Menu
WISER.MY
  • Pergi ke Wiser.my
  • Berita
  • Ulasan
  • Trivia
  • Tips Gajet
  • Promosi
  • Youtube
  • Senarai
  • Harga
  • Hubungi Kami
WISER.MY
Awalnya “Berguru”, Kini Robot Humanoid Mula Ambil Alih Kerja Dari Manusia Di China

Awalnya “Berguru”, Kini Robot Humanoid Mula Ambil Alih Kerja Dari Manusia Di China

Diterbitkan November 18, 2026 · Dikemas kini November 18, 2026 oleh ariff bukhari

Di sebuah gerai minuman ringan di taman di ibu kota teknologi China, Shenzhen, sebuah robot humanoid mencapai cawan dan menarik tuil untuk membentuk lingkaran aiskrim, sebelum menyerahkan pesanan itu kepada pelanggan.

Ini adalah pemandangan futuristik yang ingin dipamerkan oleh negara itu ketika pemimpin dunia termasuk Donald Trump dan Vladimir Putin menuju ke Shenzhen, hab pembuatan di utara Hong Kong, bagi menghadiri sidang kemuncak Kerjasama Ekonomi Asia-Pasifik (APEC) minggu ini.

Robot China terkenal dengan gerak tari yang lincah, namun jurutera kecerdasan buatan (AI) kini cuba melatihnya untuk menyertai tenaga kerja dengan menggunakan sejumlah besar data yang dirakam oleh manusia melalui kamera kepala (headcam) bagi mengasah kemahiran mesin berkenaan.

Walaupun masih bergelut melakukan tugas rumit seperti mengemas atau menggosok pakaian secara bersendirian, robot sudah pun mengambil alih peranan yang lebih ringkas di seluruh negara.

“Ibu, tengok tu!” jerit seorang kanak-kanak perempuan apabila terpandang robot humanoid penjual aiskrim dan rakan sekerjanya yang membancuh kopi, hidangan yang dijual pada harga sekitar AS$4 (kira-kira RM17.60) setiap satu, sambil orang ramai merakam gelagat itu menggunakan telefon mereka.

Seorang manusia masih perlu mengisi semula biji kopi dan mengosongkan serdak kopi secara berkala untuk robot barista itu, namun pergerakan pasangan robot berkenaan dipacu oleh model AI, menurut syarikat pembuatnya, AI² Robotics.

Syarikat pemula niaga itu memaklumkan sebanyak 200 pelayan humanoidnya telah ditempatkan di seluruh China, dan sehingga 300 cawan kopi terjual setiap hari di taman Shenzhen tersebut.

“Kami mendapat maklum balas data daripada pelbagai senario sebenar,” kata Ketua Pegawai Eksekutifnya, Guo Yandong, seperti keadaan pencahayaan berbeza yang dapat membantu robot menyesuaikan diri dengan persekitaran yang tidak menentu.

Awalnya “Berguru”, Kini Robot Humanoid Mula Ambil Alih Kerja Dari Manusia Di China
Gambar yang diambil pada 9 November 2026 ini menunjukkan seorang lelaki memakai peralatan pengumpulan data menyiram bunga di sebuah kedai bunga di Beijing. Robot China terkenal dengan gerakan tarian yang licin, tetapi jurutera kecerdasan buatan cuba melatih mereka untuk menyertai tenaga kerja — menggunakan data yang ditangkap oleh manusia dalam kamera kepala untuk membantu mengasah kemahiran mesin. (Foto oleh WANG Zhao / AFP)

‘Kilang dunia’

Di China, 83 peratus responden yang ditinjau oleh Ipsos tahun ini menyatakan mereka teruja dengan produk dan perkhidmatan yang menggunakan AI, angka tertinggi daripada 32 negara termasuk Amerika Syarikat, di mana hanya satu pertiga penduduknya bersetuju dengan kenyataan itu.

Perbelanjaan industri di China terhadap robot yang menggunakan apa yang dipanggil “AI berjasad” (embodied AI), yang membolehkannya mengesan persekitaran dan bertindak sewajarnya, melonjak 230 peratus tahun ke tahun bagi tempoh Januari hingga Mei 2026, menurut pihak berkuasa cukai.

China adalah “kilang dunia”, kata Dermot McGrath daripada firma khidmat nasihat strategi dan inovasi, ZenGen Labs.

Justeru, pembuat robot “boleh memanfaatkan pengalaman pembuatan selama berdekad-dekad” di negara ekonomi kedua terbesar dunia itu, yang mempunyai ramai pekerja mahir serta rantaian bekalan lengkap daripada motor dan penderia (sensor) hinggalah kepada bateri.

Pembekal sering dikumpulkan di hab perindustrian seperti Shenzhen yang didiami 18 juta penduduk, bermakna pembangun boleh menghasilkan dan menguji sesuatu komponen, kemudian menggunakannya “lebih pantas berbanding hampir di mana-mana tempat lain”, kata McGrath kepada AFP.

