(Ulasan) AMD Radeon RX 7900 XT - Prestasi 4K Yang 'Solid' Daripada 'Team' Merah

AMD Radeon RX 7900 XT adalah antara GPU terawal yang dihasilkan menggunakan seni bina RDNA 3 yang lebih maju dan moden ini. Secara ringkasnya, RX 7900 XT adalah GPU yang padat dengan kuasa pemprosesan grafik.

Untuk pengetahuan pembaca, konsol PlayStation 5 yang dicari-cari ramai ketika ini menggunakan teknologi RDNA 2, pendahulu kepada RDNA 3.

RX 7900 XT adalah GPU AMD yang bersaing rapat dengan NVIDIA RTX 4080 dan berikut adalah spesifikasi rasmi GPU ini:

Kapsyen: Spesifikasi RX 7900 XT


Secara dasarnya, RX 7900 XT tidaklah jauh bezanya dalam spesifikasi dengan RX 7900 XTX yang memori bersaiz 24GB berbanding 20GB yang dimiliki model XT.

Walaupun begitu, kedua-dua GPU utama AMD ini mempunyai saiz memori yang lebih besar berbanding NVIDIA RTX 4080 (16GB).

AMD Radeon RX 7900 XT hadir dalam binaan yang benar-benar kukuh dan padu. Fizikal luarannya yang terdiri daripada logam membuatkan GPU ini lebih mengancam berbanding yang lain di pasaran.



Jadi, izinkan saya untuk berkongsikan kemampuan dan hasil yang diberikan 7900 XT ini selama saya menggunakannya.

Prestasi (4K yang solid, suhu yang seimbang)


Saya telah menetapkan tetapan monitor sistem kami kepada 144Hz untuk dapatkan pengalaman yang lebih baik. Tidak lupa juga, GPU ini diuji dalam sistem yang dikuasakan CPU Intel i9-12900K, saiz memori 32GB RAM DDR5 dan melalui OS Windows 11 Pro.



Game pertama yang saya uji adalah Forza Horizon 5, salah satu permainan video AAA yang sangat demanding dari segi grafik yang boleh pembaca dapatkan ketika ini.



Dengan tetapan grafik pada 4K, saya dapat mencapai purata kadar bingkai per saat sekitar 55fps. Dan sejujurnya, itu sememangnya keputusan yang cemerlang memandangkan semua pilihan grafik berada di tetapan maksimum.



Tambahan lagi, suhu GPU untuk sepanjang penggunaan juga kekal di paras seimbang (bawah 70°C untuk penggunaan 100%).



Selain Forza Horizon, Plague Tale: Requiem adalah game AAA baharu yang dilancarkan pada Oktober 2022 lepas. Dengan tetapan grafik tertinggi yang tersedia, berikut adalah fps yang berjaya saya tangkap.



Untuk game ini, saya berjaya dapat purata kadar segar semula sekitar 120fps dan itu adalah untuk grafik 4K bagi sebuah game AAA. Bukanlah niat saya ini memuji lebih GPU AMD ini tetapi nombor tidak menipu.

Disebabkan kekangan tempoh masa penggunaan GPU ini, saya hanya berhasil untuk mengujinya pada 2 games AAA sahaja. Selain itu, saya sempat mencubanya bermain game multi-pemain seperti Apex Legends dan Genshin Impact.



Ingatkah pembaca pada awal artikel ini saya telah menetapkan tetapan paparan monitor ini pada kadar segar semula 144Hz, dan hasilnya pada Apex Legends tidak mengecewakan.



Saya berhasil mendapatkan pengalaman bermain pada purata kadar segar semula 144fps untuk sepanjang masa. Kejelasan yang tajam, grafik yang dipaparkan juga sangat lancar.



Walau bagaimanapun, pembaca kena ingat bahawa GPU yang berkuasa tidak menjanjikan bakat yang hebat sebagai gamer (kalah sebab lambat jump sahaja).

Walaupun telah dilancarkan lebih 2 tahun lepas, Genshin Impact adalah antara permainan video pelbagai platform yang memiliki keperluan grafik paling tinggi.



Oleh sebab itu, tidak mengejutkan kenapa pembangunnya masih kekalkan pilihan tetapan grafik maksimum pada 60fps sahaja.



Dan sama seperti Apex Legends, sepanjang masa bermain game ini, saya kekal berada pada kadar segar semula 60fps tanpa sebarang masalah sedikit pun.

Walau bagaimanapun, suhu 7900 XT ini meningkat kepada 80°C ketika bermain Apex Legends dan kekal pada purata 60°C untuk Genshin Impact.

Hal ini mungkin disebabkan Apex Legends memerahkan GPU ini untuk mendapatkan kadar segar semula 144fps semasa ketika sedang dimainkan.



Di samping itu, GPU ini berjaya mengalahkan pesaing-pesaing yang lain dalam ujian penanda aras Cinebench dengan skor 1888 untuk teras tunggal. Oleh itu, tidak mengejutkanlah kenapa GPU ini sangat berkemampuan dalam mengendalikan sebarang game.

Yang paling menghampiri skor saya ini pun hanya mencatatkan skor 1532 sahaja. Lebih 300 mata tertinggal dibelakang skor GPU ini.

Kesimpulannya (GPU 4K yang paling berbaloi untuk gamers di Malaysia)


AMD Radeon RX 7900 XT adalah pesaing rapat bagi NVIDIA GeForce RTX 4080 dan GPU yang terdahulu bagi model XTX. Walau RX 7900 XT setakat bersaing rapat dengan RTX 4080 tetapi prestasi yang diberikan tetap solid dan antara yang terbaik dalam kelasnya.



Berdasarkan penggunaannya, RX 7900 XT adalah sebuah GPU yang cekap, efisien dalam sistem penyejukannya, dan yang paling penting berada pada harga yang masuk akal.

Benar, itu adalah salah satu kelebihan utama GPU AMD ini. RTX 4080 dijual pada harga yang lebih mahal berbanding model XTX, apatah lagi 7900 XT.

Perbezaaan harga dan prestasi yang tidak jauh bezanya dengan RX 7900 XTX membuatkan RX 7900 XT ini adalah sebuah GPU yang sangat berbaloi untuk dimiliki.

{suggest}

Secara amnya, RX 7900 XT boleh dimiliki bermula pada harga ~RM4,599 sahaja manakala model XTX pula dijual pada harga permulaan sekitar RM5,199.

Jika pembaca masih keliru lagi untuk memilih dan membeli kad grafik yang mana satu dikalangan 3 GPU ini, ambil sahaja AMD Radeon RX 7900 XT ini. Pembaca boleh membeli RX 7900 XT ini melalui pautan di bawah:

Beli di Lazada: https://invol.co/clfnnju