Menu
WISER.MY
  • Pergi ke Wiser.my
  • Berita
  • Ulasan
  • Trivia
  • Tips Gajet
  • Promosi
  • Youtube
  • Hubungi Kami
WISER.MY
AFP, ChatGpt

Bukan Sekadar Chatbot, ChatGPT Kini Dikategorikan Sebagai Enjin Carian Di EU

Posted on September 2, 2026

ChatGPT mungkin lebih dikenali sebagai chatbot kecerdasan buatan (AI), tetapi di bawah undang-undang Kesatuan Eropah (EU), perkhidmatan itu kini turut dikategorikan sebagai sebuah enjin carian dalam talian yang sangat besar.

Suruhanjaya Eropah secara rasmi menetapkan ChatGPT sebagai Very Large Online Search Engine (VLOSEs) di bawah Akta Perkhidmatan Digital (DSA). Pada masa sama, Reddit dan Roblox pula ditetapkan sebagai Very Large Online Platform (VLOP).

https://x.com/EU_Commission/status/2094379702546784496?s=20

Secara mudah, VLOSE merupakan kategori untuk enjin carian yang mempunyai sekurang-kurangnya 45 juta pengguna aktif bulanan di EU. Apabila sesebuah perkhidmatan mencapai skala sebesar ini, EU mengenakan peraturan lebih ketat kerana kesannya terhadap pengguna dan masyarakat juga dianggap lebih besar.

ChatGPT dilaporkan mempunyai purata sekitar 159.1 juta pengguna aktif bulanan di EU, jauh melepasi paras tersebut. Sebagai perbandingan, Google Search yang turut dikategorikan sebagai VLOSE mempunyai sekitar 364 juta pengguna aktif bulanan di rantau itu.

Kenapa ChatGPT Dianggap Enjin Carian?

Walaupun ChatGPT bukan enjin carian tradisional seperti Google Search atau Bing, EU melihatnya sebagai sebuah perkhidmatan hibrid.

Ini kerana selain berinteraksi dan menjawab soalan pengguna menggunakan AI, ChatGPT juga boleh mencari maklumat daripada web sebagai sebahagian daripada jawapannya. Keupayaan tersebut menyebabkan ia memenuhi definisi enjin carian dalam talian di bawah DSA.

Penetapan VLOSE itu tidak bermaksud EU menganggap ChatGPT sama sepenuhnya seperti Google Search. Sebaliknya, ia menentukan kategori undang-undang yang perlu dipatuhi berdasarkan fungsi dan skala perkhidmatan tersebut.

Apa Yang Berubah Untuk ChatGPT?

Dengan status baharu itu, ChatGPT perlu mematuhi kewajipan tambahan yang dikenakan terhadap enjin carian dan platform dalam talian berskala sangat besar.

Antaranya, penyedia perlu mengenal pasti, menilai dan mengurangkan risiko sistemik yang mungkin berpunca daripada perkhidmatan serta sistem algoritma mereka.

Risiko tersebut termasuk penyebaran kandungan haram, kesan negatif terhadap kanak-kanak, kesejahteraan fizikal dan mental pengguna, hak asasi, keselamatan awam serta proses pilihan raya.

Perkhidmatan berskala besar di bawah DSA juga berdepan keperluan tambahan seperti audit bebas, ketelusan lebih tinggi mengenai sistem mereka serta menyediakan akses data tertentu kepada pihak berkuasa dan penyelidik yang diluluskan.

ChatGPT, Reddit dan Roblox diberikan tempoh empat bulan selepas penetapan tersebut untuk mematuhi kewajipan tambahan berkenaan.

Melaluinya, ChatGPT kini berada dalam kategori VLOSE bersama enjin carian seperti Google Search dan Bing.

{suggest}

Cari Artikel

Buka artikel ini di Wiser.my
BUKA
©2026 WISER.MY | Powered by SuperbThemes & WordPress