Stock Android atau Android Asli merupakan satu versi Android yang bersih, ringan, tidak mempunyai ‘bloatware’, dan mudah diperibadikan.
Kebanyakan jenama telefon dari China seperti HONOR, Xiaomi, OPPO, dan vivo tidak menggunakan Android Asli dan meletakkan ‘perasa’ mereka sendiri. Oleh sebab itu, telefon daripada jenama-jenama ini kebiasaannya hadir dengan ‘bloatware’ dan iklan, walaupun ia juga mempunyai banyak pilihan penyesuaian.
Jadi, mungkin ada antara anda yang tertanya-tanya,
“Apa saja jenama telefon yang mampu memberikan pengalaman Android Asli?”
Jawapannya ada di bawah:
Google Pixel

Jika bercakap tentang Android Asli, Google Pixel pastinya satu nama yang akan disebut dahulu berbanding nama-nama lain, memandangkan ia datang terus daripada pembangun sistem operasi itu sendiri, iaitu Google.
Melalui Pixel UI, pengguna mendapat pengalaman OS yang sangat bersih, kemas, dan bebas daripada ‘bloatware’. Walaupun kelihatan ringkas, Google sebenarnya menaburkan ciri-ciri AI. Hasilnya, ia kekal terasa ringan seperti Android asas, cukup praktikal untuk kegunaan harian tanpa gangguan iklan, dan ada ciri-ciri AI bagi mereka yang memerlukan.
Telefon-telefon Pixel juga selalunya akan mendapat kemas kini OS dan tampalan keselamatan paling awal berbanding telefon daripada jenama lain.
Selain itu, Pixel UI juga sangat mudah untuk diperibadikan mengikut cita rasa dan jiwa anda kerana adanya ‘Material You’, dengan warna ‘accent’ yang konsisten di seluruh telefon. Sebagai seorang pengguna iPhone, saya juga tertarik dengan Pixel UI sehinggakan saya ingin bertukar ke telefon Pixel kerana begitu estetik Pixel UI…

Harga Google Pixel 11 Pro di Malaysia
Nothing

Sejak kemunculannya, Nothing terus maju ke hadapan dalam menawarkan pengalaman penggunaan yang hampir dengan Android Asli, dengan disuntik estetik futuristik yang lain daripada yang lain.
Menerusi Nothing OS, UI kelihatan bersih, ringkas, dan minimal. Ramai yang menyangka ia adalah Android Asli sepenuhnya, namun ia sebenarnya disalut dengan skin UI khas yang lengkap dengan font dot-matrix, ikon monokrom, dan widget dengan gaya tersendiri.

Hakikatnya, tiada jenama lain yang mampu menawarkan OS yang bebas ‘bloatware’ pada telefon midrange bawah RM2,000, kecuali Nothing kerana mereka melakukan demikian pada Nothing Phone (4b). Hal ini membuatkan telefon tersebut terasa ‘tidak murah’ jika dibandingkan dengan telefon daripada jenama lain pada julat harga yang sama.

Harga Nothing Phone (4b) di Malaysia
Motorola

Motorola sudah lama dipuji dalam kalangan peminat gajet secara global kerana menawarkan UI yang ringkas dan sangat hampir dengan pengalaman Android Asli.
Cuma, ia kurang dikenali dalam tahun-tahun kebelakangan ini di Malaysia kerana tiada penjual rasmi. Tetapi, ia masih lagi boleh didapati daripada penjual third-party yang menawarkan unit global seperti ‘Monmtech’ di Shopee.
Berbalik kepada UI, mereka menggunakan Hello UI yang mengekalkan rasa Android asas yang bersih, dengan ditabur ‘perasa’ mereka sendiri dari segi estetiknya, dan ada sedikit peniruan ‘Control Centre’ daripada iOS. Ia juga boleh diperibadikan mengikut cita rasa anda, seperti OS yang lain.
Sama juga dengan ketiadaan ‘bloatware’, tetapi ia bergantung kepada pasaran dan model, kerana sesetengah unit masih dihantui dengan beberapa aplikasi yang telah diprapasang. Apa pun, kebanyakannya boleh dibuang dengan mudah.

Harga Motorola Edge 70 di Malaysia
ASUS

Walaupun ASUS tidak lagi merancang untuk menghasilkan telefon pada masa akan datang, model-model mereka yang berada di pasaran secondhand masih lagi disyorkan buat pengguna yang mahukan pengalaman Android Asli.
Namun, mungkin ada segelintir daripada anda tertanya, “Bukankah ASUS terkenal dengan penghasilan telefon gaming? Jadi, sistem operasi mereka mesti penuh dengan ‘bloatware’ dan tema gaming, bukan?”
Tidak semestinya.
Secara umum, telefon gaming seperti siri ROG Phone memang tidak dianggap sebagai Android Asli sepenuhnya kerana out of the box, ia dilengkapi UI, mod khas, serta tetapan prestasi yang berat untuk gaming. Namun, satu kelebihan ASUS adalah mereka memberi pilihan kepada pengguna untuk bertukar UI, antara ASUS Optimized dan Stock Android. Contohnya, ROG Phone 8.

Dengan kebebasan sebegini, pengguna masih boleh menikmati Android Asli walaupun menggunakan telefon yang dibina secara khusus untuk gaming.
Sony Xperia

Walaupun barisan telefon Sony lebih menyasarkan golongan yang niche, siri Xperia masih lagi mengekalkan reputasi sebagai salah satu siri telefon dengan perisian yang bersih di pasaran.
Xperia UI yang terkandung dalam telefon-telefon Xperia dikenali sebagai antara UI yang tidak dihantui ‘bloatware’ dan sangat dekat dengan Android Asli. Sebaliknya, Sony hanya menumpukan penambahbaikan mereka pada kekuatan utama peranti mereka, iaitu ciri kamera dan tetapan audio khas Sony.

Harga Xperia 1 VIII di Malaysia
Realiti Android Asli
Realitinya pada masa kini, hampir tiada telefon komersial yang benar-benar menawarkan pengalaman Android Asli 100 peratus ‘kosong’ tanpa ‘perasa’ pengilang. Majoriti jenama tetap menyelitkan ‘perasa’, rupa tersendiri, dan ciri eksklusif masing-masing untuk membezakan diri daripada pesaing.
Walau bagaimanapun, jika anda mementingkan kelancaran sistem dan sudah penat berhadapan dengan ‘bloatware’ serta iklan pada telefon daripada jenama China, lima jenama di atas inilah pilihannya.
