Menu
WISER.MY
  • Pergi ke Wiser.my
  • Berita
  • Ulasan
  • Trivia
  • Tips Gajet
  • Promosi
  • Youtube
  • Hubungi Kami
WISER.MY

Kerajaan Perkukuh Penguatkuasaan Had Umur Media Sosial, VPN Antara Cabaran Utama

Posted on Julai 2, 2026Julai 2, 2026

Kerajaan menerusi Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) berusaha membanteras penggunaan mekanisme dalam talian seperti rangkaian persendirian maya (VPN) dan identiti pihak ketiga bagi tujuan memintas kawalan penguatkuasaan had umur media sosial.

Memetik laporan Bernama, Timbalan Menteri Dalam Negeri Datuk Seri Dr Shamsul Anuar Nasarah berkata dari segi undang-undang, Polis Diraja Malaysia (PDRM) akan memanfaatkan maklumat awam dalam siasatan sekiranya berlaku penyalahgunaan teknologi berkenaan, termasuk menjadikannya sebagai satu daripada asas pembuktian kesalahan.

“Namun, sekiranya digunakan bagi memudahkan pelakuan jenayah seperti penipuan kanak-kanak, penipuan dalam talian, penyebaran bahan lucah atau kesalahan lain, tindakan akan diambil mengikut undang-undang termasuk Kanun Keseksaan, Akta Jenayah Komputer 1997 (Akta 563) dan Akta Komunikasi dan Multimedia 1998 (Akta 588),” katanya pada sesi soal jawab di Dewan Rakyat.

Beliau berkata demikian di Dewan Rakyat ketika menjelaskan langkah kerajaan bagi memastikan pelaksanaan had umur pengguna media sosial dapat dikuatkuasakan dengan berkesan.

Menurut Shamsul Anuar, antara cabaran utama yang dihadapi ialah perkembangan teknologi, penyimpanan data oleh syarikat telekomunikasi serta kedudukan platform dan pelayan yang berada di luar negara.

Bagi penyedia platform asing, beliau berkata penguatkuasaan terhadap pematuhan keperluan penyaringan pengguna dan perlindungan kanak-kanak berada di bawah bidang kuasa MCMC berdasarkan kerangka perundangan sedia ada. Kegagalan mematuhi arahan pihak berkuasa boleh membawa kepada tindakan seperti arahan pematuhan, sekatan akses terhadap perkhidmatan atau kandungan serta tindakan perundangan.

Pada masa sama, kerajaan turut bekerjasama dengan Interpol dan ASEANPOL bagi memperkukuh usaha menangani jenayah siber rentas sempadan.

Dalam perkembangan berkaitan, Menteri Komunikasi Datuk Fahmi Fadzil berkata kerajaan juga sedang melengkapkan kerangka kawal selia di bawah Akta Keselamatan Dalam Talian 2025 (Akta 866).

Menurut beliau, MCMC kini mengadakan rundingan awam bagi membangunkan Peraturan-Peraturan Keselamatan Dalam Talian (Sifat yang Lain bagi Ciri-Ciri Pesanan Peribadi) untuk memperjelas kewajipan platform digital dalam menangani kandungan memudaratkan. Rundingan awam itu bermula pada 19 Jun dan dijadualkan berakhir pada 20 Julai sebelum peraturan berkenaan dimuktamadkan.

{suggest}

Cari Artikel

Buka artikel ini di Wiser.my
BUKA
©2026 WISER.MY | Powered by SuperbThemes & WordPress