YTL Corporation Berhad (YTL) menafikan dakwaan bahawa pusat datanya membantu pemindahan unit pemprosesan grafik (GPU) Nvidia kepada pelanggan di China, susulan laporan media yang mengaitkan syarikat itu dengan kontroversi berhubung cip AI berkenaan.
Dalam kenyataannya, YTL menyifatkan laporan tersebut sebagai spekulatif dan tidak berasas.
Syarikat itu menjelaskan YTL Data Centers menyediakan perkhidmatan kolokasi (co-location) di Johor kepada beberapa pelanggan global, termasuk syarikat hyperscaler dari Amerika Syarikat (AS). Perkhidmatan ini merangkumi penyediaan ruang, bekalan kuasa, penyejukan dan sambungan rangkaian.
YTL menegaskan perkhidmatan tersebut disediakan berdasarkan aturan yang mematuhi undang-undang tempatan serta kawalan perdagangan AS. Syarikat itu turut bekerjasama rapat dengan Kementerian Pelaburan, Perdagangan dan Industri (MITI) dalam pembangunan pusat datanya, selain mematuhi semua keperluan pelaporan dan pengimportan yang berkenaan.
Berhubung kawalan perdagangan terbaharu AS, YTL menjelaskan peraturan interim (Addressing Remote Access to Advanced Semiconductors) yang dikeluarkan oleh Biro Industri dan Keselamatan (BIS), Jabatan Perdagangan AS tidak menjejaskan perkhidmatan kolokasinya.
Menurut YTL, peraturan itu memberi tumpuan kepada pihak yang mengimport GPU serta penyedia perkhidmatan pengkomputeran kepada pelanggan dalam kategori D:5.
Dalam pada itu, YTL kekal yakin permintaan terhadap infrastruktur pusat data kolokasi di Malaysia akan terus meningkat, didorong permintaan global yang kukuh termasuk dari AS.
