Malaysia sedang mendapatkan penjelasan lanjut daripada Amerika Syarikat (AS) berhubung sekatan baharu ke atas eksport cip kecerdasan buatan (AI), khususnya mengenai keperluan pelesenan serta penyediaan perkhidmatan pusat data kepada pihak ketiga.
Memetik laporan Bernama, Menteri Pelaburan, Perdagangan dan Industri Datuk Seri Johari Abdul Ghani berkata kerajaan telah berhubung dengan pihak berkuasa AS, termasuk Kedutaan AS dan wakil perdagangannya, bagi mendapatkan perincian rasmi mengenai peraturan tersebut serta kesannya terhadap pengendali pusat data.
Menurutnya, Malaysia akan memaklumkan kepada pihak berkepentingan yang terlibat dalam kesemua 117 projek pusat data yang telah diluluskan untuk memastikan pematuhan sebaik sahaja AS memberikan penjelasan rasmi mengenai keperluan tersebut. Sebahagian projek itu sudah beroperasi, manakala selebihnya masih dalam pembinaan.
“Jika anda mahukan cip GPU dari AS untuk pusat data anda, anda perlu mematuhi peraturan AS. Sesiapa yang bersedia untuk mematuhinya, patuhi (peraturan itu), kemudian barulah anda boleh membeli cip tersebut,” katanya.
Mengulas lanjut, beliau berkata keperluan pelesenan boleh disahkan bagi pembeli yang pelanggannya terdiri daripada syarikat atau penyedia perkhidmatan berskala besar AS. Bagaimanapun, urus niaga yang melibatkan pelanggan dari negara lain mungkin memerlukan penelitian lebih menyeluruh, termasuk pemeriksaan ‘kenali pelanggan pnda’ (KYC) oleh pihak berkuasa AS.
Siasat dakwaan eksport semula
Dalam pada itu, kerajaan turut menjalankan siasatan terhadap dakwaan bahawa Malaysia dijadikan hab pemindahan bagi cip AI yang dikenakan sekatan eksport oleh AS.
Johari menegaskan setakat ini, kerajaan masih belum menerima sebarang dokumen rasmi yang membuktikan penyewa pusat data di Malaysia telah memperdagangkan atau mengeksport semula cip berkenaan.
Siasatan itu akan melibatkan semakan bersama Jabatan Kastam bagi mengenal pasti sama ada terdapat GPU yang dieksport semula, pihak yang terlibat serta meneliti senarai muatan penghantaran dan pengisytiharan berkaitan.
“Jika mereka melakukan eksport semula, kami ingin tahu siapa pihak tersebut, dan mereka perlu mengemukakan senarai muatan yang telah mereka serahkan. Hanya selepas itu barulah kami boleh mengambil tindakan lanjut. Kami tidak boleh sewenang-wenangnya membuat tuduhan,” tambahnya.
Beliau turut berpandangan AS sebagai pengeluar cip perlu menjalankan siasatan rapi terhadap pembeli dan memaklumkan kepada Malaysia mengenai syarikat yang berhasrat membawa masuk GPU untuk operasi pusat data. Langkah itu membolehkan pihak berkuasa tempatan memantau penggunaan cip berkenaan.
Johari berkata Malaysia komited untuk memastikan perniagaan yang beroperasi di negara ini mematuhi peraturan dan undang-undang termasuk yang dikenakan oleh negara lain bagi melindungi harta intelek dan teknologi strategik.
Terdahulu, Pentadbiran Donald Trump telah mengeluarkan satu peraturan interim yang menetapkan sekatan baharu ke atas eksport cip ke pusat data di luar negara.
Peraturan itu juga mewajibkan syarikat di Singapura, Thailand, Malaysia, Indonesia dan Brazil untuk memohon lesen eksport AS bagi cip semikonduktor canggih, bertujuan untuk mengurangkan risiko cip tersebut dialihkan secara haram.
