(Ulasan) Samsung Galaxy A34 - Tak Teruk Seperti Yang Disangka

Galaxy A34 merupakan telefon pintar kelas pertengahan daripada Samsung dan ia adalah pengganti bagi pendahulunya Galaxy A33. Pada awal kehadirannya, ramai mengecam atas faktor harga.

Jika dibandingkan Galaxy A33, harganya RM1499. Tahun ini, naik RM100 dan meletakkan harga Galaxy A34 RM1599. Mahal bukan? Sekiranya jenama lain, Xiaomi misalnya, harga sebegini sudah boleh dapat spesifikasi midrange terpaling padu.

Tidak banyak perbezaan pada Samsung Galaxy A34 dengan Galaxy A33, mungkin disebabkan ini juga ramai tidak berpuas hati dengan Samsung. Sebelum saya mulakan hujah-hujah adakah Galaxy A34 ini layak dengan harga yang ditawarkan, anda boleh baca ulasan Galaxy A33 tahun lalu.

Dalam artikel kali ini, saya akan mengulas dua perkara utama, iaitu prestasi peranti serta kameranya. Ini kerana rekaan dan sebagainya saya telah bincangkan dalam artikel INI.

Prestasi


Seperti yang saya pernah nyatakan dalam reaksi awal sebelum ini, Samsung bijak dan dalam landasan yang betul menggunakan cip MediaTek Dimensity 1080 berbanding cip Exynos yang ditawarkan dalam Galaxy A33.

Dengan harga sebegini, mungkin ada golongan yang mengatakan baik beli Redmi Note 12 Pro+ 5G kan? Sebenarnya cip yang ada pada telefon Redmi tersebut adalah sama dengan Galaxy A34.

Kapsyen: Redmi Note 12 Pro+ & Galaxy A34


Jadi, apa yang saya boleh katakan prestasinya cukup baik. Jika nak dibandingkan dengan pendahulunya tahun lalu, Galaxy A34 sememangnya mempunyai peningkatan.

Bermain permainan mudah alih arus perdana seperti Mobile Legends, Wild Rift, PUBG dan sebagainya memang tak ada masalah pun. Kalau main Genshin Impact, ia masih boleh dimainkan tapi perlu diletakkan dalam tetapan yang rendah.

Walau apa pun, tidak semua yang membeli telefon pintar mahu bermain game bukan?

Sebelum terlupa, saya pernah mengatakan bahawa cip Dimensity 1080 ini menghampiri prestasi cip Snapdragon 778G. Maknanya, Galaxy A34 sudah sampai kemuncak peranti kelas pertengahan biasa. Dia bukanlah kelas pertengahan premium seperti mana abangnya Galaxy A54.



Bercakap soal cip ini juga, saya rasa tidak perlu mengulas panjang prestasi menggunakan aplikasi sosial media kerana sememangnya ia tidak memberikan masalah.

Malah, saya pun tidak pening kepala dengannya. Hal ini kerana ia ditambah dengan pengalaman One UI 5.1 yang cukup lancar dan baik.

Galaxy A34 A54

Tidak cukup dengan itu, pengalaman menggunakannya jauh lebih asyik apabila dipadankan dengan paparan yang cantik. Ramai mengakui skrin daripada Samsung memang cantik. Sama juga pada Galaxy A34 ni, antara skrin peranti kelas pertengahan yang terbaik. Kadar segar semula 120Hz yang ditawarkannya juga saya boleh katakan cukup cemerlang.

Beza berbanding peranti yang sama segmen dengannya biarpun mempunyai kadar segar semula yang sama. Imbas kembali, Galaxy A33 hanya mempunyai kadar segar semula 90Hz. Jadi, ini satu peningkatan yang bagus dibuat Samsung.

Kapsyen: _cuva


Selain skrin yang baik, pembesar suara stereo padanya juga boleh saya katakan cukup baik untuk midrange. Tidak banyak peranti dalam kelas ini menawarkan speaker stereo. Oleh itu, ini merupakan bonus untuk si pemakai. Audio yang dilontarkan sudah memadai sebenarnya dan tidak wajar untuk saya bandingkan dengan telefon berkelas andalan (flagship).

Cumanya, Samsung seolah-olah mengekalkan "kepremiuman" mereka dengan masih lagi tidak menawarkan bicu audio. Apabila saya melihat pasaran telefon pintar midrange tahun ini, kebanyakannya ada bicu audio.

Namun, tidak mengapalah kerana ini bukanlah siri Samsung Galaxy A pertama yang kehilangan bicu audio.

