TikTok hari ini mengumumkan pelancaran global alat pengesan deepfake bagi tokoh awam ketika platform media sosial itu berusaha mengekang maklumat salah janaan kecerdasan buatan (AI) menjelang gelombang pilihan raya di Eropah tahun hadapan.
“Alat pengesanan rupa” (likeness detection tool) itu membolehkan ahli politik serta akaun yang mempunyai jumlah pengikut ramai di TikTok mengesan dan melaporkan kandungan janaan AI yang menggunakan imej mereka tanpa kebenaran, dengan ciri tersebut dilancarkan secara berperingkat.
Deepfake merujuk kepada teks, imej, video dan bunyi yang kelihatan seperti asli tetapi sebenarnya dijana atau dimanipulasi oleh AI.
Bagi TikTok, yang dimiliki syarikat berpangkalan di China, ByteDance, alat tersebut merupakan komponen penting dalam melindungi platform daripada maklumat palsu semasa pilihan raya di seluruh Eropah tahun depan, termasuk di Itali, Perancis dan Greece.
“Melindungi integriti pilihan raya adalah salah satu tanggungjawab paling kritikal yang kami pikul di TikTok,” kata Francesca Scapolo, ketua hubungan kerajaan syarikat itu bagi pilihan raya Eropah, pada acara keselamatan dan inovasi TikTok di London pada Khamis.
Beliau menambah bahawa alat pengesanan rupa itu akan membantu “ahli politik dan kerajaan mengenal pasti kandungan berpotensi janaan AI yang telah dikongsi tanpa kebenaran mereka.”
Kesatuan Eropah (EU) mula melaksanakan peraturan ketelusan AI yang menyeluruh pada Ogos lalu, termasuk syarat mewajibkan deepfake serta kandungan janaan AI lain dilabelkan.
TikTok telah mewajibkan pencipta kandungan melabelkan imej, audio dan video realistik janaan AI sejak beberapa tahun lalu.
Syarikat itu tahun lalu menyatakan bahawa penambahbaikan teknologi akan membolehkannya mengurangkan jumlah pekerjaan dan lokasi penyederhanaan kandungan di seluruh dunia.
AI semakin memainkan peranan penting dalam penyederhanaan media sosial ketika pengendali platform berusaha menjimatkan kos pemeriksaan manusia bagi kandungan seperti pornografi, maklumat salah dan ucapan kebencian.
YouTube turut membangunkan alat pengesanan rupanya sendiri bagi membolehkan pencipta kandungan mengesan video janaan AI yang memaparkan penyamaran diri mereka.
AFP, antara lebih sedozen organisasi semakan fakta lain, dibayar oleh TikTok di beberapa negara untuk mengesahkan video yang berpotensi mengandungi maklumat palsu. – AFP
