OpenAI mula melancarkan versi GPT-6.2 yang dioptimumkan untuk tab Chat dalam ChatGPT kepada pengguna Plus, Pro, Business dan Enterprise di seluruh dunia. Model ini dikuasakan oleh versi GPT-6.2 Sol yang dilaraskan untuk perbualan harian.
Menurut OpenAI, GPT-6.2 lebih baik mengendalikan permintaan kompleks yang melibatkan arahan terperinci atau pencarian maklumat di internet.
Contohnya, ketika membandingkan hotel untuk percutian hujung minggu, ia boleh membantu menimbang faktor seperti harga dan lokasi sebelum mencadangkan pilihan yang paling sesuai dengan keutamaan pengguna.
https://x.com/ChatGPT/status/2124942186425069836?a=zeHOAVbrYa5HHGqKTKQ&s=20
ChatGPT juga kini lebih tahu bila perlu menawarkan tindakan susulan. Jika pengguna bertanya sama ada sesuatu barangan sedang dijual pada harga promosi, ChatGPT boleh menawarkan untuk memaklumkan apabila harganya turun.

Dari segi kefahaman imej, GPT-6.2 mencatat skor 71.7% dalam ujian dalaman OpenAI di tab Chat, berbanding 47.4% untuk GPT-6. Peningkatan ini membolehkannya mengenal pasti butiran yang lebih halus dalam gambar, seperti teks pada label atau simbol pada papan tanda.

Untuk prompt yang sangat mencabar, GPT-6.2 mengikut arahan 78.1% daripada masa, naik daripada 62.5% untuk GPT-6. Pada tetapan reasoning paling rendah yang diuji, ia mencatat 65% dalam penilaian dalaman tugasan peringkat pakar, berbanding 52% untuk GPT-6.
Keupayaan mencari jawapan di web turut meningkat. Dalam versi dalaman ujian BrowseComp, GPT-6.2 mengatasi GPT-6 pada keempat-empat tetapan reasoning. Pada tetapan Extra high, ia mencatat 64.5% berbanding 54.4%.
OpenAI turut mendakwa GPT-6.2 menunjukkan peningkatan ketara dalam penilaian keselamatan remaja. Dalam perbualan yang mencabar, kadar respons yang mematuhi polisi keselamatan syarikat meningkat kepada 91 hingga 94%, berbanding 77 hingga 80% untuk GPT-6.
Kemas kini ini hanya melibatkan pengalaman Chat dalam ChatGPT, manakala model yang menguasakan ChatGPT Work dan Codex kekal sama. Bagi pengguna Enterprise, ketersediaan bergantung pada tetapan pentadbir tempat kerja masing-masing.
Semua angka prestasi di atas merupakan hasil ujian dalaman OpenAI dan belum disahkan oleh pihak ketiga.
