Instagram kini membolehkan pengguna menyunting Story selepas dikongsi tanpa perlu memadam dan memuat naik semula kandungan tersebut.
Sebelum ini, pengguna perlu memadam dan memuat naik semula Story sekiranya terdapat kesilapan ejaan atau terlupa memasukkan lagu. Keadaan itu juga bermakna pengguna perlu bermula semula dengan siaran baru.
Menerusi pengumuman terbaharu, ketua Instagram, Adam Mosseri, berkata pengguna kini boleh mengubah teks, muzik, pelekat dan lukisan dalam tempoh 15 minit selepas Story dimuat naik, tanpa kehilangan jumlah tontonan, tanda suka atau balasan yang telah diterima.
Pelaksanaan ciri ini juga berbeza daripada gambaran awal ketika ia masih dalam pembangunan. Menurut perkongsian Alessandro Paluzzi sebelum ini, setiap suntingan dikatakan akan menyebabkan versi asal Story dipadam, sekali gus menghilangkan tanda suka, reaksi dan komen yang diterima.
Namun, berdasarkan pengumuman rasmi Instagram, pengguna kini boleh membuat perubahan pada Story sedia ada tanpa kehilangan interaksi tersebut.

Untuk menggunakan ciri ini, pengguna hanya perlu membuka Story yang telah dikongsi, tekan menu tiga baris di bahagian bawah sebelah kanan dan pilih “Edit Story” untuk membuat perubahan.
Selepas disunting, siaran tersebut akan memaparkan label “Edited” di bawah nama pengguna.

Selain ciri suntingan tersebut, Instagram turut memperkenalkan beberapa penambahbaikan lain untuk Story. Antaranya termasuk cara lebih mudah untuk memilih beberapa foto serentak, pilihan latar belakang bagi foto dengan pelbagai saiz serta rekaan pelekat baharu.
