Selepas lebih dua dekad dalam pembangunan, pesawat angkasa boleh guna semula Dream Chaser keluaran Sierra Space akhirnya menerima kelulusan pendaratan daripada Pentadbiran Penerbangan Persekutuan Amerika Syarikat (FAA).
Kelulusan ini sekali gus membolehkannya memulakan misi sulungnya yang dijadualkan berlangsung pada musim bunga tahun 2027.
Melalui kelulusan tersebut, Dream Chaser dibenarkan mendarat di Pusat Angkasa Kennedy di Florida atau Pangkalan Angkatan Angkasa Vandenberg di California.

FAA turut menyimpulkan bahawa operasi pendaratan pesawat angkasa itu tidak akan memberikan kesan alam sekitar yang signifikan, manakala bunyi dentuman sonik yang dihasilkan semasa pendaratan dijangka minimum dan bersifat sementara.
Dream Chaser pada asalnya dibangunkan sebagai calon bagi program pengangkutan angkasawan NASA.
Namun, ia tewas kepada kapsul Crew Dragon milik SpaceX dan Starliner milik Boeing.
Sierra Space kemudian mengubah fokus kenderaan tersebut kepada misi penghantaran kargo.
Pada tahun 2016, NASA telah memilih Dream Chaser untuk menjalankan beberapa misi bekalan ke Stesen Angkasa Antarabangsa (ISS).
Sierra Space merancang untuk melaksanakan ujian penerbangan orbit bebas pertama Dream Chaser pada 2027.
Jika berjaya, pesawat angkasa ini berpotensi menyokong pelbagai misi untuk NASA, sektor komersial, pihak ketenteraan serta stesen angkasa masa depan.
