Kerajaan sedang meneliti langkah untuk menangani penjualan produk import tanpa pensijilan melalui platform e-dagang, termasuk kemungkinan mengambil tindakan terhadap platform yang gagal memastikan pematuhan standard kualiti.
Menurut laporan Bernama, Menteri Pelaburan, Perdagangan dan Industri, Datuk Seri Johari Abdul Ghani berkata pihaknya akan bekerjasama dengan Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) serta Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) bagi mencari kaedah untuk mengawal operasi platform e-dagang.
“Produk yang dibawa masuk dari luar negara kebanyakannya dihantar dalam bentuk bungkusan. Walaupun dijual pada harga murah, produk-produk ini tidak mempunyai pensijilan kualiti, termasuk barangan elektrik yang sepatutnya memenuhi standard keselamatan. Jadi, saya telah berbincang dengan KPDN serta pihak berkaitan untuk mencari jalan bagaimana kita boleh mengawal operasi platform e-dagang, dalam masa sama terus menggalakkan rakyat membeli barangan secara dalam talian,” katanya kepada pemberita selepas Majlis SIRIM Industri 2026.
Johari berkata perkara itu perlu ditangani bagi melindungi pengguna daripada produk yang tidak berkualiti atau berbahaya.
Pada masa sama, kerajaan juga mahu memastikan pengeluar tempatan yang menanggung kos pensijilan tidak berdepan persaingan secara tidak adil dengan produk import yang dijual pada harga lebih rendah.
Beliau turut menegaskan semua produk yang memasuki pasaran Malaysia perlu mematuhi piawaian tempatan dan antarabangsa, sama seperti barangan keluaran tempatan yang tertakluk kepada keperluan kawal selia yang ketat.
