Menu
WISER.MY
  • Pergi ke Wiser.my
  • Berita
  • Ulasan
  • Trivia
  • Tips Gajet
  • Promosi
  • Youtube
  • Hubungi Kami
WISER.MY

Apple Akan Naikkan Harga Susulan Krisis Bekalan Cip Memori, Tim Cook Kata “Tak Dapat Dielakkan”

Posted on Jun 18, 2026Jun 18, 2026

Apple merancang untuk menaikkan harga produknya bagi mengimbangi peningkatan mendadak kos cip memori dan storan. Perkara itu disahkan sendiri oleh CEO Apple, Tim Cook, dalam temu bual bersama The Wall Street Journal.

“Malangnya, kenaikan harga tidak dapat dielakkan. Kami berusaha sedaya upaya untuk mengurangkan kesan kenaikan harga yang dikenakan kepada kami, dan kami juga cuba melindungi pelanggan daripada peningkatan kos itu, tetapi keadaan kini tidak lagi dapat dikekalkan,” kata Cook.

Beliau tidak mendedahkan bila kenaikan harga itu akan dilaksanakan, produk yang terlibat atau jumlah kenaikannya. Namun, siri iPhone 18 yang dijangka diperkenalkan pada September ini berkemungkinan antara produk yang menerima pelarasan harga. Selain itu, harga iPad dan Mac juga dilihat berpotensi meningkat dalam masa terdekat.

Bulan lalu, Apple turut menaikkan harga Mac mini. Model dengan storan 512GB kini dijual pada harga bermula RM3,349, manakala pilihan storan 256GB tidak lagi ditawarkan.

Peningkatan kos itu didorong oleh permintaan yang semakin tinggi terhadap cip memori dan storan daripada industri kecerdasan buatan (AI), sekali gus menyebabkan bekalan menjadi semakin terhad. Pada masa sama, Apple turut memerlukan kapasiti DRAM yang lebih besar dalam perantinya bagi menyokong ciri AI baharu.

Menurut Cook, kenaikan harga cip memori dan storan kini menjadi cabaran kepada Apple. Beliau turut memaklumkan Apple bersedia menggunakan rizab tunainya untuk membantu meningkatkan bekalan memori, namun tidak memperincikan langkah yang bakal diambil.

Apple tidak bercadang membina kilang cip memori atau storannya sendiri. Sebaliknya, syarikat itu akan terus bergantung kepada pembekal sedia ada bagi memenuhi keperluan komponen tersebut.

Dalam pada itu, Cook turut menyifatkan situasi semasa sebagai luar biasa. Menurutnya, sepanjang lebih 40 tahun pengalamannya dalam rantaian bekalan elektronik di IBM, Compaq dan Apple, beliau tidak pernah menyaksikan turun naik harga komoditi seperti yang berlaku dalam tempoh enam bulan kebelakangan ini.

Selain Apple, beberapa syarikat teknologi lain termasuk Samsung, Microsoft, Sony dan Dell turut menaikkan harga produk masing-masing susulan peningkatan kos komponen.

{suggest}

Cari Artikel

Buka artikel ini di Wiser.my
BUKA
©2026 WISER.MY | Powered by SuperbThemes & WordPress