Tenaga Nasional Berhad (TNB) kini memulakan pembangunan National Grid Backbone 500kV, projek talian penghantaran elektrik baharu yang akan memperkukuh keterjaminan tenaga negara, menyokong peralihan tenaga serta memenuhi keperluan bekalan elektrik pada masa hadapan.
Dalam pembangunan tersebut, Pencawang Masuk Utama (PMU) 500kV Kampung Awah di Maran, Pahang, yang tapaknya dirasmikan baru-baru ini, akan berperanan sebagai salah satu nod penghantaran strategik bagi menghubungkan lokasi penting merentasi pantai timur Semenanjung Malaysia.
Apabila siap pada 2030, National Grid Backbone ini akan menjadi talian sistem penghantaran 500kV terpanjang yang pernah dibangunkan di Malaysia, dengan panjang keseluruhan kira-kira 500km.
PMU Kampung Awah terletak di lokasi strategik sepanjang koridor penghantaran Paka-Kampung Awah-Bahau South-Kulai East. Menurut TNB, PMU ini akan meningkatkan kapasiti penghantaran, memperkukuh pemindahan tenaga antara wilayah serta meningkatkan daya tahan dan kebolehpercayaan rangkaian elektrik Semenanjung Malaysia.
PMU tersebut juga akan menyediakan kapasiti tambahan bagi membolehkan integrasi sumber penjanaan sedia ada dan akan datang.
Secara keseluruhan, pembangunan National Grid Backbone 500kV akan memperkukuh Grid Nasional yang merentasi Kelantan, Terengganu, Pahang, Negeri Sembilan dan Johor.
TNB menyatakan pembangunan ini akan menyediakan kapasiti penghantaran dan fleksibiliti grid yang diperlukan untuk memenuhi permintaan bekalan elektrik yang terus berkembang, selain membolehkan penembusan tenaga boleh baharu yang lebih tinggi, khususnya di Wilayah Timur.
Pembangunan grid tersebut juga akan meningkatkan kesiapsiagaan bagi memenuhi keperluan industri berteraskan kecerdasan buatan (AI), pusat data, infrastruktur digital serta pelaburan hijau bernilai tinggi yang semakin berkembang.
National Grid Backbone 500kV ini merupakan sebahagian daripada usaha jangka panjang TNB untuk membangunkan dan memodenkan Grid Nasional. Bagi tempoh 2025 hingga 2027, TNB melabur RM43 bilion dalam pembangunan dan pemodenan grid bagi memperkukuh kebolehpercayaan, daya tahan serta kapasiti rangkaian elektrik negara.
Gambar utama: Facebook/ Menteri Besar Pahang
{suggest}
