Menu
WISER.MY
  • Pergi ke Wiser.my
  • Berita
  • Ulasan
  • Trivia
  • Tips Gajet
  • Promosi
  • Youtube
  • Senarai
  • Harga
  • Hubungi Kami
WISER.MY
Apple Company_2

Ledakan AI Ubah Kuasa Rundingan Pembekal Cip, Apple Kini Berdepan Kos Lebih Tinggi

Diterbitkan November 3, 2026 · Dikemas kini November 3, 2026 oleh Amalina Athman

Ledakan kecerdasan buatan (AI) bukan sahaja meningkatkan permintaan terhadap cip memori, malah turut mengubah kedudukan Apple dalam rundingan dengan pembekal cip.

Menurut The Wall Street Journal (WSJ) seperti dilaporkan MacRumors, pembekal storan flash yang pernah “dibuli” oleh Apple kini seolah-olah “membalas dendam” terhadap syarikat itu susulan kekurangan cip memori sepanjang tahun lalu.

Kekurangan ini berpunca daripada syarikat AI yang sedang membangunkan pusat data berskala besar dan memerlukan storan flash serta RAM dalam jumlah besar.

Apple Pernah Mempunyai Kuasa Besar Dalam Rundingan Harga

Ketika jualan iPhone berkembang pesat, Apple pernah menjadi pembeli storan flash terbesar di dunia. Jumlah pembelian yang besar memberikan syarikat itu kelebihan dalam rundingan sehingga mampu mendapatkan harga yang lebih rendah daripada pembekal.

WSJ turut mendedahkan beberapa taktik rundingan keras yang pernah digunakan Apple ketika bekas ketua bahagian perolehannya, Tony Blevins, masih memegang jawatan tersebut. Antaranya, syarikat tersebut dilaporkan ada kalanya enggan menerima penghantaran cip apabila harga storan flash mula menurun.

“Keadaan tersebut menyebabkan pembekal terpaksa menanggung lambakan cip yang tidak terjual, termasuk cip yang dibuat khas untuk Apple. Eksekutif Kioxia bergurau bahawa mereka berasa seperti Charlie Brown yang cuba menyepak bola sepak, tetapi Lucy sentiasa menarik bola itu sebelum sempat disepak,” menurut laporan itu.

Apple juga dikatakan pernah “mendesak pengeluar storan flash supaya mendedahkan rekod kewangan mereka bagi membolehkan Apple memantau jualan dan memastikan tiada pelanggan lain mendapat tawaran harga yang lebih baik”.

Antara pembekal yang disebut dalam laporan tersebut ialah Kioxia, syarikat dari Jepun yang sebelum ini dikenali sebagai Toshiba Memory Corporation, serta Sandisk. Dalam kes Sandisk, Blevins dilaporkan mengugut jurujual syarikat itu dengan tindakan balas selepas Sandisk menolak permintaan bekalan tambahan Apple kerana sudah mempunyai pelanggan lain yang sanggup membayar lebih.

Permintaan AI Kini Mengubah Kedudukan Pembekal Cip

Namun, keadaan mula berubah apabila syarikat-syarikat AI mula membangunkan pusat data berskala besar yang memerlukan storan dan RAM dalam jumlah besar, sekali gus meningkatkan permintaan terhadap cip.

Berdasarkan anggaran firma penyelidikan TechInsights yang dipetik WSJ, Apple membeli hampir dua kali ganda jumlah storan flash berbanding gabungan pembelian Microsoft, Amazon, Meta dan Google dua tahun lalu.

Bagaimanapun, keadaan kini berbeza apabila syarikat penyedia awan atau hyperscaler membeli pada jumlah kira-kira dua kali ganda bahagian Apple.

Perubahan ini memberikan pembekal lebih banyak pilihan pelanggan dan kedudukan yang lebih kukuh dalam rundingan harga. Apple yang sebelum ini mempunyai kelebihan melalui jumlah pembeliannya kini perlu bersaing dengan permintaan daripada syarikat teknologi yang membangunkan infrastruktur AI.

Kekurangan Cip Turut Memberi Kesan Kepada Kos Apple

Kesan kekurangan cip ini turut dirasai pengguna apabila Apple menaikkan harga produknya tahun ini, termasuk iPhone, iPad, Mac, HomePod dan Apple TV. Syarikat itu mengaitkan kenaikan harga tersebut dengan kekurangan cip memori.

Bekas Ketua Pegawai Eksekutif Apple, Tim Cook, sebelum ini turut menyifatkan kenaikan harga sebagai sesuatu yang tidak dapat dielakkan.

Dalam perkembangan berkaitan, SK Hynix menjangkakan kekurangan cip memori akan berterusan sehingga 2030. Keadaan ini bermakna pembekal cip memori berkemungkinan terus mempunyai kedudukan tawar-menawar yang lebih kukuh untuk beberapa tahun akan datang.

Berkaitan

  • Apple Akan Naikkan Harga Susulan Krisis Bekalan Cip Memori, Tim Cook Kata "Tak Dapat Dielakkan"
  • Semua Model Mac Turut Naik Harga - MacBook Neo Kini Bermula RM2,999
  • Apple Naikkan Harga iPhone Di Malaysia, iPhone Air 1TB Kini Cecah RM8,299

Cari Artikel

Buka artikel ini di Wiser.my
BUKA

Terbaru

  • LUMOS Lancar 4 Model Tablet Mampu Milik, Harga Bermula RM399
  • Ladang Angin Seluas Singapura Kini Salur Elektrik Ke Vietnam
  • Google Perkenal Ikon Baharu Untuk Messages, Phone Dan Contacts
  • Lebih 1.3 Juta Set-Top Box Dijangkiti Malware, Google Sekat Salah Satu Pengeluar Peranti Android
  • Serangan Siber Ganggu Sistem Penyejukan Pasar Raya Di Sembilan Negara Eropah
  • Syarikat Minyak UAE, ADNOC Jalin Kerjasama Dengan OpenAI Untuk Guna AI Dalam Operasi
  • Rembayung Kini Guna Grab Untuk Tempahan, Satu 'Booking' Setiap Dua Minggu
©2026 WISER.MY