Menu
WISER.MY
  • Pergi ke Wiser.my
  • Berita
  • Ulasan
  • Trivia
  • Tips Gajet
  • Promosi
  • Youtube
  • Hubungi Kami
WISER.MY

MCMC Perkukuh Rangkaian, Tangani Isu Isyarat Penuh Tiada Capaian Internet – Teo

Posted on Julai 15, 2026Julai 15, 2026

Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) bersama pemberi perkhidmatan sedang melaksanakan pelbagai langkah penambahbaikan bagi mengatasi masalah pengguna menerima isyarat telefon penuh (full bars), tetapi tidak mempunyai capaian internet.

Timbalan Menteri Komunikasi Teo Nie Ching berkata langkah itu termasuk meningkatkan kapasiti rangkaian di kawasan yang mengalami penggunaan data yang tinggi, menaik taraf rangkaian penghantaran menggunakan gentian optik berkapasiti tinggi serta memperluas liputan komunikasi melalui pelaksanaan inisiatif seperti Pelan Jalinan Digital Negara (JENDELA).

“Sebagai usaha untuk mengawal kejadian gangguan perkhidmatan akibat vandalisme dan kecurian, MCMC dan juga pemberi perkhidmatan terus memperkukuh infrastruktur komunikasi melalui pelaksanaan jaringan lewah (link redundancy) dan penyediaan laluan penghantaran alternatif bagi mengurangkan risiko atau single point of failure, serta menaik taraf kemudahan sokongan seperti sistem jana kuasa sandaran. Langkah-langkah ini bertujuan meningkatkan daya tahan rangkaian dan memastikan kesinambungan perkhidmatan sekiranya berlaku gangguan pada mana-mana bahagian rangkaian,” katanya di Dewan Rakyat hari ini.

Beliau menjelaskan kesemua tapak komunikasi turut dipantau secara berterusan oleh pemberi perkhidmatan melalui Pusat Pemantauan Rangkaian (NMC) yang beroperasi 24 jam bagi membolehkan sebarang gangguan dikesan dan dipulihkan dengan segera.

Menurut Teo, situasi pengguna menerima isyarat telefon penuh tetapi tidak dapat menggunakan internet boleh berlaku disebabkan beberapa faktor yang menjejaskan kualiti perkhidmatan (QoS).

Antaranya termasuk kesesakan kapasiti rangkaian berikutan penggunaan data yang tinggi, gangguan atau kerosakan pada talian penghantaran, pemotongan kabel gentian optik, vandalisme, kecurian, bencana alam, ancaman haiwan liar serta kerja-kerja pembinaan.

Selain faktor rangkaian, pengalaman pengguna turut dipengaruhi oleh keadaan peranti, tetapan telefon, jenis pelan langganan serta baki kuota data yang tersedia.

Mengulas lanjut, beliau berkata pihak Kementerian Komunikasi dan MCMC akan terus memantau liputan serta kualiti perkhidmatan telekomunikasi bagi memastikan perkhidmatan yang stabil dan berkualiti dapat dinikmati oleh pengguna.

Orang ramai juga dialu-alukan untuk menyalurkan aduan dan maklum balas melalui aplikasi MCMC Nexus serta portal aduan MCMC bagi membantu mengenal pasti isu di lapangan dan menyokong usaha penambahbaikan perkhidmatan secara berterusan.

{suggest}

Cari Artikel

Buka artikel ini di Wiser.my
BUKA
©2026 WISER.MY | Powered by SuperbThemes & WordPress