Menu
WISER.MY
  • Pergi ke Wiser.my
  • Berita
  • Ulasan
  • Trivia
  • Tips Gajet
  • Promosi
  • Youtube
  • Senarai
  • Harga
  • Hubungi Kami
WISER.MY
Smartphone Subsidy Scam Warning

MyCERT Kesan Scam Bantuan Laptop Percuma, Laman STR Palsu – Akaun Telegram Jadi Sasaran

Diterbitkan November 23, 2026 · Dikemas kini November 23, 2026 oleh Amalina Athman

Tawaran Bantuan Laptop Percuma dan pendaftaran Sumbangan Tunai Rahmah (STR) 2027 kini digunakan sebagai umpan dalam dua kempen pancingan data (phishing) terkini yang dikesan Malaysia Computer Emergency Response Team (MyCERT).

Bagi kempen pertama, penipu menyebarkan poster “PROGRAM BANTUAN LAPTOP PERCUMA 2026” melalui kumpulan WhatsApp. Poster yang direka menyerupai pengumuman rasmi kerajaan itu digunakan untuk mengarahkan pengguna ke laman web palsu “Semakan Bantuan Malaysia MADANI – Semakan Kelayakan 2026”.

fake bantuan laptop percuma scam_2
Poster “Bantuan Laptop Percuma 2026” yang dikongsikan dalam sebuah kumpulan komuniti WhatsApp. (Foto: MyCERT)

Bagaimanapun, laman tersebut tidak menyediakan sebarang maklumat berkaitan pemberian laptop. Sebaliknya, nombor telefon yang dimasukkan digunakan untuk memulakan proses log masuk Telegram, sebelum kod pengesahan lima digit dihantar ke aplikasi Telegram pengguna.”

Pengguna kemudian diminta memasukkan kod pengesahan tersebut, diikuti kata laluan pengesahan dua langkah sekiranya ciri tersebut diaktifkan.

fake bantuan laptop percuma scam_
Halaman kelayakan “Semakan Bantuan Malaysia MADANI” palsu. (Foto: MyCERT)

Melalui proses ini, penyerang boleh memperoleh akses kepada akaun Telegram mangsa serta mengumpulkan maklumat peribadi yang telah dimasukkan. Setelah proses pengambilalihan akaun selesai, laman berkenaan memaparkan mesej “Permohonan Berjaya” bagi memberikan gambaran seolah-olah permohonan bantuan telah diterima.

Taktik hampir sama digunakan dalam satu lagi kempen yang menyamar sebagai portal pendaftaran STR 2027. Laman palsu itu menggunakan nama “Pendaftaran Sumbangan Tunai Rahmah (STR) RM1,500 – Portal Rasmi STR 2027” untuk menarik perhatian pengguna dengan tawaran RM1,500 bagi setiap isi rumah.

fake bantuan rahmah scam_1
Halaman pendaftaran palsu “Portal Rasmi STR 2027”. Paparan yang dirakam pada 21 November 2026. Halaman tersebut mengandungi kesilapan ejaan pada templat (“Sumbangan Tunai RAHMA”, “Resmi” dan “Sekongan”) serta banner yang dijana menggunakan AI. (Foto: MyCERT)

Dalam kes ini, pengguna juga diminta memasukkan nama penuh dan nombor telefon sebelum diarahkan melalui proses log masuk Telegram.

MyCERT mengesahkan kedua-dua laman berkenaan direka untuk mencuri maklumat pengguna dan mengambil alih akaun Telegram. Selepas berjaya mendapatkan akses, penyerang boleh menggunakan akaun mangsa untuk menyebarkan semula pautan penipuan kepada kenalan dan kumpulan Telegram mereka.

Selain kehilangan akses kepada akaun Telegram, maklumat peribadi seperti nama, alamat dan nombor telefon yang dikumpulkan turut berisiko disalahgunakan. Penyerang juga berpotensi menggunakan nombor telefon sama untuk menyasarkan kod pengesahan bagi perkhidmatan lain, termasuk perbankan dan e-dompet.

Untuk mengelakkan kekeliruan, permohonan serta semakan STR hanya dikendalikan oleh Kementerian Kewangan dan Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN) melalui portal rasmi bantuantunai.hasil.gov.my. Portal tersebut tidak meminta kod log masuk Telegram atau kata laluan pengesahan dua langkah, selain tidak mengenakan sebarang bayaran untuk permohonan bantuan.

Tindakan pengguna

Sekiranya sudah memberikan maklumat log masuk kepada laman sedemikian, pengguna disarankan menukar kata laluan pengesahan dua langkah Telegram melalui Settings > Privacy and Security > Two-Step Verification. Pengguna juga perlu menamatkan semua sesi log masuk lain melalui Settings > Devices > Active Sessions bagi menghalang penyerang daripada terus mengakses akaun.

Pengguna turut disarankan menyemak perbualan Telegram untuk mengesan sebarang mesej yang dihantar tanpa pengetahuan sendiri serta memaklumkan kenalan supaya tidak membuka pautan mencurigakan daripada akaun berkenaan.

MyCERT juga mengingatkan pengguna supaya tidak berkongsi kod pengesahan tambahan yang diterima, termasuk kod untuk perkhidmatan perbankan dan portal kerajaan. Sekiranya melibatkan kerugian kewangan, pengguna perlu menghubungi pihak bank dengan segera.

Sebarang insiden keselamatan siber boleh dilaporkan kepada MyCERT melalui e-mel [email protected] atau talian 1-300-88-2999.

Berkaitan

  • Direka untuk Esports, iQOO 15R Janjikan Pengalaman Gaming Mengujakan
  • MyCERT: Scam "Bantuan TnG" Menyamar Sebagai TNG Digital, Sasar Ambil Alih Akaun Telegram
  • MyCERT Kesan Trojan Perbankan Android 'BNM Mobile Security' - Curi Maklumat Kad Bank Melalui NFC
  • Ujian Sistem Amaran Awal Serentak Di Seluruh Negara Pada 29 November, Pengguna Disaran Kemas Kini Peranti

Cari Artikel

Buka artikel ini di Wiser.my
BUKA

Terbaru

  • Jenama Telefon Terkini Dengan Android Asli
  • YTL Nafi Dakwaan Pusat Data Bantu Pemindahan GPU Nvidia Kepada Pelanggan China
  • 10 Model Telefon Pintar 2026 Dengan Kamera Terbaik Menurut DXOMARK
  • 7 Pengasas Anthropic Kini Pegang Kepentingan Syarikat Bernilai Lebih RM88 Bilion Seorang
  • TikTok Lancar Ciri Kesan Deepfakes Bantu Pengguna Kenal Pasti Kandungan AI
  • Pengguna Canva Kini Boleh Matikan Ciri AI Generatif, Hadkan Kandungan Dijana AI
  • Yoghurt Beku (Yobe) Kini Terus Ke Rumah Anda Dengan foodpanda
©2026 WISER.MY