Menu
WISER.MY
  • Pergi ke Wiser.my
  • Berita
  • Ulasan
  • Trivia
  • Tips Gajet
  • Promosi
  • Youtube
  • Hubungi Kami
WISER.MY

Petra Lancar SuRIA Home – Tawar Rebat Solar Sehingga RM3,000

Posted on Mei 22, 2026Mei 22, 2026

Kementerian Peralihan Tenaga dan Transformasi Air (PETRA) kini melancarkan program Sustainable Rebate & Incentive Assistance (SuRIA) Home sebagai inisiatif baharu bagi membantu rakyat mengurangkan kos elektrik melalui pemasangan sistem solar bumbung kediaman.

Di bawah SuRIA Home, kerajaan memperuntukkan RM150 juta bagi memberi rebat kepada pengguna domestik yang memasang sistem solar bumbung melalui program Solar ATAP. Pengguna yang layak boleh menerima rebat sebanyak RM600 bagi setiap 1kWac pemasangan, dengan had maksimum RM3,000 atau bersamaan 5kWac.

Program SuRIA Home akan dibuka kepada pemasangan solar di bawah Solar ATAP yang mula beroperasi bagi tempoh sehingga 31 Disember 2026, atau sehingga kuota 250MW dipenuhi, bergantung kepada mana yang terdahulu.

Sementara itu, pelaksanaan rebat akan bermula pada 1 Jun 2026 dengan kaedah first come, first served.

Bagi memastikan pelaksanaan lebih adil dan telus, hanya warganegara Malaysia yang merupakan pengguna individu Domestik Voltan Rendah (LV) serta telah berjaya memulakan operasi sistem solar ATAP dengan Tenaga Nasional Berhad (Tenaga Nasional Berhad) layak menerima rebat ini.

Pengguna yang memenuhi syarat akan menerima notifikasi melalui e-mel berdaftar dengan TNB sebelum diminta mengemukakan maklumat akaun bank. Pembayaran rebat akan dibuat terus ke akaun bank tempatan yang didaftarkan atas nama pelanggan TNB selepas proses pengesahan selesai.

Selain itu, setiap individu hanya boleh membuat tuntutan sekali sahaja dan pengguna yang pernah menerima rebat solar sebelum ini tidak akan layak di bawah program ini.

Secara keseluruhan, program ini dijangka memberi manfaat kepada antara 45,000 hingga 50,000 rumah dengan kapasiti solar terkumpul sekitar 250MW.

Dalam masa yang sama, PETRA turut menegaskan mana-mana pihak termasuk penyedia solar yang didapati menyalahgunakan sistem permohonan yang disediakan oleh Pihak Berkuasa Pembangunan Tenaga Lestari (SEDA) Malaysia dan TNB boleh disenarai  hitam daripada menyertai program insentif pada masa hadapan.

{suggest}

 

Cari Artikel

Buka artikel ini di Wiser.my
BUKA
©2026 WISER.MY | Powered by SuperbThemes & WordPress