(Ulasan) HONOR Magic5 Pro - Kamera Handal Tanpa Sensor 1"

Magic5 Pro ialah model andalan terbaru daripada HONOR dan ia dilancarkan dalam MWC Barcelona pada bulan lepas.

Tumpuan utama peranti ini ialah kameranya yang hadir dengan tiga lensa 50MP di belakang.

Artikel pelancaran dan spesifikasi lebih lanjut boleh diakses melalui pautan INI.

Dalam artikel ini, saya kongsikan pengalaman bukan saja dari segi penggunaan kamera, tetapi juga aspek lain.

Rekaan fizikal




Ia agak berat, justeru beri rasa premium. Untuk warna hijau, kemasannya matte manakala hitam pula licin berkilat.

Dalam banyak-banyak modul kamera bulat telefon sekarang, Magic5 Pro antara yang saya suka kerana ia mempunyai lekuk di sekelilingnya yang membuatkan bonggol kamera tidak nampak seperti asing daripada tubuh.

Sistem operasi dan antara muka




Kali ini, telefon andalan HONOR dilengkapkan dengan MagicOS 7.1. Dari segi visual seperti font, ikon, saya tidak memang tidak gemarkannya.

Ia nampak seperti Android tahun 2015. Dalam acara pelancaran di MWC tempoh hari, HONOR mengumumkan  ekosistemnya sendiri di mana peranti-perantinya seperti telefon dan komputer riba mereka dapat digunakan sekali dalam waktu sama.

Namun, untuk dalam telefon saja, antara mukanya tidak terasa responsif walaupun tidaklah ada isu lag. Cuma, kalau dibandingkan dengan One UI dan Nothing OS, terasa jauh berbeza.



Sudah pasti, ia menawarkan beberapa ciri tambahan lain namun masih terasa kosong.

Kita tahu, MagicOS mewarisi antara muka EMUI namun nampak seperti tiada sebarang perubahan besar sejak dua Huawei dan HONOR berpisah.

Malah, HarmonyOS yang gantikan EMUI tampil dengan rekaan yang lebih kontemporari dan tersusun.

Senang kata, MagicOS pada HONOR nampak sedikit ketinggalan dan jelas sekali tahap responsnya bukanlah kekuatan utama.

Fotografi




Bagi gambar dalam mod biasa, Magic5 Pro berjaya buat saya kagum dengan hasil warna yang tidak terlalu pekat namun masih nampak menarik.

Dari segi ketajaman pun bagus, walaupun bukan #1.  Cemerlang.



Untuk kemampuan zumnya, saya sangat berpuas hati walaupun periskopnya hanya sehingga 3.5X. Selebihnya, telefon akan menggunakan zum digital (hingga 100X)

Dari 1X ke 10X gambar masih begitu tajam dan nampak seperti dizum melalui lensa periskop.











Kemampuan zum juga menjadi salah satu perkara yang saya suka dengan Magic5 Pro.

Bab potret, potongan objek dengan latar juga tunjuk prestasi yang memuaskan sama ada di luar mahupun di dalam.







Bagi gambar malam atau dalam pencahayaan rendah, saya tidak gunakan mod malam pun kerana mod biasa pun sudah memberikan gambar yang cerah.

Noisenya tidak ketara, masih tajam walaupun ia gambar lebih cerah daripada keadaan sebenar. Hasil gambarnya juga baik, seperti anda dapat lihat.





Ciri AI Motion Sensing yang baru diperkenal agak menarik dan berkesan. Cumanya, ia mungkin terlalu reaktif sehinggakan kadangkala ia mengambil gambar walaupun bukan

Senang kata, bab fotografi, saya sangatlah berpuas hati dari semua aspek.

Video


Akan tetapi bab video, masih ada kekurangan walaupun tidaklah teruk.

Bab warna, ia masih menghasilkan warna yang agak tepat dan tidak terlalu pekat apatah lagi pudar.

Untuk penstabilan juga saya tidak mempunyai sebarang masalah. Rakaman semasa berjalan juga hasilnya tidak jauh beza dengan telefon-telefon lain.

Ketajamannya objek dalam video pun pada tahap yang memuaskan apabila ditonton pada skrin telefon.

Namun, dalam satu atau dua video, nampak seperti ada flicker ada sesetengah bahagian dalam video.

Ia nampak sedang bertarung dalam bahagian HDR kerana kecerahan pada subjek seperti bangunan berubah-berubah setiap saat.

Ringkasnya, prestasi rakaman videonya boleh diterima walaupun ada kekurangan.

Kesimpulan


Dari segi prestasi, Magic5 Pro sudah cukup bagus secara keseluruhannya dan mampu bersaing dengan peranti-peranti andalan lain.

Fokus utama telefon ini iaitu kamera pula menang dari segi fotografi, namun prestasi videonya perlu ditambah baik lagi.

HONOR juga nampaknya fokus pada perkakasan dan kamera serta tidak memberi tumpuan pada elemen visual dalam MagicOS.

Konklusinya, Magic5 Pro ialah sebuah peranti andalan yang bagus dari banyak aspek jika anda tidak kisah dengan antara muka ditampilkannya.

Di Malaysia, ia dijual pada harga bermula RM4,299.

Beli di Shopee - SINI

Beli di Lazada - SINI