DJI kini memperkenalkan DJI Osmo 360 II di Malaysia, kamera 360° generasi baharu yang menawarkan rakaman 8K/60fps, sensor HDR 1 inci serta AI SuperNight 2.0 untuk rakaman dalam keadaan cahaya rendah.
Osmo 360 II hadir dengan sensor HDR 1-inci berbentuk segi empat, yang menurut DJI meningkatkan penggunaan sensor sebanyak 25%, serta mengurangkan penggunaan kuasa. Sensor ini turut menawarkan julat dinamik sehingga 14.5 stop, manakala piksel bersaiz 2.4μm membantu menghasilkan rakaman aksi yang lebih jelas dengan kurang kabur akibat pergerakan.
Untuk rakaman 360°, Osmo 360 II menyokong resolusi 8K/60fps, manakala AI SuperNight 2.0 membantu menghasilkan rakaman yang lebih terang dan bersih dalam keadaan cahaya rendah.
Dalam penggunaan harian, Osmo 360 II boleh dipasang pada motosikal dan dikawal menggunakan arahan suara atau gerak isyarat. Ia juga boleh digunakan untuk rakaman bawah air sehingga 10 meter tanpa sarung tambahan, manakala penggunaan sarung kalis air membolehkannya dibawa sehingga 50 meter. Kamera ini turut menyokong penggunaan pada suhu serendah -20°C.
Bagi pencipta kandungan, DJI menyediakan fungsi seperti foto HDR 360° 120MP, timelapse 360° sehingga 16K dan Vortex 8K/120fps. Mod 64x Pano Slow Motion pula menggunakan interpolasi bingkai berasaskan AI dalam DJI Studio. Semua format video turut menyokong warna 10-bit dan D-Log M.

Dari segi pengendalian, fungsi Spotlight Follow boleh mengekalkan subjek utama di tengah bingkai walaupun kamera berpusing. Sambungan NFC pula memudahkan kamera disambungkan ke aplikasi DJI Mimo untuk memindahkan rakaman atau mengakses fungsi penyuntingan.
Osmo 360 II mempunyai berat 183 gram dengan storan terbina 105GB. Kedua-dua kanta dilengkapi lapisan pelindung yang membantu meningkatkan ketahanan terhadap calar dan kehausan, selain boleh diganti sekiranya rosak.

Baterinya pula mampu merakam sehingga 100 minit pada 8K/30fps, manakala pengecasan sehingga 80% mengambil masa sekitar 22 minit. Tempoh operasi boleh dilanjutkan sehingga 180 minit menggunakan Battery Extension Rod.
Untuk audio, kamera ini mempunyai empat mikrofon terbina dengan sistem pengurangan hingar angin dan menyokong sambungan terus kepada beberapa mikrofon DJI melalui OsmoAudio, termasuk DJI Mic 3, DJI Mic 2 dan siri DJI Mic Mini.
Harga dan Ketersediaan
DJI Osmo 360 II ditawarkan di Malaysia dalam tiga pilihan, iaitu Standard Combo pada RM2,189, Limitless Riding Combo (Essential Combo) RM2,299 serta Adventure Combo yang berharga RM2,629.

Dalam tempoh promosi pelancaran, pelanggan yang membeli dan mengaktifkan produk DJI Osmo 360 II Series yang layak antara 2 hingga 30 September 2026 akan menerima DJI Care Refresh 1 Tahun secara percuma. Pelan tersebut menawarkan perlindungan terhadap kerosakan akibat kemalangan termasuk kerosakan air, pelanggaran dan kehausan biasa, tertakluk kepada terma yang ditetapkan DJI.
{suggest}







