Sekumpulan penyelidik dari China berjaya menunjukkan potensi besar teknologi gentian optik teras berongga (hollow-core fiber) yang mampu mengurangkan kelewatan penghantaran data sehingga kira-kira 30% berbanding kabel gentian optik konvensional.
Pencapaian itu dicapai menerusi kerjasama antara China Telecom Research Institute, YOFC dan ZTE.
Tidak seperti gentian optik biasa yang menggunakan teras kaca pepejal untuk membawa cahaya, gentian optik teras berongga menggunakan ruang berisi udara.
Oleh sebab cahaya bergerak jauh lebih pantas dalam udara berbanding kaca, isyarat data dapat dihantar dengan lebih cepat.

Penyelidik menjelaskan, dalam gentian optik konvensional, cahaya bergerak sekitar 200,000 kilometer sesaat sahaja, manakala dalam udara ia boleh menghampiri kelajuan cahaya dalam vakum iaitu sekitar 300,000 kilometer sesaat.
Hasil ujian menunjukkan masa yang diperlukan untuk isyarat bergerak sejauh 1,000 kilometer hanyalah sekitar 3.4 milisaat bagi satu hala.
Sebagai perbandingan, gentian optik tradisional memerlukan kira-kira 5 milisaat untuk jarak yang sama.
Ini membuktikan bahawa teknologi baharu tersebut mampu mengurangkan kependaman rangkaian secara ketara.
Dalam ujian yang dijalankan, pasukan penyelidik berjaya menghantar data pada kadar 64 terabit sesaat (Tbps) bagi setiap arah secara serentak, menjadikan jumlah kapasiti keseluruhan sebanyak 128 Tbps merentasi jarak 1,007.5 kilometer.
Jumlah keseluruhan kapasiti penghantaran data itu bersamaan dengan memuat naik dan memuat turun 160 filem beresolusi 4K setiap saat bagi setiap arah, dengan mengandaikan setiap filem menggunakan 50GB ruang storan.
Menurut laporan tersebut, pencapaian berkenaan turut mencatat rekod dunia bagi penghantaran data masa nyata menggunakan gentian optik teras berongga pada jarak yang begitu jauh.
Walaupun begitu, ujian tersebut dijalankan menggunakan lebih daripada 300 gelendong kabel berongga yang setiap satunya mengandungi 2 km hingga 5 km gentian teras berongga yang disusun menjadi satu pautan ujian berterusan, dan bukannya laluan telekomunikasi sepanjang 1,000 km yang telah dipasang.
Tetapi, jika ia berjaya diaplikasikan, teknologi ini dijangka memberi manfaat besar kepada pusat data dan aplikasi kecerdasan buatan (AI) yang memerlukan pertukaran data dalam jumlah sangat besar antara lokasi yang berjauhan.
Dengan kelewatan yang lebih rendah, operasi pengkomputeran berskala besar dapat dijalankan dengan lebih cekap, sekali gus meningkatkan prestasi infrastruktur digital pada masa hadapan.
