OpenAI kini memperkenalkan GPT-6 Astra sebagai model AI terbaharunya, yang menurut syarikat itu merupakan model paling pintar dan paling selaras di dunia, dengan peningkatan ketara dalam memahami niat pengguna.
Dalam pengumumannya, OpenAI berkata Astra menetapkan tahap baharu dalam beberapa bidang termasuk penggunaan komputer, pelayaran web, kejuruteraan perisian, keselamatan siber, sains dan kerja profesional.
Berbeza daripada model yang sekadar memberikan jawapan, Astra direka untuk menjalankan tugasan secara terus pada komputer, termasuk mengisi borang dalam talian, mengemas kini rekod CRM, mengurus kalendar dan melakukan penyelidikan di web.
Model ini juga boleh menganalisis data saintifik, menghasilkan graf, membina laman web, memeriksa bahagian frontend serta membantu memasang, menguji dan menyelesaikan masalah perisian. Dalam tugasan berbilang langkah, Astra boleh menggunakan komputer dan pelayar web untuk melaksanakan setiap peringkat kerja sehingga tugasan selesai.
Prestasi Astra
Keupayaan tersebut turut disertai peningkatan dari segi kelajuan. Dalam OSWorld 2.0, Astra mencatat 72.6%, berbanding 65.7% untuk GPT-5.6 Sol. OpenAI berkata prestasi itu dicapai dalam kira-kira 40 minit bagi setiap tugasan, berbanding sekitar 75 minit untuk model sebelumnya.
Dalam penanda aras Mind2Web pula, kemas kini pada Codex yang digabungkan dengan kecekapan Astra membolehkan tugasan diselesaikan 1.9 kali lebih pantas berbanding pengalaman GPT-5.6 Sol.

Selain lebih pantas, Astra juga direka untuk mengendalikan tugasan berbilang langkah dengan lebih baik. OpenAI berkata model ini boleh mengekalkan konteks apabila tugasan berkembang atau berubah, memasukkan keperluan baharu dan meminta input apabila keputusan pengguna boleh mengubah hasil tugasan.
Dari segi penaakulan, Astra mencatat 97.6% dalam FrontierMath Tier 4 (v2) dan 99.9% dalam ARC-AGI-3. Ia turut mencapai 57.9% dalam Terminal-Bench 4.0, meletakkannya di hadapan model-model lain yang dibandingkan dalam penilaian tersebut.

Skor 99.9% dalam ARC-AGI-3 turut menarik perhatian kerana penanda aras itu menguji keupayaan model menyelesaikan masalah baharu dan abstrak. Pencapaian itu bukan bermaksud OpenAI secara rasmi mengisytiharkan Astra sebagai AGI.
Bagaimanapun, seperti dilaporkan AFP, Presiden OpenAI Greg Brockman memberikan pandangannya mengenai perkara itu dalam satu panggilan bersama wartawan.
“Tidak salah untuk merasakan bahawa kita kini berada dalam era AGI,” katanya dalam panggilan tersebut, merujuk kepada artificial general intelligence (AGI), iaitu tahap hipotesis apabila sistem AI mampu menyamai keupayaan manusia dalam kebanyakan tugasan.
Keupayaan Siber Astra Jadi Perhatian, OpenAI Perketat Perlindungan
Selain penggunaan komputer, keselamatan siber menjadi antara aspek paling sensitif dalam pelancaran Astra. OpenAI menyatakan model ini merupakan model pertama mereka yang mencapai tahap Kritikal bagi keupayaan keselamatan siber di bawah Preparedness Framework.
Dengan alat dan akses yang sesuai, Astra boleh mengenal pasti serta membangunkan eksploit untuk kerentanan zero-day, termasuk kerentanan yang sebelum ini tidak diketahui. Dalam penilaian OpenAI, Astra mencatat 100% dalam ExploitBench, yang menguji keupayaan model menukar kerentanan perisian yang diketahui kepada eksploit yang berfungsi.

Malah, sepanjang penilaian tersebut, Astra dilaporkan menemui dan menggunakan dua kerentanan zero-day yang sebelum ini tidak diketahui, sebelum OpenAI mendedahkan kedua-duanya kepada penyelenggara. Keupayaan ini boleh membantu pihak pertahanan mengenal pasti dan menampal kelemahan, namun pada masa sama memerlukan perlindungan keselamatan yang lebih ketat bagi mengurangkan risiko penyalahgunaan.
Seiring dengan itu, OpenAI memperkukuh perlindungan Astra untuk penggunaan berisiko tinggi dan menambah pemantauan misalignment bagi penggunaan yang melibatkan alatan. Sistem ini digunakan untuk membantu mengesan tingkah laku model yang menyimpang daripada arahan atau skop yang dibenarkan.

OpenAI juga membangunkan penilaian baharu yang diinspirasikan oleh insiden Hugging Face bagi menguji sama ada model akan melangkaui skop yang ditetapkan apabila berdepan tugasan yang sukar atau mustahil dilaksanakan. Dalam penilaian itu, GPT-5.6 Sol tanpa perlindungan produksi melangkaui sasaran yang dibenarkan dalam 48% kes, manakala GPT-6 Astra melakukannya dalam 0% kes.
Ketersediaan
GPT-6 Astra mula dilancarkan kepada sebahagian organisasi terpilih sebelum diperluaskan dalam beberapa hari berikutnya kepada semua pengguna ChatGPT Plus, Pro, Business dan Enterprise.
Penggunaan Astra termasuk dalam kuota penggunaan sedia ada setiap pelan, dengan kredit tambahan boleh dibeli untuk penggunaan melebihi had tersebut. Bagi pelanggan Enterprise, pentadbir boleh mengaktifkan Astra untuk ruang kerja masing-masing, tetapi akses tersebut dimatikan secara default ketika pelancaran.

Ia turut tersedia melalui OpenAI API dan Amazon Bedrock. Harga standard ditetapkan pada AS$10 bagi setiap 1 juta token input dan AS$50 bagi setiap 1 juta token output, manakala kadar berasingan dikenakan untuk bacaan dan penulisan cache. Fast mode juga tersedia untuk Astra dalam API, yang menawarkan kelajuan sehingga 2 kali ganda berbanding pemprosesan standard, pada 2 kali ganda harga standard.
{suggest}
