Malaysia sedang mendapatkan maklumat daripada firma kecerdasan buatan (AI) Amerika Syarikat (AS), Anthropic berhubung dakwaan penggunaan teknologinya dalam operasi pengaruh politik yang menyasarkan pengundi di negara ini, menurut kerajaan.
Anthropic dalam satu laporan yang dikeluarkan pada September memaklumkan pihaknya mengesan satu kempen disyaki berkuasa AI yang bertujuan mengganggu pilihan raya di negara Asia Tenggara itu.
Laporan tersebut merujuk kepada sebuah “entiti luar negara”, yang dipercayai berpangkalan di Turkiye, yang telah menyalahgunakan model AI Claude milik Anthropic untuk menjana kira-kira 1,000 akaun palsu di platform media sosial X serta mewujudkan sebuah laman berita sintetik.
“Berdasarkan laporan itu, Anthropic mendakwa teknologi Claude telah digunakan oleh entiti luar negara untuk membangunkan beberapa komponen operasi, termasuk sistem penyasaran, rangkaian akaun media sosial palsu, laman berita palsu dan komponen berkaitan,” kata Kementerian Komunikasi Malaysia kepada Parlimen dalam jawapan bertulis pada Selasa, bagi menjawab soalan seorang ahli Parlimen mengenai perkara itu.
Kementerian memaklumkan, Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) sedang “mendapatkan maklumat lanjut dan penjelasan daripada Anthropic berhubung laporan berkenaan”, sebelum “menentukan tindakan susulan yang wajar”.
Menurut laporan Anthropic, entiti terbabit “menjual akses kepada platform itu sebagai keupayaan pengaruh-sebagai-perkhidmatan (influence-as-a-service) berbayar”, selain memasarkan infrastruktur tersebut sebagai “ekosistem operasi politik masa nyata berpacukan AI bertaraf ketenteraan”.
“Operasi itu melibatkan pelaku menggunakan platform yang dibina melalui Claude untuk memprofil dan menyasarkan pengundi di Malaysia, mengikut kawasan pilihan raya demi kawasan pilihan raya, menggunakan data banci dan data pilihan raya yang telah mereka masukkan,” jelas laporan itu.
Bagaimanapun, kempen berkenaan berjaya dihentikan “tanpa sebarang bukti ia berjaya menembusi komuniti sebenar”, katanya.
Laporan itu tidak memperincikan bila operasi tersebut bermula atau berapa lama ia berlangsung, namun menghuraikan usaha Anthropic untuk melumpuhkan penyalahgunaan model AI miliknya antara Disember 2025 hingga Ogos 2026.
Kementerian Komunikasi turut memaklumkan Malaysia kini sedang merangka rang undang-undang bagi “memperkukuh kerangka tadbir urus AI negara”.
“Kerajaan akan terus memperkukuh pemantauan terhadap risiko penyalahgunaan teknologi AI serta kerjasama dengan penyedia teknologi, platform digital dan agensi berkaitan bagi menangani kemudaratan dalam talian serta memastikan persekitaran digital negara kekal selamat, telus dan dipercayai,” katanya.
– AFP
