Menu
WISER.MY
  • Pergi ke Wiser.my
  • Berita
  • Ulasan
  • Trivia
  • Tips Gajet
  • Promosi
  • Youtube
  • Hubungi Kami
WISER.MY

Mufti WP Perjelas Hukum Kad Diskaun Berbayar, Harus Jika Penuhi Syarat Ini

Posted on Ogos 7, 2026Ogos 7, 2026

Kad diskaun atau kad keahlian berbayar kini ditawarkan oleh pelbagai premis dan platform sebagai cara untuk menikmati diskaun serta pelbagai kelebihan kepada pelanggan. Namun, adakah penggunaan kad seperti ini dibolehkan menurut hukum syarak?

Secara umumnya, kad diskaun boleh dibahagikan kepada tiga jenis, iaitu kad yang diberikan secara percuma atau selepas mencapai jumlah pembelian tertentu, kad berbayar yang dikeluarkan oleh peniaga sendiri sama ada melalui bayaran sekali sahaja atau secara berkala, serta kad berbayar yang ditawarkan oleh pihak ketiga untuk digunakan di premis terpilih.

Menerusi Irsyad Hukum Siri Ke-881, Pejabat Mufti Wilayah Persekutuan (Mufti WP) menjelaskan penggunaan kad diskaun yang diberikan secara percuma adalah harus kerana ia dianggap sebagai hibah daripada peniaga kepada pelanggan.

Bagi kad diskaun berbayar pula, isu ini pernah diperselisihkan dalam kalangan ulama dan badan-badan fatwa kontemporari kerana dikaitkan dengan unsur gharar (ketidaktentuan), perjudian serta penipuan.

Antaranya apabila pelanggan membayar yuran tetapi manfaat yang diterima tidak pasti, selain terdapat peniaga yang menaikkan harga terlebih dahulu untuk mewujudkan gambaran seolah-olah pembeli menikmati diskaun, sedangkan mereka sebenarnya hanya membayar harga asal.

Bagaimanapun, Mufti WP menjelaskan penggunaan kad diskaun berbayar adalah harus dengan syarat caj yang dikenakan hanya pada kadar minimum bagi menampung kos pengeluaran dan pentadbiran kad, bukannya bertujuan menjana keuntungan.

Penjelasan ini turut merujuk kepada keputusan Mesyuarat Panel Pakar Muamalat JAKIM pada 4 April 2017 yang mengharuskan penggunaan kad diskaun, kad keahlian dan kad loyalti, tertakluk kepada beberapa syarat berikut:

  • Caj yang dikenakan mestilah pada kadar minimum.
  • Tiada unsur perjudian seperti hadiah cabutan bertuah yang dibiayai daripada yuran pengeluaran kad.
  • Terma, syarat dan tempoh sah laku keahlian dinyatakan dengan jelas.
  • Pengeluar tidak menjana keuntungan daripada pengeluaran kad.
  • Kad tersebut tidak menawarkan manfaat yang tidak patuh syariah.

Sementara itu, kad diskaun, kad keahlian dan kad loyalti yang diberikan secara percuma pula adalah harus berdasarkan konsep tabarru’at.

{suggest}

Cari Artikel

Buka artikel ini di Wiser.my
BUKA
©2026 WISER.MY | Powered by SuperbThemes & WordPress