(Ulasan) MSI RTX 4070 Ti GAMING X TRIO - Prestasi 4K Pada Harga 'Rahmah'

Kali terakhir saya mengulaskan komponen PC adalah MSI RTX 4080 SUPRIM X pada Januari lepas. Setelah lebih kurang 2 bulan, MSI telah memberi peluang kepada saya untuk menguji MSI RTX 4070 Ti dalam siri GAMING X TRIO.



Untuk pengetahuan anda, RTX 4070 Ti mempunyai maklum balas yang negatif daripada pihak awam apabila ia dilancarkan. Hal ini demikian kerana RTX 4070 Ti adalah dijenamakan semula daripada RTX 4080 versi 12GB VRAM.



Walaupun begitu, RTX 4070 Ti masih sebuah GPU yang berkuasa dalam siri RTX 4000. Seperti yang diiklankan, NVIDIA mensasarkan RTX 4070 Ti ini untuk menguasakan pengalaman gaming pada resolusi 1440p. Dan itulah yang saya akan kongsikan kepada anda.

Sebelum saya terlupa, pengujian GPU ini dilakukan dalam sistem PC yang sama seperti dalam artikel ulasan GPU - GPU ini.

Prestasi (1440p Yang "Solid")


Salah satu game yang dipilih adalah Forza Horizon 5. Walaupun ini sebuah game yang lama tetapi ia adalah salah satu game AAA dengan keperluan pemprosesan grafik yang tinggi.



Melalui tetapan tertinggi, RTX 4070 Ti berada di luar jangkaan saya dengan kemampuannya tersendiri. Forza Horizon 5 dapat dimainkan pada resolusi 4K tanpa sebarang masalah.

Berjaya mencatatkan pengalaman sekitar 80 fps pada game ini dalam tetapan grafik paling tinggi. Mengejutkan, itu adalah capaian lebih daripada cukup bagi sesebuah AAA dalam resolusi 4K.



Seandainya kita boleh bersua muka, sudah tentu saya dapat menunjukkan dengan lebih jelas lagi akan pengalaman imersif saya dalam Forza Horizon 5 pada tetapan 4K.



Gambar-gambar di atas menunjukkan GPU mampu mengendalikan sebuah AAA tanpa isu seperti fps drop, grafik tearing, lag mahu pun stuttering.

Untuk pengetahuan anda, RTX 4070 Ti telah melebihi jangkaan kami kerana ia mampu mengendalikan resolusi grafik lebih daripada 1440p melalui Forza Horizon ini.

Walau bagaimanapun, saya melihat sesetengah AAA yang mempunyai keperluan grafik yang lebih tinggi seperti Cyberpunk 2077 agak mencabar untuk dikendalikan oleh GPU ini.

Hal ini demikian kerana saya juga ada menguji Cyberpunk 2077 dalam tetapan grafik tertinggi untuk melihat setakat mana kemampuan dan "memerah" kemampuan pemprosesan grafik GPU ini.



Seperti yang anda lihat di bawah, GPU ini boleh menyokong dan memproseskan tahap resolusi grafik yang tinggi untuk Cyberpunk 2077, sebuah game AAA.



Dalam tetapan grafik ini, pengalaman yang diberikan adalah lebih nyata, jelas tanpa sebarang masalah. Tangkap layar yang anda lihat menunjukkan resolusi grafik yang tinggi dan realistik.

Tetapi seperti yang saya katakan tadi bahawa Cyberpunk 2077 adalah sebuah AAA yang agak "dahagakan" grafik. Oleh sebab itu, GPU ini terpaksa mengorbankan kadar fps yang tinggi untuk mendapatkan hasil resolusi dan kualiti grafik yang baik dalam setiap bingkai dihasilkannya.



Jadi, saya faham dan boleh terima apabila kadar fps yang dicatatkan untuk Cyberpunk 2077 ini hanya sekitar 30 fps sahaja pada 4K.

DLSS 3 (Memberikan Pengalaman 4K Tanpa Perlu Kerja Terlalu Keras)


DLSS adalah salah satu ciri yang ditawarkan kad grafik ini. Secara ringkasnya, ciri ini mampu meningkatkan fps sesebuah game yang dimainkan apabila ia diaktifkan walaupun berada pada tetapan grafik yang tinggi.

Dalam Forza Horizon, saya mendapatkan purata 80 fps pada tetapan grafik tertinggi sebelum ciri DLSS padanya diaktifkan.



Selepas NVIDIA DLSS diaktifkan, saya berjaya mendapatkan purata kadar bingkai 144 fps untuk sepanjang masa bermain Forza Horizon ini.

Saya agak terkejut akan kemampuan ciri DLSS pada RTX 4070 Ti di luar jangkaan saya. Walaupun Forza adalah sebuah game AAA dan berada pada tetapan grafik tertinggi, GPU tidak menghadapi sebarang masalah dalam memproses grafik permainan itu.



Walau bagaimanapun, saya ingin nyatakan bertapa saya terkejut, bayangkan Forza Horizon pada 144 fps, untuk sepanjang masa, pada tetapan grafik tertinggi pula itu. Sesungguhnya saya terkejut dan gembira.



Untuk Cyberpunk 2077, game ini tidak dinafikan mempunyai keperluan pemprosesan grafik yang lebih tinggi berbanding Forza Horizon. Oleh itu, bukanlah satu perkara yang mengejutkan apabila purata fps game ini sebelum DLSS adalah lebih rendah berbanding Forza.



Selepas ciri DLSS diaktifkan pada Cyberpunk, GPU ini berjaya menambahkan purata kadar bingkai per saat game ini kepada sekitar 80 fps.



Di mana bagi saya itu sangat memberangsangkan dan tidak saya sangkakan. Malahan, sama seperti Forza, tetapan grafik Cyberpunk ketika DLSS itu diaktifkan adalah pada yang tertinggi.



Setelah DLSS diaktifkan, pengalaman saya bermain Cyberpunk lebih baik, mengasyikkan dan seronok berbanding sebelumnya. Fps yang tinggi menawarkan gaya permainan yang lebih lancar dan efektif.

Kesimpulan


Jika anda mencari GPU MSI RTX 4070 Ti ini di mana-mana platform pembelian atas talian, purata harga GPU ini adalah sekitar RM4,500.

Bagi pendapat saya, harga tersebut tidak terlalu tinggi mahu pun terlalu rendah tetapi berketepatan untuk sesebuah GPU daripada NVIDIA.



Walau bagaimanapun, MSI RTX 4070 Ti ini adalah sebuah GPU 1440p yang berkemampuan, tetapi bukan yang terbaik untuk pengalaman gaming 4K.

Namun, perkara itu boleh diatasi dengan penggunaan DLSS 3 yang merupakan ciri utama RTX 4070 Ti ini. DLSS 3 mampu menaikkan kadar bingkai sesebuah game walaupun berada pada tetapan grafik yang tinggi.

Jika kita bandingkan dengan AMD Radeon RX 7900 XT, GPU AMD itu dijual pada harga permula RM4,599 dan ia mempunyai prestasi gaming 4K yang lebih 'solid' dengan harga jualan yang tidak jauh bezanya.

Sekiranya anda inginkan sebuah GPU NVIDIA untuk menikmati pengalaman permainan pada resolusi 2K yang solid dan juga 4K yang stabil, MSI GeForce RTX 4070 Ti adalah pilihan terbaik untuk anda pertimbangkan.

Beli di Shopee

Beli di Lazada

{suggest}