Menu
WISER.MY
  • Pergi ke Wiser.my
  • Berita
  • Ulasan
  • Trivia
  • Tips Gajet
  • Promosi
  • Youtube
  • Senarai
  • Harga
  • Hubungi Kami
WISER.MY
EV Charger

Kerajaan Kaji Caj Ke Atas Jualan EV Untuk Biaya Rangkaian Pengecas Awam

Diterbitkan Ogos 4, 2026 · Dikemas kini Ogos 4, 2026 oleh Amalina Athman

Kerajaan sedang mempertimbangkan mekanisme untuk mengenakan caj ke atas setiap kenderaan elektrik (EV) yang dijual bagi mewujudkan tabung pembinaan rangkaian pengecas awam di seluruh negara.

Memetik laporan Bernama, Menteri Pelaburan, Perdagangan dan Industri Datuk Seri Johari Abdul Ghani berkata langkah itu sedang diperhalusi susulan kekangan kerajaan untuk membiayai pembangunan rangkaian pengecas awam secara berskala besar seperti yang dilaksanakan di China.

“Mungkin setiap kereta EV yang dijual di sini kita kenakan caj untuk dimasukkan dalam satu tabung bagi membina pengecas awam tanpa mengharapkan penjual kereta ini melakukannya kerana ia tidak berlaku… Selepas empat tahun, kita hendak mencari pengecas awam, (namun) tiada pelaburan yang dibuat oleh pemain (EV) ini,” katanya di Dewan Negara hari ini.

Menurutnya, kerajaan sebelum ini memberikan pengecualian duti import, duti eksais dan cukai jualan bagi kenderaan elektrik import sepenuhnya (CBU) selama empat tahun untuk menggalakkan pertumbuhan pasaran dan menarik pelaburan.

Namun, sepanjang tempoh tersebut kerajaan menanggung kehilangan hasil cukai kira-kira RM3.3 bilion, manakala pelaburan dalam pembangunan rangkaian pengecas awam tidak berkembang seperti yang diharapkan.

Sehubungan itu, beliau berkata kerajaan tidak lagi meneruskan insentif berkenaan, sebaliknya hanya mengekalkan pengecualian cukai bagi kenderaan pemasangan tempatan (CKD) sehingga 31 Dis 2027 untuk terus menggalakkan pembangunan industri EV domestik.

Dalam masa sama, Johari berkata kerajaan akan terus mengalu-alukan pelaburan pengeluar EV, namun insentif hanya akan diberikan kepada syarikat yang benar-benar menyumbang kepada pembangunan ekosistem automotif tempatan melalui penggunaan vendor dan komponen tempatan, pemindahan teknologi serta pewujudan peluang pekerjaan berkemahiran tinggi.

“Kalau mereka datang hanya membawa semua komponen dari luar negara, memasang dan menjual kenderaan di sini tetapi mengharapkan insentif, kita tidak boleh buat begitu kerana akan menjejaskan ekosistem automotif yang telah kita bina selama 30 hingga 40 tahun,” katanya.

Ketika ini, Proton dan Perodua telah membangunkan rangkaian kira-kira 733 syarikat vendor Tier 1, Tier 2 dan Tier 3 yang menyumbang antara 72 hingga 82% aktiviti pembuatan komponen automotif negara.

Mengenai penggunaan EV, Johari berkata pembangunan rangkaian pengecas awam kekal menjadi cabaran utama memandangkan ramai pengguna terutama penghuni pangsapuri dan Program Perumahan Rakyat tidak mempunyai kemudahan untuk memasang pengecas di kediaman masing-masing.

Beliau berkata walaupun EV merupakan kenderaan masa depan, rangkaian pengecas awam yang mencukupi amat penting bagi menyokong penggunaannya secara lebih meluas di seluruh negara.

Berkaitan

  • Direka untuk Esports, iQOO 15R Janjikan Pengalaman Gaming Mengujakan
  • chargEV 2.0 Dilancar Dengan Antara Muka Baharu, Ciri AutoCharge
  • Kajian Dapati Pengguna EV Kini Lebih Gembira Berbanding ICE Dan Hibrid
  • Proton e.MAS 7 PHEV CKD Kini Dipasang Di Tanjong Malim
  • Zeekr Malaysia Perkenal Waranti Lanjutan, Pengecasan RM1.20/kWh Sempena 5,000 Penghantaran EV

Cari Artikel

Buka artikel ini di Wiser.my
BUKA

Terbaru

  • Pulau Pinang Sedang Bangunkan Pulau Silikon, Bakal Tawar 220,000 Peluang Pekerjaan
  • 3 Headphone ANC Bawah RM200
  • Kadar Tambang ECRL Akan Diumumkan Menjelang Akhir Oktober - Operasi Disasar Bermula Pertengahan Disember
  • Tiket Tonton Filem Dan Teater Di Wilayah Persekutuan Dikecualikan Duti Hiburan
  • Belanjawan 2027: Belia Lengkapkan Jam Sukarelawan Layak Terima RM100 E-Dompet Secara 'One-Off'
  • Belanjawan 2027: Kerajaan Tambah 100,000 Langganan AI Percuma, Termasuk ChatGPT
  • TNB Labur RM15 Bilion Perkukuhkan Grid Nasional
  • Belanjawan 2027: NSRC Akan Bangunkan Aplikasi AI, Bantu Pengguna Semak Butiran Mencurigakan
©2026 WISER.MY