Menu
WISER.MY
  • Pergi ke Wiser.my
  • Berita
  • Ulasan
  • Trivia
  • Tips Gajet
  • Promosi
  • Youtube
  • Hubungi Kami
WISER.MY

TNB Beri Penjelasan Mengenai AFA Dalam Bil Elektrik, Bukan Caj Tambahan Baharu

Posted on September 15, 2026September 15, 2026

Tenaga Nasional Berhad (TNB) tampil memberi penjelasan berhubung kebimbangan pengguna mengenai bil elektrik, khususnya melibatkan komponen Pelarasan Kos Bahan Api Secara Automatik (AFA) yang digunakan dalam struktur tarif elektrik semasa.

Dalam kenyataan hari ini, TNB menjelaskan AFA bukan caj tambahan baharu dan bukan mekanisme untuk menyalurkan keuntungan kepada syarikat. Sebaliknya, ia berfungsi sebagai mekanisme dua hala untuk mengimbangi perubahan kos bahan api dan kadar tukaran wang asing.

“Apabila kos menurun, pengguna menikmati rebat, manakala apabila kos meningkat, perbezaan kos tersebut dikongsi bersama,” jelas TNB.

AFA diperkenalkan pada 1 Julai 2025 susulan penstrukturan tarif elektrik bagi menggantikan mekanisme Imbalance Cost Pass-Through (ICPT).

Di bawah mekanisme ini, apabila kos bahan api global menurun, pengguna akan menerima rebat dan jumlah penjimatan tersebut dipulangkan melalui bil elektrik. Sebaliknya, apabila kos bahan api meningkat, perbezaan kos akan diselaraskan melalui kadar surcaj.

Menurut TNB, pengguna menikmati rebat AFA selama sembilan bulan berturut-turut dari Ogos 2025 hingga April 2026. Surcaj hanya mula dikenakan pada Mei 2026 apabila kos penjanaan meningkat berikutan krisis di Asia Barat.

Kadar AFA berada pada paras negatif dari Ogos 2025 hingga April 2026, yang bermaksud pengguna menikmati rebat dalam bil elektrik. Namun, bermula Mei 2026, kadar AFA kembali positif, sekali gus menyebabkan surcaj dikenakan. Foto: TNB

Bagi September 2026 pula, kadar AFA ditetapkan pada +3.67 sen/kWj dan kadar tersebut dikemas kini setiap bulan selepas pengesahan Suruhanjaya Tenaga.

Foto: TNB

Bagaimanapun, pengguna domestik dengan penggunaan elektrik 600kWj atau kurang sebulan dikecualikan sepenuhnya daripada AFA, sama ada dalam bentuk rebat atau surcaj. Mereka turut dikecualikan daripada cukai perkhidmatan 8% dan Caj Peruncitan.

TNB turut menyatakan kumpulan pengguna tersebut membayar kira-kira 2% hingga 14% lebih rendah berbanding tarif sebelum ini, bergantung kepada tahap penggunaan.

Secara keseluruhan sejak AFA diperkenalkan, jumlah rebat yang diterima pengguna mencecah RM3.1 bilion, berbanding nilai surcaj sebanyak RM0.8 bilion. Dalam tempoh sama, kerajaan turut menyalurkan tambahan RM435 juta melalui Kumpulan Wang Industri Elektrik (KWIE) bagi mengurangkan kesan surcaj AFA kepada pengguna.

Dalam pada itu, TNB menjelaskan AFA tidak menyebabkan peningkatan mendadak dalam bil elektrik. Corak penggunaan di rumah, termasuk ketika musim perayaan, cuti sekolah dan bekerja dari rumah, turut boleh mempengaruhi pola penggunaan peralatan elektrik dan memberi kesan rantaian kepada bil bulanan.

Langkah kurangkan bil

Bagi membantu pengguna mengawal penggunaan elektrik, TNB menyarankan supaya penggunaan dipantau menerusi aplikasi myTNB, termasuk secara harian bagi pengguna yang mempunyai meter pintar. Pengguna juga digalakkan menetapkan penghawa dingin pada suhu antara 24-26°C, menggunakan pemasa dan memilih peralatan elektrik dengan penarafan kecekapan tenaga empat atau lima bintang.

Selain itu, pengguna boleh mempertimbangkan tarif Time of Use (TOU) dengan menggunakan lebih banyak elektrik pada waktu luar puncak, bagi menikmati kadar tarif yang lebih rendah.

Bagi pengguna yang ingin mengurangkan kebergantungan kepada bekalan elektrik daripada grid, TNB turut menyarankan penggunaan solar bumbung menerusi inisiatif Solar ATAP dan SuRIA Home. Pengguna yang layak boleh menerima rebat sehingga RM3,000 untuk sistem berkapasiti 5kWac, dengan tempoh pulangan modal sekitar lapan tahun.

{suggest}

Cari Artikel

Buka artikel ini di Wiser.my
BUKA
©2026 WISER.MY | Powered by SuperbThemes & WordPress