Di sebuah pusat logistik di Shenzhen, dua lengan robotik buatan X Square Robot, sebuah lagi syarikat pemula niaga AI di bandar itu, mengendalikan bungkusan pelbagai bentuk di atas tali sawat bergerak, membalikkannya jika perlu supaya label menghadap ke atas.

 

“Jika ia beg lembut, robot akan mencengkamnya dengan penyepit. Jika ia kotak kadbod, ia akan menyelaraskan kedua-dua lengannya untuk mengalihkannya,” jelas Arnold Pei, Naib Presiden X Square.

Secara idealnya, robot AI boleh “membuat keputusan sendiri tentang apa yang perlu dilakukan”, kata Pei, walaupun lebih mencabar untuk ia beroperasi dalam persekitaran yang kurang terkawal seperti di rumah yang berbeza-beza dari segi pencahayaan, lantai, dan objek.

‘Seperti bayi’

Di sebuah pasar raya di Dongguan, berhampiran Shenzhen, Wang Lin, 23, menyusun barang di rak sambil memakai sarung tangan penderia dan topi keledar yang dilengkapi kamera.

Pergerakannya dirakam dan diproses oleh Strange Attractor, salah sebuah daripada banyak syarikat pemula niaga China yang menjual semula data tersebut kepada syarikat pembangun model AI yang bertindak sebagai otak robot.

 

“Robot boleh menggantikan manusia dalam melakukan kerja yang agak berbahaya dan berulang, contohnya di kilang atau di tempat tinggi,” sekali gus membebaskan pekerja manusia untuk menceburi “kerja yang lebih kreatif,” katanya kepada AFP.

Di tempat lain di China, tukang kasut, pendandan rambut, penjual bunga, pekerja kilang, dan tukang cuci turut merakam kemahiran mereka menggunakan peralatan serupa dengan bayaran upah.

Strange Attractor memaklumkan pihaknya mengumpul data di sekitar 1,600 lokasi di China dan 1,000 lokasi di luar negara.

Bagi pengasas syarikat itu, Kang Yu, robot hari ini adalah “seperti bayi” yang masih di peringkat awal perkembangan.

Setakat ini, robot AI China kebanyakannya “terhad kepada tugas yang jelas dan berulang”, kata Pavlo Zvenyhorodskyi, pakar AI China di Carnegie Endowment for International Peace.

Sebaik sahaja keupayaan teknikalnya bertambah baik, “kita berkemungkinan besar akan menyaksikan penggunaan meluas robot berkuasa AI merentasi ekonomi China”, katanya.

Sektor robotik dan usaha niaga teknologi lain mendapat sokongan kerajaan di China, dengan contoh perancangan penggunaannya merangkumi droid penghantar makanan hinggalah kepada robot yang mengemas troli bagasi di lapangan terbang.

Di syarikat gergasi bateri CATL, robot humanoid buatan syarikat China, Spirit AI sudah pun mengambil alih tugas berbahaya memasang penyambung voltan tinggi.

Kang dari Strange Attractor menjangkakan “penggunaan besar-besaran” robot berkuasa AI di China pada tahun hadapan.

Sebahagiannya mungkin memetik buah strawberi, atau membantu kerja rumah, “namun sudah pasti, ia tidaklah terlalu pintar, ini hanyalah permulaan.” – AFP

Berkaitan

  • vivo X300 FE VS vivo X300 Ultra: Sama DNA ZEISS, Tapi Ini Bezanya Yang Anda Wajib Tahu Sebelum Beli
  • Robot Humanoid XPENG Mula Berjalan Keluar Sendiri Dari Kilang
  • Ramalan Harga Memori Akan Turun Meleset, Robot Humanoid Perlukan Lebih 200 GB RAM Dan Berbilang Terabait Storan

Cari Artikel

Buka artikel ini di Wiser.my
BUKA

Terbaru

  • Saintis Cipta Sikat Elektronik Mampu Tumbuhkan Semula Rambut Hampir 100%, Terbukti Pada Tikus
  • Xiaomi Lancar 3 Peranti Boleh Pakai Baharu Di Malaysia, Harga Promosi Serendah RM199
  • Harga Xiaomi 18 Pro Dan 18 Pro Max Di Malaysia Bermula RM4,799, Prapesanan Dibuka Hari Ini
  • AI Mode Dalam Search Kini Ada Perbualan Sementara, Tidak Disimpan Dalam Sejarah Carian
  • Arknights: Endfield Dinobat Permainan Terbaik Google Play 2026
  • Astro One Entertainment Kini Sertakan Prime Video, Pakej Blockbuster Tanpa Caj Tambahan 12 Bulan
  • Filipina Paling Banyak Habiskan Masa Main Permainan Video Setiap Minggu, Malaysia Ke-12
©2026 WISER.MY