Menu
WISER.MY
  • Pergi ke Wiser.my
  • Berita
  • Ulasan
  • Trivia
  • Tips Gajet
  • Promosi
  • Youtube
  • Hubungi Kami
WISER.MY

Akta Keselamatan Dalam Talian 2025 Dikuatkuasakan – Ini Perlu Diketahui

Posted on Januari 2, 2026Januari 2, 2026

Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) mengumumkan penguatkuasaan Akta Keselamatan Dalam Talian 2025 (ONSA), bermula 1 Januari 2026.

Melalui akta ini, ia menggariskan kerangka perundangan bagi meningkatan keselamatan dalam talian serta memperkukuh perlindungan terhadap pengguna.

Penguatkuasaan Akta Keselamatan Dalam Talian 2025 (ONSA) memperkukuh perlindungan pengguna, khususnya kanak-kanak dan keluarga, dengan memastikan platform digital memikul tanggungjawab yang sewajarnya. pic.twitter.com/LXgsbgm5qo

— MCMC (@MCMC_RASMI) January 1, 2026

Kepada siapakah undang-undang ini terpakai?

Menurut MCMC, ONSA tidak terpakai terhadap pengguna individu.

Sebaliknya, ia menetapkan tanggungjawab dan kewajipan ke atas Pemberi Perkhidmatan Berlesen di bawah Akta Komunikasi dan Multimedia 1998 (Akta 588), iaitu Pemberi Perkhidmatan Aplikasi (ASP), Pemberi Perkhidmatan Aplikasi Kandungan (CASP) dan Pemberi Perkhidmatan Rangkaian (NSP).

Pemberi perkhidmatan mana yang dianggap pemegang lesen?

Di bawah kerangka pelesenan semasa, pemberi perkhidmatan yang menawarkan pesanan internet atau media sosial dengan sekurang-kurangnya 8 juta pengguna di Malaysia disifatkan sebagai pemegang lesen ASP (C).

Kenapa ONSA diperkenalkan?

Seiring dengan peningkatan penggunaan internet, pengguna semakin terdedah kepada kandungan memudaratkan seperti eksploitasi seksual kanak-kanak, penipuan dalam talian, buli siber dan kandungan ekstremisme.

Di sebalik skrin kecil di tangan mereka, ada dunia yang perlu kita lindungi.

Sepanjang 1 Januari 2024 sehingga 20 November 2025, sebanyak 957 kandungan jelik melibatkan kanak-kanak dikenal pasti dan 899 berjaya diturunkan, dengan kadar pematuhan platform mencecah 94%. pic.twitter.com/QfnF1nmdaK

— MCMC (@MCMC_RASMI) January 1, 2026

Bagi menangani isu ini, ONSA diperkenalkan dengan menetapkan tanggungjawab yang jelas ke atas Pemberi Perkhidmatan Berlesen.

ONSA juga membantu membina keyakinan orang awam dengan memastikan Pemberi Perkhidmatan Berlesen mengambil tindakan untuk mencegah kemudaratan, mengesan dan menangani kandungan memudaratkan, serta memperkukuhkan keselamatan dalam talian untuk semua pengguna di Malaysia.

Tanggungjawab Pemberi Perkhidmatan Berlesen di bawah ONSA

ASP dan CASP yang dilesenkan dikehendaki mengambil langkah proaktif untuk memastikan keselamatan pengguna daripada kandungan memudaratkan dalam talian. Ini termasuk mengurangkan risiko pendedahan, menyediakan garis panduan dan alat keselamatan, menawarkan sokongan kepada pengguna, serta memudahkan pelaporan kandungan memudaratkan.

Kedua-duanya juga perlu memastikan “kandungan memudaratkan prioriti” seperti bahan penganiayaan seksual kanak-kanak (CSAM) dan penipuan kewangan tidak dapat diakses oleh pengguna, serta menyediakan dan menerbitkan Pelan Keselamatan Dalam Talian.

NSP yang dilesenkan pula dikehendaki bekerjasama semasa siasatan, menyediakan bantuan teknikal munasabah, serta membenarkan pemeriksaan bagi memastikan pematuhan terhadap ONSA.

Kandungan memudaratkan dan kandungan memudaratkan prioriti di bawah ONSA

Di bawah ONSA, jenis kandungan memudaratkan disenaraikan seperti berikut:

  • Kandungan mengenai bahan penganiayaan seksual kanak kanak (CSAM)
  • Kandungan mengenai fraud kewangan
  • Kandungan lucah
  • Kandungan sumbang
  • Kandungan yang boleh menyebabkan gangguan, tekanan, ketakutan atau kebimbangan
  • Kandungan yang boleh mengapi-apikan keganasan atau terorisme
  • Kandungan yang boleh mendorong kanak-kanak untuk menyebabkan kemudaratan kepada dirinya
  • Kandungan yang bersifat hasutan jahat atau permusuhan dan boleh mengganggu ketenangan awam
  • Kandungan yang menggalakkan penggunaan atau penjualan dadah berbahaya

Daripada kategori ini, CSAM dan kandungan berkaitan fraud kewangan dan scam diklasifikasikan sebagai “kandungan memudaratkan prioriti”, di mana ia perlu disekat secepat mungkin kerana kemudaratan serius yang timbul daripadanya.

Teknologi bagi pengesahan umur

Peruntukan utama dalam ONSA tidak mengehadkan jenis teknologi khusus yang perlu diguna oleh Pemberi Perkhidmatan Berlesen.

Namun, MCMC sedang meneliti pendekatan pengesahan umur, termasuk penggunaan dokumen rasmi kerajaan seperti MyKad, pasport dan MyDigital ID, melalui proses ‘sandbox’ yang melibatkan agensi berkaitan dan platform media sosial.

Penilaian ini akan turut mengambil kira aspek keselamatan pengguna, perlindungan data peribadi, privasi, serta kesesuaian dalam konteks perundangan dan kawal selia Malaysia. Penggunaan mekanisme pengesahan umur yang terbaik akan dimuktamadkan dalam instrumen subsidiari ONSA yang relevan.

Manfaat untuk pengguna

ONSA membantu mewujudkan persekitaran dalam talian yang lebih selamat untuk semua di Malaysia, terutama kanak-kanak, keluarga dan golongan rentan.

Bagi ibu bapa, ONSA membantu meletakkan keperluan platform untuk menyediakan alat dan tetapan keselamatan yang lebih baik serta panduan lebih jelas.

Antaranya termasuk tetapan kawalan keselamatan untuk mengawal siapa yang boleh menghubungi kanak-kanak, mengurus jenis kandungan yang boleh diakses atau dicadangkan serta mekanisme melaporkan kandungan memudaratkan.

{suggest}

Cari Artikel

Buka artikel ini di Wiser.my
BUKA
©2026 WISER.MY | Powered by SuperbThemes & WordPress