Astro bakal membuka akses kepada semua saluran secara percuma kepada pelanggannya mulai 15 Ogos hingga 16 September 2026, bersempena sambutan ulang tahun ke-30 Astro dan Hari Kebangsaan.
Dalam tempoh tersebut, pelanggan juga boleh menikmati dua saluran khas iaitu Astro 30 di Saluran 100 dan Aniplus di Saluran 120. Astro 30 akan tersedia sehingga 31 Oktober 2026, manakala Aniplus pula boleh ditonton sehingga 31 Disember 2026.
Astro 30 membawakan pelbagai kandungan termasuk filem, konsert dan program popular. Antaranya kesemua lapan filem Spider-Man, Borneo Rising, The Last Kopek Senario Reunion 30 Tahun, BTS: Love Yourself in New York Concert Film dan How to Make Millions Before Grandma Dies, Tekad: Ekspedisi Guthrie Everest 2026 dan edisi terbaharu Tom Tom Bak. Saluran ini turut menampilkan lima telemovie istimewa.

Bagi peminat anime pula, Aniplus menawarkan beberapa siri dari Jepun, termasuk Trapped in a Dating Sim 2: The World of Otome Games is Tough for Mobs dan Hanaori-san Still Wants to Fight in the Next Life.
Selain kandungan televisyen, pelanggan Astro turut mendapat akses kepada Astro X3 yang boleh digunakan pada semua peranti TV pintar. Ini membolehkan mereka menstrim kandungan menerusi aplikasi Astro tanpa perlu menggunakan dekoder.
Kandungan tambahan untuk pelanggan NJOI
Pengguna NJOI juga menerima tambahan kandungan apabila Astro Prima (Saluran 105), Astro Oasis (Saluran 106), Astro AEC (Saluran 306) dan Stadium Astro (Saluran 802) ditawarkan secara komplimentari mulai 13 Ogos 2026. Dengan penambahan empat saluran ini, jumlah saluran komplimentari yang tersedia untuk pengguna NJOI kini menjadi 26 saluran.
Sambutan ulang tahun ke-30 Astro turut diserikan dengan pelbagai acara dan ganjaran sehingga Disember 2026. Antaranya KITA FM 2026 yang menghimpunkan 13 jenama Astro Audio, MY FM Big Show pada 17 Oktober serta tawaran seperti diskaun dan tiket percuma untuk beberapa acara hiburan dan sukan.

Astro turut mengadakan Astro 30th Anniversary Showcase pada 23 Ogos 2026 di pintu masuk utama Pavilion Kuala Lumpur. Acara itu akan menampilkan persembahan serta kemunculan artis dan bakat baharu, selain peluang untuk peminat bertemu beberapa bintang daripada rancangan dan drama Astro.
{suggest}
