Sebagai pelajar universiti, menguruskan jadual kuliah, tarikh akhir assignment, nota pelajaran dan ulang kaji dalam masa yang sama bukanlah sesuatu yang mudah.
Ramai pelajar terpaksa menggunakan beberapa aplikasi yang berasingan seperti Google Calendar untuk menyusun jadual, Notion untuk menyimpan nota dan aplikasi lain untuk mengira Purata Nilai Gred Kumulatif (PNGK).
Namun, sebuah aplikasi tempatan yang dibangunkan oleh Aizz Tech Solutions bernama Rencana hadir sebagai alternatif dengan menggabungkan pelbagai keperluan akademik dan komuniti kampus dalam satu platform.
Aplikasi ini direka untuk membantu pelajar menguruskan rutin pembelajaran dengan lebih teratur tanpa perlu bergantung kepada banyak aplikasi yang berasingan.
Berikut ialah ciri-ciri menarik yang ditawarkan ‘Rencana’ untuk bantu kehidupan seharian pelajar IPT:
Susun Jadual Kuliah dan Tarikh Akhir Tugasan
Rencana menyediakan paparan jadual waktu kelas mingguan yang membolehkan pelajar menyusun aktiviti akademik dengan lebih teratur. Anda juga boleh mengimport jadual kelas, menetapkan peringatan berulang serta merekodkan tarikh akhir setiap tugasan dan peperiksaan yang bakal berlangsung.
Dengan adanya fungsi ini, pelajar dapat melihat komitmen akademik yang perlu diselesaikan dalam satu paparan. Secara tidak langsung, ini dapat bantu mengurangkan risiko jika terlupa menghadiri kelas atau terlepas tarikh penghantaran tugasan.
Nota Pembelajaran dan Bahan Ulang Kaji
Selain menguruskan jadual, Rencana turut menyediakan ruang khas untuk mencipta dan menyimpan nota pembelajaran. Pelajar boleh melampirkan fail berkaitan dengan subjek masing-masing supaya bahan rujukan lebih mudah diakses apabila diperlukan.
Ciri ini membolehkan anda mengumpulkan nota dan bahan pembelajaran dalam satu tempat tanpa perlu mencari semula fail daripada pelbagai aplikasi atau folder yang berasingan.
Kad Imbas (Flash cards) dan Kuiz

Untuk memudahkan proses ulang kaji, Rencana turut menyediakan fungsi kad imbas digital dan kuiz. Pelajar boleh menggunakan kad imbas untuk menguji ingatan terhadap fakta atau konsep penting berdasarkan topik yang sedang dipelajari.
Selain itu, fungsi kuiz boleh dimanfaatkan untuk menguji tahap pemahaman selepas mengulangkaji sesuatu topik. Yang menariknya, kad imbas yang disediakan juga boleh diakses tanpa sambungan Internet, sekali gus memudahkan pelajar untuk membuat ulang kaji pada bila-bila masa.
Alatan AI Terbina
Rencana turut mengintegrasikan teknologi kecerdasan buatan (AI) untuk membantu pelajar menyiapkan bahan ulangkaji dengan lebih mudah. Melalui ciri ini, pelajar boleh mengekstrak maklumat daripada tugasan serta menjana kuiz dan kad imbas berdasarkan bahan pembelajaran.
Fungsi ini dapat membantu menjimatkan masa ketika menyediakan bahan ulang kaji, terutamanya bagi pelajar yang perlu menguruskan beberapa subjek dalam satu semester.
Pemasa Fokus (Focus Timer)

Bagi pelajar yang ingin meningkatkan produktiviti ketika belajar, Rencana turut menyediakan fungsi pemasa fokus. Ciri ini membolehkan anda merekodkan tempoh masa yang digunakan untuk belajar dan memantau konsistensi pembelajaran melalui rekod study streak.
Dengan memantau tempoh belajar secara berkala, pelajar boleh mengetahui corak pembelajaran masing-masing dan membina rutin ulang kaji yang lebih konsisten.
Kalkulator Sasaran PNGK (CGPA)

Pelajar tidak perlu lagi mengira mata gred secara manual kerana Rencana turut menyediakan kalkulator PNGK untuk membantu pelajar memantau prestasi akademik.
Melalui fungsi ini, anda boleh menyimpan rekod keputusan semester terdahulu dan menetapkan sasaran PNGK yang ingin dicapai. Sistem kemudiannya membantu mengira gred yang perlu diperoleh bagi mencapai sasaran tersebut.
Ciri ini berguna untuk pelajar yang ingin merancang prestasi akademik dan mengetahui sasaran keputusan bagi semester seterusnya.
Ruang Komuniti dan Rakan Sekampus

Rencana bukan sekadar aplikasi pengurusan akademik, malah turut menawarkan ciri sosial yang membolehkan pelajar berhubung dengan komuniti kampus masing-masing.
Antara ciri yang disediakan ialah Study Lobby yang membolehkan pelajar belajar bersama rakan dari universiti yang sama. Terdapat juga Campus Confessions, iaitu ruang untuk berkongsi luahan dan cerita mengikut kampus masing-masing.
Selain itu, pelajar boleh berkongsi snaps serta menggunakan peta interaktif untuk melihat aktiviti rakan. Aplikasi ini turut menyediakan tetapan kawalan privasi bagi membantu pengguna menguruskan perkongsian maklumat mereka.
Kesimpulan
Secara keseluruhannya, Rencana merupakan salah satu aplikasi tempatan yang boleh dipertimbangkan oleh pelajar IPT untuk menguruskan kehidupan akademik dengan lebih teratur.
Gabungan fungsi pengurusan jadual, penyimpanan nota, bahan ulang kaji, bantuan AI, kalkulator PNGK dan ruang komuniti menjadikan aplikasi ini sebuah platform yang menawarkan pelbagai kemudahan dalam satu tempat.
Bagi pelajar yang sering berdepan kesukaran menguruskan jadual kuliah, tugasan dan ulang kaji, Rencana boleh dijadikan salah satu alternatif untuk membantu menyusun rutin harian.
Daripada menggunakan pelbagai aplikasi berasingan, anda boleh mencuba platform ini untuk melihat bagaimana ciri-cirinya dapat memudahkan urusan sebagai pelajar universiti.