Dari segi bateri, mungkin ada yang akan terkejut sebenarnya saya boleh gunakan sehingga 2 hari kalau menggunakannya dalam tugasan biasa. Bukan heavy usage. Kalau lenjan kaw kaw sekalipun, masih lagi mampu bertahan sehingga 1 hari.



Sayang seribu kali sayang, bateri yang cemerlang itu tidak mampu dicas dengan laju. Saya cukup kecewa dengan Samsung bab ini. Sudahlah tiada pengecas diberikan, cas pun lambat. Gunalah pengecas 120W sekali pun, kalau tidak disokong Samsung, memang kelajuan mengecasnya sama sahaja.

Apa pun, macam saya katakan, ini bukan kali pertama Samsung berbuat demikian. Nak atau tidak, kita kena terimanya dengan hati terbuka.

Beli Samsung Galaxy A34 di SINI

Kamera


galaxy a34 a54

Kamera Galaxy A34 dengan Galaxy A33 sama sahaja dari segi resolusinya. Akan tetapi, Galaxy A34 sudah kehilangan lensa kedalaman (depth). Mungkin dengan membuang satu lensa, sudah menjimatkan kos pembuatannya (tapi harga telefon masih naik).



Setakat penggunaan saya, gambar pada waktu siang dengan menggunakan kamera utama tidak begitu cantik dan tidaklah begitu teruk. Secukup rasa untuk sebuah peranti midrange. Ciri-ciri atau identiti gambar Samsung itu masih ada, iaitu sedikit oversaturated. Malah, pemprosesan imej yang diambil juga menerima sedikit peningkatan.



Gambar potretnya pula, bagi saya ia masih lagi menawan dan kabur pada latar belakang masih kemas pada mata saya. Ia juga tidak fake. Cumanya adakala potongannya tidak begitu kemas.



Swafoto? Sama juga dengan gambar selfie, saya berpuas hati dengan warna yang diberikan serta tona kulit. Dari segi gambar malam, jujur saya katakan ia bukanlah yang terbaik dan bukanlah teruk.

Ia seperti yang kita jangka pada kamera dalam sebuah telefon pintar berkelas pertengahan. Ini termasuk juga dengan gambar malam. Gambar malamnya tidak begitu baik jika persekitaran benar-benar kurang cahaya. Hingar (noise) tidak terlalu ketara sehingga menjejaskan kualiti gambar. Sekiranya pencahayaan mencukupi, ia sudah cukup cantik pada pandangan saya, jauh lebih baik berbanding iPhone SE 2022.



Jujur saya katakan, kamera pada Galaxy A34 ini masih lagi baik. Lebih-lebih lagi jika anda sekadar mahukan sebuah foto yang sedap mata memandang serta boleh dikongsikan secara terus kepada keluarga dan saudara mara.

Beli Samsung Galaxy A34 di SINI

Berbaloi beli atau baik beli?


Galaxy A34 A54

Kita sudah sampai ke penghujung, mungkin ada yang tertanya-tanya berbaloi ke untuk saya "angkat" Samsung Galaxy A34 ni? Apa yang boleh saya katakan, Galaxy A34 ini memang benar dijual pada tanda harga sedikit keras berbanding pendahulunya yang lain.

Pada pendapat saya, dengan tanda harga RM1599, anda boleh dapatkan Redmi Note 12 Pro+ 5G pada harga yang sama atau memilih iQOO Z7.

Ini sekiranya anda betul-betul mementingkan spesifikasi semata-mata seperti mana yang ditawarkan Redmi. Namun, jika anda mahukan sebuah peranti midrange yang boleh bertahan lama, kurang memberikan masalah (bukan tak ada masalah langsung) atau mahu hadiahkan ibu bapa, saya boleh cadangkan Galaxy A34.

Kalau ada bajet lebih sedikit, boleh ambil abangnya Galaxy A54 yang mana bagi saya salah satu calon telefon kelas pertengahan terbaik tahun 2023.

Pun begitu, saya masih tidak bersetuju dengan harga jualan Galaxy A34, sepatutnya Samsung wajar mengekalkan harga yang sama seperti Galaxy A33. Saya tahu, mahu murah lagi daripada itu agak mustahil kerana dalam keluarga siri Galaxy A ada lagi murah daripada ini.

Akhir kata dari saya, Samsung Galaxy A34 tidaklah teruk mana dan ia bukanlah terbaik. Namun, dengan prestasi cemerlang, kamera yang agak baik, rekaan yang cantik, kemas kini sehingga 4 tahun (android) serta 5 tahun (sekuriti), ia mungkin membuatkan anda berfikir balik.

Beli Samsung Galaxy A34 di SINI