BYD menerusi jenama Fangchengbao mencipta sejarah baharu dalam industri automotif dengan memperkenalkan stereng lipat pertama yang digunakan pada kenderaan.
Teknologi inovatif ini diperkenal menerusi model SUV enam tempat duduk terbaharu mereka, Fangchengbao Tai 9.
Stereng tersebut berfungsi bersama sistem steer-by-wire yang menggantikan sambungan mekanikal tradisional antara stereng dan roda dengan kawalan elektronik sepenuhnya.
Apabila kenderaan diparkir, stereng boleh diputar sehingga 180 darjah sebelum dilipat dan disimpan ke dalam ruang khas pada papan pemuka.

Dalam masa kira-kira 10 saat, satu meja kecil akan terbuka secara automatik di hadapan pemandu.
Ciri ini membolehkan ruang kabin dimanfaatkan dengan lebih baik, manakala tempat duduk pemandu boleh direbahkan sehingga 165 darjah untuk meningkatkan keselesaan ketika berehat.

Menurut BYD, mekanisme lipatan tersebut menggunakan teknologi motor yang turut dibangunkan untuk robot humanoid dan direka bagi menampung sehingga 80,000 kitaran penggunaan.
Pelaksanaan teknologi ini juga selari dengan peraturan baharu di China yang mula membenarkan sistem stereng elektronik tanpa sambungan mekanikal, tertakluk kepada keperluan keselamatan tertentu.

Fangchengbao Tai 9 hadir dengan konfigurasi enam tempat duduk, kuasa gabungan 536 hp, pecutan 0-100 km/j dalam 4.8 saat serta jarak pemanduan elektrik sehingga 310 km.
Model ini turut dilengkapi sistem bantuan pemandu canggih, LiDAR dan stereng roda belakang.
Tersedia dalam 3 varian, ia ditawar dengan harga jualan bermula 279,900 yuan (~RM172,00), manakala varian yang dilengkapi dengan stereng boleh lipat, ia dijual pada harga 329,900 yuan (~RM202 ribu).
