Menu
WISER.MY
  • Pergi ke Wiser.my
  • Berita
  • Ulasan
  • Trivia
  • Tips Gajet
  • Promosi
  • Youtube
  • Senarai
  • Harga
  • Hubungi Kami
WISER.MY
England Lancar Ujian Saringan Kanser Payudara Terbesar Di Dunia Dibantu AI

England Lancar Ujian Saringan Kanser Payudara Terbesar Di Dunia Dibantu AI

Diterbitkan November 24, 2026 oleh ariff bukhari

Perkhidmatan kesihatan kendalian kerajaan England pada Isnin mengumumkan pelancaran ujian saringan kanser payudara berbantukan kecerdasan buatan (AI) terbesar di dunia, yang bakal melibatkan hampir 700,000 wanita dalam tempoh tiga tahun akan datang.

Perkhidmatan Kesihatan Kebangsaan (NHS) menyifatkan ujian baharu itu berpotensi merombak kaedah diagnosis kanser payudara, sambil memaklumkan ratusan wanita telah dijemput menyertainya pada peringkat permulaan.

Program bernilai £10 juta (~RM57.2 juta) itu akan menilai sama ada alat berbantukan AI mampu meningkatkan pengesanan awal kanser dalam saringan, yang diharapkan pegawai kesihatan dapat menjimatkan masa pakar klinikal.

Alat pembacaan berbantukan AI tersebut akan membantu pakar klinikal menyemak imej yang dikumpul daripada pemeriksaan mamogram rutin, menurut NHS.

 

“Ini adalah ujian kanser payudara AI terbesar di dunia,” kata Setiausaha Kesihatan, Yvette Cooper dalam satu kenyataan, memuji “potensi besar” teknologi tersebut di samping berikrar menyediakan “perlindungan sewajarnya” bagi menjamin keselamatan dan keberkesanannya.

“Jika berjaya, teknologi ini boleh membantu wanita mendapatkan diagnosis kanser payudara dan memulakan rawatan dengan jauh lebih pantas, sekali gus memberi peluang pemulihan terbaik kepada mereka.”

Ujian berkenaan diketuai oleh Universiti Warwick, Universiti Cambridge dan Amanah Yayasan NHS Hospital Universiti Cambridge, dengan kerjasama rapat NHS England.

Wanita yang menghadiri saringan payudara rutin di 30 lokasi yang dirancang di seluruh negara akan diberikan maklumat mengenai ujian tersebut dan turut serta, melainkan mereka memilih untuk menarik diri.

NHS menegaskan janji temu saringan akan berjalan seperti biasa, namun alat berbantukan AI itu akan digunakan bersama pakar yang memeriksa imej bagi mengesan kanser yang terlalu kecil untuk dilihat atau dirasai.

Ujian tersebut akan menguji sama ada alat berbantukan AI membolehkan kebanyakan imej disemak oleh hanya seorang pakar, berbanding dua orang pada masa ini.

Pengambilan peserta telah bermula di Hospital Universiti Cambridge di timur England, dengan lebih banyak daripada 30 lokasi terpilih akan dibuka dalam beberapa bulan akan datang.

Kanser payudara merupakan kanser paling lazim dalam kalangan wanita, dengan kira-kira 55,000 kes didiagnosis setiap tahun di United Kingdom (UK).

Wanita berusia 50 hingga 71 tahun dijemput menjalani saringan setiap tiga tahun, melibatkan kira-kira 2.1 juta saringan setiap tahun. NHS menganggarkan langkah ini membantu mencegah sekitar 1,300 kematian.

Satu kajian yang diterbitkan dalam jurnal perubatan The Lancet pada Januari lalu menyatakan bahawa AI boleh menambah baik pengesanan kanser payudara menerusi saringan yang lebih berkesan di samping mengurangkan beban kerja pakar radiologi.

Kajian itu menganalisis hampir 106,000 mamogram yang dijalankan di Sweden sebagai sebahagian daripada program saringan kanser payudara kebangsaannya—melibatkan wanita dengan umur median 53 tahun—dari April 2021 hingga awal Disember 2022. – AFP

Berkaitan

  • vivo X300 FE VS vivo X300 Ultra: Sama DNA ZEISS, Tapi Ini Bezanya Yang Anda Wajib Tahu Sebelum Beli
  • Saintis Cipta Sikat Elektronik Yang Bantu Bulu Tikus Tumbuh Semula Dalam 28 Hari
  • Penyelidik AS Dan Toyota Cipta Gam Mudahkan Bateri Dikitar Semula

Cari Artikel

Buka artikel ini di Wiser.my
BUKA

Terbaru

  • Kerajaan Tidak Bercadang Wujudkan Syarat Lesen Khas Untuk Penyedia Permainan Dalam Talian
  • Trump Kata Keputusan Nvidia Bawa Kembali Jensen Huang "Tepat Dan Wajar"
  • Jensen Huang Dilantik Semula Sebagai CEO Nvidia Berkuat Kuasa Serta Merta
  • MySiren Kini Dilancarkan, Amaran Kecemasan Dihantar Terus Ke Telefon Dalam Kurang Seminit
  • CIMB OCTO Kini Boleh Anggar Jejak Karbon Daripada Perbelanjaan Kad
  • Wise Naikkan Had e-Wallet Kepada RM50,000, Tertinggi Di Malaysia
  • JPJ Wajibkan Pengguna Kemas Kini Maklumat Profil, Persediaan Untuk Ciri Digital Baharu
©2026 WISER.MY