Berita baik kepada para peminat tegar Transformers khususnya apabila anda bakal menikmati tayangan istimewa filem klasik ikonik, The Transformers: The Movie yang akan boleh distrim secara percuma di platform YouTube bermula 27 November ini untuk tempoh terhad.
Menariknya, tayangan tersebut turut menyertakan rakaman bonus eksklusif bertajuk Optimus Prime: Awakening.
Inisiatif ini dibawakan menerusi saluran peminat rasmi TRANSFORMERS yang didedikasikan khas buat golongan peminat, pengumpul koleksi serta komuniti yang telah mencorakkan legasi francais berkenaan sepanjang 40 tahun lalu.
Tayangan percuma eksklusif di YouTube ini oleh Hasbro Entertainment adalah bagi menghormati legasi Peter Cullen, suara ikonik Optimus Prime dalam francais Transformers, yang baru-baru ini meninggal dunia pada usia 85 tahun.
Jadi, peminat bukan sahaja dapat mengimbau kembali pengembaraan epik Autobots dan Decepticons dalam filem asal 1986, malah berpeluang menyaksikan persembahan terakhir Peter Cullen sebagai Optimus Prime dalam Optimus Prime: Awakening yang merupakan filem pendek berdurasi 12 minit yang dihasilkan sempena ulang tahun ke-40 The Transformers: The Movie.
Jalan ceritanya memfokuskan kepada Optimus Prime selepas kematiannya di Autobot City.
Dalam alam lain, beliau bertemu makhluk misteri dikenali sebagai “the One”, yang memperlihatkan pelbagai kemungkinan masa depan serta garis masa alternatif.
Pengalaman itu mendorong Optimus menilai semula kepimpinannya, konflik berpanjangan dengan Megatron dan makna sebenar keamanan untuk Cybertron.
Tayangan khas ini sekali gus menjadi penghormatan bermakna kepada legasi seorang pelakon yang telah menjadi suara Optimus Prime selama beberapa dekad.
Pihak pengurusan saluran itu turut mengalu-alukan komuniti peminat di seluruh dunia untuk bersama-sama menghidupkan semula legasi Transformers.
