Menu
WISER.MY
  • Pergi ke Wiser.my
  • Berita
  • Ulasan
  • Trivia
  • Tips Gajet
  • Promosi
  • Youtube
  • Hubungi Kami
WISER.MY

Dewan Rakyat Lulus RUU Jenayah Siber 2026

Posted on Julai 1, 2026Julai 1, 2026

Rang Undang-Undang (RUU) Jenayah Siber 2026 hari ini diluluskan di Dewan Rakyat, menandakan langkah baharu kerajaan dalam memperkukuh kerangka perundangan negara bagi menangani ancaman jenayah siber yang semakin kompleks.

Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi berkata RUU tersebut akan memansuhkan Akta Jenayah Komputer 1997 (Akta 563) dan menggantikannya dengan undang-undang yang lebih menyeluruh bagi menangani pelbagai bentuk jenayah siber, termasuk yang melibatkan teknologi baharu seperti kecerdasan buatan (AI) dan pemalsuan digital (deepfake).

Sesi perbahasan RUU yang berlangsung pada hari ini melibatkan penyertaan 48 Ahli Dewan Rakyat, dengan antara perkara yang dibangkitkan termasuk perlindungan hak asasi dan privasi, kebebasan bersuara, skop pelaksanaan RUU, deepfake, penggunaan AI dan teknologi baharu, perlindungan mangsa khususnya wanita, kanak-kanak serta warga emas, penguatkuasaan, hukuman, usaha pencegahan, literasi siber serta penggunaan MyDigital ID.

Memetik laporan Bernama, Ahmad Zahid menjelaskan RUU itu tidak bertujuan menyekat kebebasan bersuara, tetapi memberi tumpuan kepada aspek keselamatan dan jenayah siber. Sebagai contoh, beliau berkata kandungan yang dijana AI tidak menjadi kesalahan semata-mata kerana dihasilkan menggunakan teknologi tersebut. Sebaliknya, pihak pendakwaan masih perlu membuktikan elemen kesalahan, termasuk niat jenayah, tujuan penggunaan dan kesan daripada perbuatan itu.

Selain itu, beliau berkata kuasa mengakses sistem dan data komputer juga tidak boleh dilaksanakan sewenang-wenangnya, tetapi perlu mematuhi tatacara yang ditetapkan di bawah undang-undang.

“Notis pemeliharaan data komputer hanya boleh dikeluarkan sekiranya pegawai penyiasat berpuas hati bahawa data itu munasabah dan diperlukan bagi tujuan penyiasatan serta terdapat risiko data berkenaan dipadam, diubah atau dimusnahkan jika tindakan segera tidak diambil. Mengenai penzahiran data komputer, kerajaan ingin menegaskan bahawa ia hanya boleh dilaksanakan melalui notis bertulis kepada pihak mempunyai milikan atau kawalan ke atas data tersebut dan tertakluk kepada keperluan penyiasatan yang sah,” katanya ketika menggulung perbahasan usul RUU itu.

Menurut Ahmad Zahid, penggubalan RUU Jenayah Siber 2026 mencerminkan komitmen kerajaan untuk membina ruang siber yang lebih selamat, berdaya tahan dan dipercayai.

Pada masa sama, undang-undang baharu itu turut melengkapkan kerangka perundangan sedia ada selaras dengan komitmen Malaysia di bawah Konvensyen Budapest mengenai Jenayah Siber dan Konvensyen Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) Mengenai Jenayah Siber.

{suggest}

Cari Artikel

Buka artikel ini di Wiser.my
BUKA
©2026 WISER.MY | Powered by SuperbThemes & WordPress