Menu
WISER.MY
  • Pergi ke Wiser.my
  • Berita
  • Ulasan
  • Trivia
  • Tips Gajet
  • Promosi
  • Youtube
  • Hubungi Kami
WISER.MY

Bil Elektrik Naik? Ini Yang Perlu Difahami Mengenai Struktur Tarif TNB

Posted on Jun 26, 2026Jun 28, 2026

Sejak beberapa bulan kebelakangan ini, media sosial dibanjiri perkongsian pengguna yang mendakwa bil elektrik meningkat berbanding sebelum ini. Ada yang mengatakan penggunaan elektrik di rumah tidak banyak berubah, namun jumlah yang perlu dibayar pula semakin tinggi.

Keadaan ini menimbulkan persoalan sama ada Tenaga Nasional Berhad (TNB) telah menaikkan tarif elektrik atau sebenarnya terdapat perubahan lain dalam cara pengiraan bil.

Struktur bil elektrik kini terdiri daripada beberapa komponen

Di bawah struktur tarif baharu yang diperkenalkan pada 1 Julai 2025, jumlah bil elektrik mengambil kira beberapa komponen yang membentuk kos keseluruhan penggunaan elektrik.

Komponen terbesar ialah Kos Penjanaan, iaitu kos penjanaan elektrik yang meliputi Caj Tenaga, Caj Kapasiti dan Mekanisme Pelarasan Kos Bahan Api Secara Automatik (AFA).

Selain itu, terdapat juga Caj Rangkaian pada kadar 12.85 sen/kWj bagi menampung kos operasi menyalurkan elektrik, termasuk penyelenggaraan dan naik taraf infrastruktur.

Bagi pengguna domestik yang menggunakan lebih daripada 600 kWj sebulan, Caj Peruncitan tetap sebanyak RM10 turut dikenakan, merangkumi kos khidmat pelanggan, pengebilan dan pengurusan akaun.

Kadar AFA yang berubah setiap bulan

Daripada semua komponen tersebut, AFA merupakan antara yang paling kerap berubah kerana kadarnya dikemas kini setiap bulan.

Kadar AFA berada pada paras negatif dari Ogos 2025 hingga April 2026, yang bermaksud pengguna menikmati rebat dalam bil elektrik. Namun, bermula Mei 2026, kadar AFA kembali positif, sekali gus menyebabkan surcaj dikenakan.

Secara ringkas, AFA mengambil kira perubahan harga bahan api di pasaran global, kadar pertukaran mata wang asing serta pelarasan berdasarkan kos sebenar penjanaan elektrik.

Sebagai contoh, pada April 2026, kadar AFA masih berada pada paras negatif iaitu -0.47 sen/kWj, yang bermaksud pengguna menikmati rebat. Namun, kadar itu kembali positif kepada +1.38 sen/kWj pada Mei 2026 sebelum meningkat lagi kepada +2.59 sen/kWj pada Jun 2026.

Perubahan daripada rebat kepada surcaj, selain peningkatan kadar surcaj AFA itu sendiri, menjadi antara faktor yang boleh menyebabkan jumlah bil elektrik sesetengah pengguna pada Mei dan Jun 2026 lebih tinggi berbanding bulan-bulan sebelumnya.

Setakat kemas kini pada 31 Mei 2026, kadar AFA bagi tempoh Julai hingga September 2026 masing-masing diunjurkan pada +4.89 sen/kWj, +7.08 sen/kWj dan +6.15 sen/kWj.

Bagaimanapun, angka tersebut hanyalah anggaran untuk membantu pengguna merancang penggunaan elektrik dan masih boleh berubah apabila kos sebenar penjanaan dimuktamadkan.

Bukan semua pengguna dikenakan AFA

Walaupun kadar AFA berubah setiap bulan, ia bukan bermaksud semua pengguna perlu membayarnya.

Pengguna domestik yang menggunakan 600 kWj dan ke bawah sebulan terus dikecualikan daripada AFA.

Caj lain

Caj Kumpulan Wang Tenaga Boleh Baharu (KWTBB) sebanyak 1.6% dikenakan kepada semua pelanggan, kecuali pelanggan domestik yang menggunakan 300 kWj dan ke bawah sebulan.

Cukai Perkhidmatan (ST) sebanyak 8% pula hanya dikenakan kepada pelanggan domestik yang menggunakan lebih daripada 600 kWj sebulan.

Semak pecahan caj dalam bil

Kesimpulannya, kenaikan bil elektrik tidak semestinya bermaksud tarif elektrik dinaikkan secara menyeluruh ataupun berpunca daripada AFA semata-mata.

Sebaliknya, jumlah yang perlu dibayar bergantung kepada gabungan beberapa komponen termasuk Caj Tenaga, Caj Kapasiti, Caj Rangkaian, Caj Peruncitan, insentif yang diterima serta jumlah penggunaan elektrik pada bulan tersebut.

contoh pecahan pengiraan bil bagi penggunaan 1500kWj dan ke bawah. Caj tenaga dikenakan RM0.2703/kWj.
contoh pecahan pengiraan bil bagi penggunaan 1500kWj ke atas. Caj tenaga dikenakan RM0.3703/kWj. AFA negatif (-) bermakna pengguna diberikan rebat.
Contoh bil ketika kadar AFA berada pada paras paling negatif, sekali gus memberikan rebat maksimum kepada pengguna. Penggunaan di bawah 1,000 kWj juga layak menerima Insentif Cekap Tenaga yang mengurangkan lagi jumlah bil elektrik.

Urus penggunaan elektrik dengan lebih cekap

Pengguna boleh mengurangkan bil dengan mengekalkan penggunaan pada 600 kWj dan ke bawah sebulan, sekali gus menikmati Insentif Cekap Tenaga serta pengecualian Caj Peruncitan dan AFA.

Selain itu, pengguna domestik yang menggunakan sehingga 1,000 kWj sebulan masih layak menerima Insentif Cekap Tenaga.

Bergantung pada corak penggunaan elektrik, pengguna juga boleh mempertimbangkan untuk beralih kepada skim Time of Use (ToU) bagi memanfaatkan kadar Caj Tenaga yang lebih rendah pada luar waktu puncak.

Sekiranya mempunyai Meter Pintar, pengguna boleh menggunakan ciri Paparan Penggunaan Harian dan Energy Budget di aplikasi myTNB untuk memantau penggunaan elektrik.

Untuk maklumat lanjut mengenai struktur serta kadar tarif semasa, layari portal rasmi TNB.

{suggest}

Cari Artikel

Buka artikel ini di Wiser.my
BUKA
©2026 WISER.MY | Powered by SuperbThemes & WordPress