Menu
WISER.MY
  • Pergi ke Wiser.my
  • Berita
  • Ulasan
  • Trivia
  • Tips Gajet
  • Promosi
  • Youtube
  • Hubungi Kami
WISER.MY

ChatGPT Boleh Ingat Apa Yang Anda Buat Di Mac Dengan Computer History

Posted on Ogos 14, 2026

OpenAI memperkenalkan ciri Computer History untuk aplikasi desktop ChatGPT di macOS, membolehkan ChatGPT dan Codex menggunakan aktiviti terkini pengguna di komputer sebagai memori dan konteks untuk tugasan seterusnya.

Menurut OpenAI, Computer History boleh merekod interaksi daripada aplikasi dan laman web yang dibenarkan pengguna.

Antaranya termasuk klik, input papan kekunci, pintasan papan kekunci dan pertukaran antara aplikasi. Aktiviti tersebut kemudiannya diringkaskan kepada teks dan disimpan sebagai fail memori tempatan.

Melalui ciri ini, pengguna boleh bertanya kepada ChatGPT mengenai kerja yang dilakukan sebelum ini, mencari semula dokumen atau tugasan yang baru digunakan serta mendapatkan ringkasan aktiviti harian.

Selain itu, Computer History boleh mengenal pasti aliran kerja yang dilakukan secara berulang. ChatGPT kemudiannya boleh mencadangkan supaya aliran kerja tersebut dijadikan sebagai skill atau automasi untuk digunakan semula.

https://x.com/OpenAI/status/2087996496088297746?s=20

Dari aspek privasi, OpenAI menjelaskan Computer History tidak mengambil tangkapan skrin, merakam skrin, mikrofon atau audio sistem. Aktiviti pelayaran dalam mod peribadi juga tidak akan direkodkan.

Pengguna turut diberikan kawalan untuk menentukan aplikasi dan laman web yang boleh atau tidak boleh menyumbang kepada Computer History.

Pengumpulan aktiviti juga boleh dihentikan sementara melalui menu bar macOS.

Fail interaksi sementara disimpan pada Mac sehingga 48 jam sebelum dipadamkan, manakala fail memori yang dijana akan kekal pada peranti sehingga dipadamkan pengguna.

OpenAI berkata fail interaksi sementara diproses pada pelayannya untuk menghasilkan memori, tetapi tidak digunakan untuk melatih model dan tidak disimpan selepas pemprosesan, kecuali jika diwajibkan undang-undang.

Buat masa ini, Computer History tersedia dalam aplikasi desktop ChatGPT untuk macOS kepada pengguna ChatGPT Pro, Business dan Enterprise, dengan ciri tersebut dimatikan secara lalai.

Bagi akaun Business dan Enterprise, akses perlu diberikan terlebih dahulu oleh pentadbir organisasi.

{suggest}

Cari Artikel

Buka artikel ini di Wiser.my
BUKA
©2026 WISER.MY | Powered by SuperbThemes & WordPress