Lembaga Zakat Negeri Kedah (LZNK) memperkenalkan aplikasi Amil AI sebagai satu inisiatif pendigitalan perkhidmatan bagi memudahkan masyarakat, khususnya rakyat negeri Kedah, mendapatkan maklumat berkaitan zakat serta perkhidmatan LZNK dengan lebih pantas dan mudah.
Melalui aplikasi ini, pengguna boleh mengemukakan pelbagai pertanyaan berkaitan zakat kepada pembantu AI, termasuk mengenai pengiraan zakat serta maklumat kutipan dan agihan zakat semasa. AI akan membantu memberikan jawapan berdasarkan pertanyaan yang dikemukakan.

Aplikasi ini turut menyediakan Bayan AI, iaitu fungsi yang membolehkan pengguna mendapatkan rujukan dan penjelasan pantas berdasarkan kandungan buku zakat. Pengguna yang memerlukan khidmat secara langsung pula boleh menggunakan i-Serve untuk berhubung melalui panggilan video bersama pegawai LZNK, dengan setiap sesi dihadkan kepada 15 minit.

Selain itu, terdapat juga fungsi Semakan Zakat bagi membolehkan pengguna menyemak rekod dan status pembayaran zakat masing-masing. Sementara itu, fungsi Permohonan Zakat membolehkan permohonan bantuan zakat dibuat secara dalam talian.
Sebagai tambahan, pengguna juga boleh membuat pembayaran zakat secara langsung menerusi aplikasi berkenaan, selain menyalurkan sumbangan wakaf dan sedekah.

Satu lagi fungsi yang ditawarkan ialah Peta Interaktif LZNK yang membolehkan pengguna mencari lokasi kariah serta melihat maklumat kutipan dan agihan zakat semasa. Bagi pengguna yang berada di Kedah, aplikasi ini juga boleh mengesan lokasi kariah secara automatik dan memaparkan maklumat berkaitan, termasuk jumlah penerima bantuan, agihan zakat, lokasi masjid serta maklumat penolong amil di kawasan berkenaan.
Difahamkan, aplikasi Amil AI dibangunkan sendiri oleh LZNK tanpa menggunakan khidmat vendor. Ia kini boleh dimuat turun melalui Google Play Store atau Apple App Store.
Gambar utama: Facebook//Kedah Royal Family
