OpenAI kini melancarkan ChatGPT for Teens, versi ChatGPT yang direka khusus untuk pengguna berusia bawah 18 tahun yang menawarkan ciri pembelajaran serta perlindungan keselamatan tambahan.
Menurut OpenAI, pengguna yang dikenal pasti berusia bawah 18 tahun, atau menyatakan umur mereka antara 13 hingga 17 tahun, akan secara automatik menggunakan tetapan ChatGPT for Teens.
Antara ciri utama yang diperkenalkan ialah Study Mode, yang membimbing remaja memahami sesuatu topik melalui soalan panduan dan sokongan langkah demi langkah.

OpenAI turut menyediakan Responsible Homework Reminders. Ciri ini boleh muncul apabila ChatGPT mendapati pengguna kelihatan cuba mengambil jalan pintas dalam tugasan, sebelum mengarahkan mereka menggunakan Study Mode.
Selain itu, ChatGPT for Teens juga menyokong kuiz dan visualisasi pembelajaran bagi membantu remaja berlatih, menguji pengetahuan serta memahami konsep yang sukar.
Ada juga Study Hours, yang membolehkan remaja atau ibu bapa menetapkan waktu tertentu apabila Study Mode diaktifkan secara default.
Dari segi keselamatan, ChatGPT for Teens menggunakan perlindungan yang lebih ketat untuk pengguna bawah 18 tahun. Perlindungan ini direka untuk mengurangkan pendedahan kepada kandungan yang mungkin berbahaya atau tidak sesuai dengan tahap perkembangan remaja, termasuk kandungan berkaitan mencederakan diri, keganasan, gangguan pemakanan, aktiviti berbahaya serta kandungan seksual.
OpenAI juga mengemas kini Model Spec untuk pengguna bawah 18 tahun bagi menetapkan cara ChatGPT sepatutnya berinteraksi dengan remaja. Antaranya, ChatGPT tidak sepatutnya menggunakan bahasa romantik, menggalakkan kebergantungan emosi atau memberikan gambaran bahawa ia mempunyai perasaan atau kesedaran.

Bagi ibu bapa yang memautkan akaun mereka dengan akaun remaja, beberapa kawalan tambahan disediakan. Mereka boleh menetapkan Quiet Hours, mengurus tetapan tertentu dan menerima pemberitahuan keselamatan dalam keadaan berisiko tinggi tertentu.

OpenAI juga menambah pemberitahuan berkaitan gangguan pemakanan serta peringatan ketika memuat naik imej sensitif, yang menggalakkan remaja supaya tidak berkongsi imej peribadi atau sensitif.

ChatGPT for Teens turut mempunyai tetapan awal khusus untuk remaja yang menerangkan ciri pembelajaran dan keselamatan yang tersedia. Remaja juga boleh membuat beberapa penyesuaian, termasuk memilih warna paparan dan variasi suara.
OpenAI berkata ChatGPT for Teens dibangunkan dengan perlindungan yang mengambil kira usia dan tahap perkembangan remaja, sambil menyokong pembelajaran, hubungan di dunia sebenar dan penggunaan AI yang lebih sihat.
{suggest}
