Pertengahan Mac lepas, Samsung akhirnya melancarkan peranti kelas pertengahan popular mereka, iaitu Galaxy A34 dan Galaxy A54. Sekali lagi, Samsung berjaya mencuri tumpuan peminat teknologi dunia. Adakah sebab inovasi baharu dalam peranti kelas pertengahan? Tidak sama sekali.
Mengimbas kembali, Galaxy A54 dijual pada tanda harga RM1899. Anda boleh mengetahui reaksi awal kami di SINI. Harga agak keras? Mungkin sedikit keras kerana Galaxy A54 berada di tengah-tengah dalam siri A.
Namun, Galaxy A34 sebenarnya jauh lebih keras. Dengan tanda harga RM1599, adakah ia berbaloi? Ada ke yang sanggup menghabiskan sehingga RM1600 untuk peranti kelas pertengahan Samsung ini sedangkan banyak lagi pilihan lain? Segalanya saya bakal kupaskan di bawah.
Tiada Lagi Kasta, Rekaan Premium Ikonik Kini Mampu Milik
Kebiasaannya, kebanyakan jenama telefon pintar di luar sana gemar menggunakan pendekatan rekaan yang lain bagi peranti midrange dan juga flagship. Mengapa? Mungkin sebagai taktik pemasaran dan ingin membezakan siapa lebih ‘power’.
Namun, Samsung kali ini tampil sedikit berbeza. Ini kerana pada siri Galaxy A terdahulu, modul kameranya lain daripada model siri Galaxy S. Pada Galaxy A34, sekilas pandang dari belakang ia seolah-olah sedang memegang peranti Samsung Galaxy S23.
Pertama kali saya membawa telefon ini keluar dari kotak, saya boleh katakan yang ia memang sedap berada di tangan. Panel belakangnya diperbuat daripada glastic (sejenis fiberglass). Saya kategorikannya berada di tengah-tengah di antara plastik dan juga kaca.
Apa yang saya cuba sampaikan, Galaxy A34 menawarkan sebuah rekaan yang seakan-akan premium flagship tetapi pada masa sama persis kelas pertengahan biasa kerana sisi peranti kekal menggunakan plastik.
Seperkara lagi, telefon ini sedikit besar kerana faktor paparan yang lebih besar berbanding Galaxy A54. Biarpun saiz yang besar tetapi ia tidak lenguh apabila menggunakan peranti dengan sebelah tangan sahaja. Yalah, plastik jauh lebih ringan daripada kaca kan?
Jangan Buat Malu Sebab Aku Antara Pembekal Paparan Terbesar
Semua sedia maklum, bila sebut pasal paparan pada telefon pintar, nama Samsung antara yang akan disebut-sebut. Ini kerana kualiti yang ditawarkan cukup baik.
Sebagai salah satu pembekal paparan terbesar dunia, agak malulah jika Samsung tidak memberikan yang terbaik pada barisan telefon pintar mereka.
Galaxy A34 hadir dengan paparan Super AMOLED dengan kadar segar semula 120Hz. Jika dibandingkan Galaxy A33 terdahulu, kadar segar semula hanyalah 90Hz. Seperti yang saya jangka, warna dan kecerahan yang ditawarkan, cukup baik bagi sesebuah peranti berkelas pertengahan.
Cumanya, saya tertanya-tanya juga, kenapa saiz skrin Galaxy A34 berukuran 6.6 inci dan Galaxy A54 pula 6.4 inci. Biasanya, lebih besar nombor, lebih besarlah segala spesifikasinya.
Satu lagi, mengapa Samsung menggunakan paparan jenis teardrop, iaitu pada kamera hadapannya. Bagi saya, ia kelihatan begitu tidak cantik ditambah lagi dengan bezel serta dagu yang agak besar. Malah, rekaan sebegini sebenarnya sudah tidak relevan pada mata saya.
Perkara tersebut tidak terjadi pada model Galaxy A54. Bukankah ia jauh lebih cantik dan kelihatan lebih premium?
Tahun Ni, Samsung Agak Bijak ‘Tackle’ Peminat
Awal tahun, kita sudah menyaksikan barisan Samsung Galaxy S23 dilancarkan. Selain 200MP pada lensa, cip Snapdragon 8 Gen 2 for Galaxy juga menjadi tumpuan utama.
Tapi siri Galaxy A bukan guna cip 8 Gen 2
Ya, betul. Galaxy A34 masih dalam kelas pertengahan dan cip yang digunakan semestinya kena dalam segmennya. Cumanya, saya memuji Samsung dalam hal ini dengan memuatkan cip MediaTek Dimensity 1080.
Mungkin ada yang masih ada stigma atau persepsi bahawa cip MediaTek teruk. Itu cerita lama kerana MediaTek sudah bangkit dan kebanyakan cip terkini mereka cukup baik untuk sesebuah peranti midrange hinggalah ke flagship.
Jika diikutkan, Dimensity 1080 ini menghampiri prestasi cip Snapdragon 778G. Cip sama yang digunakan dalam Galaxy A73 tahun lalu.

Setakat ini, penggunaan harian saya dengan cip tersebut tidak memberi sebarang masalah lagi. Setiap aplikasi yang dibuka agak laju ditambah lagi animasi yang lancar serta kadar segar semula yang tinggi menjadikan ia lebih asyik. Bercakap tentang lancar, Galaxy A34 didatangkan dengan One UI 5.1.
Selain itu, kualiti audio yang dilontarkan pembesar suaranya juga secukup rasa bagi saya. Ia jelas, kuat dan tidak pecah. Memang cukup padan dengan skrin yang ada padanya.
Sekiranya anda masih tertanya-tanya dengan kualiti gambar, bagi saya ia sudah memadai untuk sebuah peranti midrange. Gambar siang, malam termasuk potret saya letakknya dalam sekitar sederhana. Tidak terlalu cantik dan tidak terlalu buruk. Ini saya akan bincangkan dalam penulisan ulasan saya nanti.
Kesimpulan
Secara keseluruhan, saya agak terkejut dengan apa yang Samsung lakukan. Kejutan pertama adalah harga yang ditawarkan Samsung. Galaxy A34 merupakan model asas dalam siri ini tetapi jika model basic pun sudah mempunyai harga sebegini, apatah lagi model-model yang lain kan?
Kejutan kedua, prestasi yang diberikan Samsung pada model asasnya – Galaxy A34 mengubah tanggapan saya terhadap peranti berkelas pertengahan. Walau apa pun, saya tetap puas hati dan ada juga kekecewaan yang mana segalanya saya bakal luahkan dalam “edisi” ulasan Galaxy A34 dalam masa terdekat. Tunggu dan teruskan bersama kami di Wiser.My.
{suggest}