Sebanyak 83% orang dewasa di Malaysia pernah berdepan dengan penipuan dalam talian dalam tempoh 12 bulan lalu, manakala 14% mengalami kerugian wang akibat scam.
Dapatan itu berdasarkan laporan State of Scams in Malaysia 2026 yang diterbitkan Global Anti-Scam Alliance (GASA) dengan kerjasama Mastercard dan Whoscall, hasil tinjauan terhadap 1,930 orang dewasa di Malaysia.
Antara jenis penipuan yang kerap berlaku ialah penipuan penyamaran, pelaburan dan pembelian. Laporan itu juga mendapati hampir satu daripada tiga individu yang berinteraksi dengan penipu, iaitu 31%, akhirnya kehilangan wang.
Dalam kalangan mereka yang kehilangan wang, 47% membuat pindahan wang melalui akaun, lebih tinggi berbanding purata Asia sebanyak 36%.
Kesan scam juga bukan sekadar melibatkan kerugian wang. Sebanyak 78% mangsa yang kehilangan wang melaporkan kesan sederhana atau ketara terhadap kesejahteraan mental. Malah, 53% pernah mengalami kerugian akibat scam lebih daripada sekali.
Pada masa sama, hanya 7% pengguna melaporkan kejadian scam kepada pihak berkuasa. Dalam kalangan mangsa yang kehilangan wang dan melaporkan kejadian itu kepada sesebuah organisasi, 28% berjaya mendapatkan semula atau menerima bayaran balik sebahagian atau keseluruhan wang yang hilang.
Sementara itu, walaupun 73% orang dewasa yakin mampu mengenali penipuan, 45% masih berinteraksi dengan penipu sepanjang tempoh tersebut. Ia menunjukkan kesedaran pengguna sahaja tidak mencukupi tanpa perlindungan dan langkah pencegahan tambahan.
Selain mendedahkan statistik berkenaan, laporan itu turut mengemukakan 13 syor untuk memperkukuh usaha membanteras penipuan di Malaysia. Antaranya termasuk perkongsian maklumat risikan yang lebih baik, pengesanan lebih awal, tindakan lebih pantas serta sokongan yang lebih baik kepada mangsa.
GASA turut menekankan kepentingan kerjasama antara kerajaan, agensi penguatkuasaan undang-undang, institusi kewangan, penyedia telekomunikasi dan platform digital bagi membolehkan penipuan dikesan dan ditangani dengan lebih berkesan.
Kerugian akibat scam
Dalam perkembangan berkaitan, Menteri Dalam Negeri Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail mendedahkan penipuan dalam talian telah menyebabkan kerugian sebanyak RM7.33 bilion di Malaysia dari 2023 hingga Oktober 2026, melibatkan 192,689 kes.
Bagi tempoh Januari hingga Oktober tahun ini sahaja, sebanyak 56,802 kes penipuan dalam talian direkodkan dengan jumlah kerugian mencecah RM1.56 bilion.
