikat menarik balik keputusan tersebut dan mengurangkan semula yuran langganannya.

Sharma mengambil alih kepimpinan Xbox daripada Phil Spencer, yang bersara pada Februari, dan berjanji untuk mengembalikan bahagian itu kepada landasan pertumbuhan menjelang 2027.

“Sejarah dipenuhi syarikat yang menyangka usia panjang menjamin kelangsungan. Kami tidak akan menjadi salah satu daripadanya,” tulis beliau.

Empat studio akan meninggalkan Xbox sebagai sebahagian daripada penstrukturan semula tersebut.

Compulsion Games, yang terkenal dengan South of Midnight, dan Double Fine Productions, pembangun Psychonauts, akan menjadi syarikat bebas dengan mengekalkan hak harta intelek serta katalog permainan masing-masing.

Ninja Theory, pembangun Hellblade, dan Undead Labs, pembangun State of Decay, telah mencapai persetujuan untuk menyertai pemilik baharu yang akan menyediakan pembiayaan bagi meneruskan projek semasa mereka.

Di Perancis, pihak pengurusan Arkane sedang memulakan proses rundingan wajib dengan Majlis Pekerja bagi menilai apa yang disifatkan Sharma sebagai “pilihan strategik yang berpotensi”, iaitu satu proses yang boleh membawa kepada penutupan lanjut atau penjualan studio tersebut.

Arkane ketika ini sedang membangunkan permainan berprofil tinggi Marvel’s Blade, dengan laporan industri menyatakan Microsoft mungkin membatalkan projek itu susulan kelewatan pembangunan dan peningkatan kos.

Pada 25 Jun lalu, Microsoft mengumumkan akan menaikkan harga konsol Xbox di seluruh dunia berikutan peningkatan kos komponen.

Sony dan Nintendo turut menaikkan harga konsol permainan masing-masing, manakala Apple mengumumkan kenaikan harga yang ketara bagi Mac dan iPad. – AFP

{suggest}

Cari Artikel

Buka artikel ini di Wiser.my
BUKA
©2026 WISER.MY | Powered by SuperbThemes & WordPress